INISIATIF KEDAH TARIK PELABUR TIDAK WAJAR DINAFI
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Dakwaan kejayaan pelaburan di Kedah hanya bergantung kepada peranan Kerajaan Persekutuan disangkal apabila negeri itu terus mencatat prestasi memberangsangkan termasuk muncul antara destinasi utama pelaburan negara.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peranan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) adalah mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa, namun keputusan pelabur memilih Kedah adalah hasil keupayaan negeri menyediakan ekosistem pelaburan yang kompetitif.
“MIDA ‘jual’ Malaysia, mereka tidak ‘jual’ Kedah. Bagaimana pelabur memilih Kedah? Kita di peringkat negeri sediakan infrastruktur, tanah, utiliti dan pengurusan yang memenuhi kehendak pelabur.
“Kita akui peranan Kerajaan Persekutuan melalui MIDA mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan di luar negara. Mereka meluluskan pelaburan yang masuk untuk beberapa tahun,” katanya, di sini, hari ini.
Menurut beliau, antara faktor utama Kedah menjadi pilihan ialah harga tanah yang kompetitif serta kecekapan pengurusan agensi negeri, khususnya di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).
“KHTP yang diuruskan oleh Kulim Technology Park Corporation (KTPC), anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), memainkan peranan penting menyediakan kemudahan lengkap kepada pelabur.
“KTPC bukan sahaja menyediakan infrastruktur, malah mempunyai pasukan promosi sendiri yang bergerak ke seluruh dunia bagi menarik pelabur, termasuk menawarkan peluang kepada vendor syarikat ‘anchor’ yang telah beroperasi di KHTP. Ini ekosistem yang dibangunkan di KHTP,” katanya.
Tambah Sanusi, Kerajaan Negeri turut memperkukuhkan usaha itu melalui agensi seperti Kedah Invest dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) yang bertindak sebagai pemudah cara kepada pelabur.
“Kita bukan hanya nganga tunggu saja sapa nak mai Kedah, kita keluar pi cari (pelabur),” katanya.
Sanusi tegaskan, pembangunan KHTP sebahagian besarnya dibiayai Kerajaan Negeri sendiri termasuk melalui pinjaman dan dana dalaman.
“Kerajaan Pusat bantu beri dana untuk bangunkan infrastruktur seperti jalan, saluran gas dan utiliti lain.
“Bagi fasa lima yang sedang dibangunkan, Kerajaan Persekutuan menyediakan pinjaman RM191 juta dengan kadar faedah empat peratus setahun untuk pengambilan tanah bernilai keseluruhan RM360 juta, manakala selebihnya ditampung oleh KTPC.
“Bagi pembangunan infrastruktur pula, Kerajaan Persekutuan menyumbang RM132 juta sedangkan kos sebenar melebihi RM300 juta, selebihnya Kerajaan Negeri guna sumber dalaman. Kalau tak sediakan semua ini, macam mana pelabur nak masuk ke negeri ini,” ujarnya.
Menurut beliau, bagi fasa 4A sebelum ini, keseluruhan kos tanah dan infrastruktur ditanggung sepenuhnya oleh KHTP (Kerajaan Negeri) tanpa bantuan Persekutuan.
“Siapa berani nafi hal ni. Fasa satu hingga empat kini penuh dan kita berjaya membayar semula pinjaman tanpa gagal. Jadi, bagaimana boleh ada pihak mendakwa KHTP adalah projek Kerajaan Persekutuan semata-mata?” soalnya.
Sanusi berkata, kestabilan politik serta pentadbiran kerajaan yang profesional melibatkan pihak berkuasa tempatan dan agensi negeri seperti KTPC, Kedah Invest dan BPEN antara faktor kemasukan pelaburan ke Kedah terus meningkat.
“Hanya pembangkang cuba tutup kejayaan ini. Mereka dengki dengan kejayaan kita. Mereka tak tahu fakta atau saja buat tak tahu. Mereka sebenarnya takut momokan kerajaan tok lebai tak reti memerintah akan lenyap sendirinya,” katanya.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata, hanya Projek Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) bernilai lebih RM300 juta merupakan infrastruktur dibiayai sepenuhnya Kerajaan Persekutuan tanpa perlu bayaran balik, manakala projek lain melibatkan pinjaman dijelaskan secara teratur.
“Kedah kini turut menyaksikan penglibatan sektor swasta dalam pembangunan kawasan industri termasuk di Koridor Industri Kulim (KIC) serta perancangan pembangunan Kulim 2.0 melalui kerjasama strategik swasta,” katanya.
Sanusi berkata demikian bagi menepis dakwaan sesetengah pihak yang cuba menafikan usaha Kerajaan Negeri dalam menarik pelaburan.
Terbaharu, Kedah terus mencipta momentum sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi apabila menarik pelaburan bernilai RM315.93 juta daripada syarikat antarabangsa, Highstar Energy (M) Sdn. Bhd., yang dijangka mewujudkan 400 peluang pekerjaan baharu.
Berdasarkan laporan MIDA, Kedah muncul negeri teratas bagi pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan di Malaysia bagi tahun 2025 dengan nilai RM24.6 bilion, setanding Johor serta mengatasi Pulau Pinang (RM22.4 bilion).
Sebanyak 84 projek sektor pembuatan diluluskan melibatkan pelaburan domestik RM1.78 bilion dan pelaburan asing RM22.83 bilion, sekali gus mewujudkan 14,017 peluang pekerjaan.
Secara keseluruhan, Kedah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM27.8 bilion pada tahun 2025 meletakkan negeri ini di tangga kelima tertinggi dalam negara, melibatkan 397 projek, dengan pelaburan domestik RM4.80 bilion dan pelaburan asing RM22.99 bilion, serta menyediakan 14,705 peluang pekerjaan.

0 Comments