Oleh: Afnan Hamimi bin Dato’ Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Alor Setar
Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius harga diesel semasa yang mencecah RM5.52/liter rentetan kenaikan akumulatif terkini sebanyak RM2.40/liter melalui tiga fasa dalam tempoh kurang tiga minggu. Setiap kenaikan RM0.80 yang diumumkan kerajaan menjadikan konflik di Timur Tengah sebagai alasan utama tanpa membentang alternatif.
Apa yang lebih menghairankan, harga diesel di Sabah dan Sarawak kekal pada kadar RM2.15 seliter. Ini bermakna subsidi diesel kerajaan di dua negeri tersebut ketika ini dianggarkan sekitar RM3.37 seliter, sekali gus menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat di Semenanjung sama ada wujud dasar dwistandard dalam pelaksanaan subsidi bahan api negara.
Kenaikan yang terlalu mendadak ini sudah tentu mengejutkan rakyat dan memberi kesan langsung kepada kos sara hidup. Kesan rantaian kini mula dirasai, khususnya melalui peningkatan harga barangan asas termasuk sayur-sayuran, selain tekanan terhadap kos logistik, pengangkutan dan operasi peniaga kecil.
Hakikatnya, konflik di Timur Tengah bukanlah perkara baharu, namun Malaysia selama ini tetap konsisten mengimport minyak dari rantau tersebut. Dalam masa yang sama, Perdana Menteri dilihat aktif mengadakan lawatan dan hubungan dengan pelbagai negara di serata dunia, malah Malaysia juga telah memohon untuk menyertai BRICS.
Justeru, timbul persoalan sama ada Wisma Putra dan pihak kerajaan langsung tidak membuat unjuran awal bahawa konflik di Timur Tengah boleh memuncak sehingga menjejaskan bekalan serta harga tenaga. Mengapa tiada langkah lebih awal untuk mempelbagaikan sumber import minyak daripada negara anggota BRICS seperti Brazil dan Russia, atau negara lain seperti Angola, Mexico, Algeria dan sebagainya?
Keadaan ini juga memperlihatkan kerajaan seolah-olah gagal menyediakan mekanisme harga siling dan tidak mengumumkan sebarang inisiatif pemampan ekonomi bagi menyerap kejutan kenaikan harga minyak dunia. Akibatnya, rakyat di Semenanjung terus menerima hentaman secara langsung dan mengejut, sedangkan negara lain seperti Thailand telah mengaktifkan sistem pemampan untuk mengurangkan impak krisis tenaga terhadap rakyat.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa krisis tenaga global mesti ditangani secara holistik dan rentas pihak. Kami menuntut agar diwujudkan taskforce khas yang melibatkan kerajaan, pembangkang, NGO, ahli akademik, industri dan masyarakat sivil, di samping diadakan sidang Parlimen tergempar bagi membincangkan krisis tenaga ini secara menyeluruh demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
YB Afnan Hamimi bin Dato’ Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Alor Setar
#TerusMemimpin
#PemudaPAS

0 Comments