BANGUNAN PENCAKAR LANGIT BUKAN UKURAN KEMAJUAN NEGERI - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah bangunan pencakar langit atau projek mega semata-mata, sebaliknya perlu dinilai daripada manfaat sebenar yang diterima rakyat.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kerajaan Negeri memilih pendekatan pembangunan yang lebih realistik dan berperingkat, berbanding melaksanakan projek besar yang akhirnya tidak memberi pulangan.

Menurutnya, terdapat pihak yang mengkritik pentadbiran negeri kononnya tidak membangunkan projek bangunan tinggi di Kedah.

“Di media sosial ada yang kata saya tak buat apa-apa sebab mereka cari bangunan pencakar langit tapi tak jumpa. Siapa nak duduk bangunan tinggi itu?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santuni Murabbi Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Dato’ Mohd Sahil Zabidi serta Penaung Pertubuhan Mu’alimah Kedah, Ku Abd Muhyi Ku Abdul Hamid.

Sanusi turut mendedahkan, Kerajaan Negeri sebelum ini membatalkan cadangan pembinaan sebuah bangunan 14 tingkat di Alor Setar kerana projek tersebut tidak mempunyai potensi ekonomi.

Katanya, cadangan projek bernilai berbelas juta ringgit itu dicadang untuk disewakan sebagai ruang pejabat, namun permintaan terhadap ruang pejabat kini semakin berkurangan.

“Kalau kita mahu ukur kemajuan negeri dengan projek seperti itu, kita boleh sahaja bina bangunan tinggi tetapi akhirnya kosong dan terbiar. Pemikiran seperti itu tidak betul kerana pembangunan mesti memberi manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya.

Menurut Sanusi, isu berkenaan dicanang di media sosial oleh pembangkang di negeri ini, menyerlahkan pemikiran sempit mereka.

“Istilah saya mudah, semua sudah ada nak buat apa lagi. Bila saya cakap seperti itu, dikatakan pula kalau begitu siapa pun boleh jadi MB, tak payah buat apa. 

“Saya nak jawab, perlu ada otak (ilmu) saja kalau nak jadi MB, kalau tak ada, apa pun tak boleh jadi,” katanya sinis. 

Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan pandangan yang disebarkan oleh individu yang tidak mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang.

Menurutnya, pandangan berkaitan sesuatu isu sepatutnya dirujuk kepada pakar, bukan sekadar andaian atau perbincangan di media sosial.

“Kalau hendak dengar sesuatu perkara, dengarlah daripada pakar. Jangan ambil ilmu daripada orang yang tidak menguasai bidang tersebut.

“Dunia bukan dibentuk oleh berapa ramai yang berjaya diperbodohkan, tetapi oleh berapa ramai yang berjaya dicerdikkan dan dididik dengan nilai yang baik, barulah kita maju,” katanya.

Sanusi berkata, ada pihak suka menjaja perkara tidak betul tetapi cuba menjadikan ia benar dengan  mengulanginya untuk memperbodohkan orang ramai.

“Kena cakap benar walau dari musuh, sekiranya apa yang dikatakan itu benar. Kena cakap salah walaupun dari kawan, sekiranya apa yang dikatakan itu salah. Itulah prinsip yang wajar dipegang oleh semua,” katanya.

Pada majlis tersebut, PKNK menyalurkan sumbangan sebanyak RM200,000 kepada 2,000 guru serta kakitangan sekolah agama di seluruh Kedah sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Sanusi berkata, majlis tersebut merupakan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap peranan guru agama yang menjadi tunjang dalam membina jiwa dan akhlak masyarakat.

“Dunia pendidikan agama kini berdepan pelbagai cabaran termasuk pengaruh teknologi serta media sosial yang boleh mempengaruhi pemikiran dan akhlak pelajar.

“Kefahaman agama yang longgar dan diperoleh daripada platform media sosial tanpa bimbingan guru boleh membawa kepada fahaman yang menyimpang atau liberal.

“Perkembangan ini menjadikan tugas guru agama semakin mencabar. Mereka perlu sentiasa peka dengan perubahan semasa dan mendahului cabaran mendatang,” katanya.

Tambah beliau, Kedah memerlukan guru agama yang terus istiqamah dan sabar dalam mendidik anak bangsa sebagai asas pembinaan generasi masa depan.

Post a Comment

0 Comments