TERKAWAL TAPI TERTEKAN

Oleh: Abdul Razak Khamis
ADUN Sungai Tiang

Kali ini kita lupakan sekejap hal politik. Biarlah yang nak berlakon terus berlakon, yang berangan nak jadi presiden seumur hidup terus berangan dan yang nak jadi perdana menteri kali kedua terus berangan. Angan-angan bukannya kena bayar.

Kita jenguk sekejap hal kehidupan rakyat sehari-hari. Hal makan minum, tidur baring yang rakyat kena hadap tak kira siapa pun berangan nak jadi apa.

Secara zahirnya, keadaan ekonomi rakyat Malaysia sekarang ni memang nampak stabil. Kalau ikut statistik rasmi, kadar inflasi masih terkawal sekitar 1.6% pada awal 2026. Dan kita tak nafi kerajaan terus menyalurkan pelbagai bantuan tunai serta subsidi bersasar kepada rakyat. 

Tetapi angka adalah angka. Ia hanya memberi gambaran kasar bukan hakikat sebenar.

Di sebalik angka dan statistik itu realiti sebenar yang dirasai oleh rakyat biasa adalah jauh lebih kompleks: tekanan kos sara hidup yang semakin mencengkam, walaupun kehidupan nampak ‘masih boleh bertahan’. 

Contoh paling mudah kita dapat tengok di bazar-bazar Ramadan. Setiap tahun, bazar Ramadan simbol kemeriahan umat Islam meraikan bulan yang suci ini.

Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, ia juga menjadi cermin kepada realiti kos sara hidup. Banyak juadah yang dahulu dijual sekitar RM3 atau RM4 kini mencecah RM6 hingga RM8, malah ada makanan tertentu meningkat RM1 hingga RM2 setiap bungkus. 

Tahun ini peningkatan itu berlaku dengan lebih ketara. Yang tak naik harga pula akan mengalami proses mengecil. Yang saiz tiga jari bertukar jadi dua jari, yang berat setengah kilo bertukar jadi setengah kati.

Kenaikan-kenaikan ini sering dijelaskan oleh peniaga sebagai kesan peningkatan kos bahan mentah, sewa tapak dan logistik. Tetapi bagi pengguna, ia bermaksud kuasa beli semakin mengecil. 

Perkara sama berlaku di pasar basah dan kedai runcit.

Harga sayur, ayam, telur, dan pelbagai barangan dapur sepanjang Ramadan ini terus menunjukkan trend menaik secara perlahan tetapi konsisten. Inilah yang menyebabkan ramai rakyat merasakan keadaan hidup mereka semakin sempit walaupun secara rasmi ekonomi negara masih dianggap stabil.

Dalam keadaan ini, bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sememangnya membantu golongan berpendapatan rendah untuk menampung perbelanjaan harian. 

Namun di peringkat realiti pasaran, terdapat satu fenomena iaitu setiap kali bantuan diagihkan, harga barangan tertentu akan ‘tergelincir naik’ sedikit demi sedikit.

Ia tak semestinya disebabkan konspirasi. Ada juga yang berpunca daripada psikologi pasaran. Apabila peniaga tahu bahawa sebahagian pengguna menerima bantuan tunai, harga makanan siap, barangan dapur atau perkhidmatan tertentu akan ikut naik bagi ‘menyesuaikan diri’ dengan peningkatan permintaan. Akibatnya, bantuan yang sepatutnya meningkatkan kuasa beli rakyat sebahagiannya ‘diserap’ oleh kenaikan harga pasaran. 

Selain makanan, tekanan kos hidup juga datang daripada sektor tenaga. Baru-baru ini harga bahan api global meningkat, menyebabkan harga runcit petrol RON97 naik kepada sekitar RM3.85 seliter, manakala diesel dan harga pasaran RON95 juga meningkat. 

Kerajaan masih mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan pasaran. 

Namun persoalan besarnya ialah: sampai bila subsidi ini dapat dipertahankan?

Kerajaan sendiri mengakui bahawa kestabilan harga minyak bergantung kepada keadaan geopolitik global, khususnya konflik di Timur Tengah. Sekiranya ketegangan seperti perang antara Iran dan Amerika Syarikat-Israhel berpanjangan, krisis ekonomi global pasti berlaku dan harga minyak boleh melonjak dengan mendadak. 

Jika situasi ini terjadi, kesannya bukan sekadar kepada harga petrol di pam tetapi akan sampai ke dalam periuk nasi kita. Bila harga minyak dunia naik, kos pengangkutan akan naik. Bila kos pengangkutan naik, harga barang akan ikut naik. Dari ladang ke kilang, dari kilang ke gudang, dari gudang ke pasar, semuanya bergantung kepada kos logistik. Akhirnya yang menanggung beban terakhir ialah pengguna  iaitu rakyat biasa.

Itulah sebabnya ramai rakyat hari ini hidup dalam satu keadaan yang pelik. Dari luar nampak macam okay. Jalan raya masih sesak, pusat beli-belah masih penuh, bazar Ramadan masih meriah. 

Tetapi di dalam rumah masing-masing, banyak keluarga sebenarnya sedang membuat pelbagai penyesuaian senyap-senyap. Ada yang mula mengurangkan makan di luar. Ada yang mula memilih barang yang lebih murah walaupun kualitinya berbeza. Ada yang mula menangguhkan pembelian tertentu kerana bimbang duit tak cukup sampai hujung bulan.

Ini bukan cerita kemiskinan tegar. Ini cerita tekanan hidup kelas pekerja biasa, golongan B40 dan juga sebahagian besar M40 yang semakin terasa sempit di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup yang perlahan tetapi berterusan.
Inilah cerita sebenar di sebalik kadar inflasi masih terkawal yang didendangkan itu!

YB Abdul Razak Khamis
ADUN Sungai Tiang

Post a Comment

0 Comments