Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri akan mempercepatkan pelaksanaan kawalan perbelanjaan sebaik sahaja sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berakhir susulan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah itu diambil lebih awal berbanding kebiasaan yang lazimnya dilaksanakan sekitar Jun atau September setiap tahun.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga akan menyekat projek pembangunan yang tidak mempunyai keperluan mendesak, manakala projek yang telah diluluskan akan diteruskan seperti dirancang.
“Sehingga Mac, sebanyak RM102 juta perbelanjaan pembangunan telah diluluskan dan Surat Setuju Terima (SST) telah dikeluarkan, maka projek berkenaan akan diteruskan.
“Bagi projek yang kurang penting, kita tangguhkan dahulu dan akan dipertimbangkan semula pada masa hadapan,” katanya ketika sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan negeri dalam mengurus kewangan susulan krisis Asia Barat serta ketegangan geopolitik yang menjejaskan ekonomi global dan menyebabkan kenaikan kos bahan api.
Sanusi jelaskan, bantuan kepada rakyat tetap diteruskan menggunakan peruntukan sedia ada dalam Bajet 2026, namun tiada peruntukan tambahan diluluskan buat masa ini.
“Sekiranya ada keperluan tambahan, Kerajaan Negeri akan menilai semula berdasarkan kedudukan kewangan semasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan semua anggota Exco dan penjawat awam diminta mengamalkan perbelanjaan berhemah dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak.
“Kita tidak pernah membazir, kita sentiasa berhemah dalam perbelanjaan. Tak pernah lagi sewa helikopter untuk urusan rasmi, kita guna pesawat komersial saja dan jimat sebolehnya termasuk penginapan,” katanya.
Tambah beliau, Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri akan mengeluarkan arahan rasmi berkaitan kawalan perbelanjaan bagi memastikan aliran tunai kerajaan negeri sentiasa terkawal serta mengelakkan kesilapan yang merugikan.
“Langkah ini penting bagi memastikan kedudukan kewangan negeri kekal stabil dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa,” katanya.

0 Comments