TEGURAN DISALAH ERTI, BUKAN DITUJUKAN KEPADA SESIAPA - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor kesal apabila teguran yang disampaikan dalam program dalaman parti baru-baru ini, telah disalah erti dan dimanipulasi pihak tertentu sehingga menimbulkan dakwaan kononnya beliau ‘menyerang’ Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Haji Hashim Jasin.

Beliau berkata, teguran berkenaan dibuat secara umum kepada semua ahli PAS termasuk dirinya sendiri, sebagai peringatan dan sesi muhasabah dalam kerangka tarbiah parti, bukannya ditujukan kepada mana-mana individu apatah lagi kepimpinan tertinggi PAS.

Menurutnya, adalah sangat tidak wajar mengaitkan kenyataan tersebut sebagai sindiran atau serangan terhadap Mursyidul Am PAS, sedangkan ucapan itu disampaikan secara terbuka kepada ahli-ahli parti dalam program berkenaan.

“Saya kesal apabila teguran yang dibuat secara umum, termasuk ditujukan kepada diri saya sendiri disalah tafsir dan video berkenaan dipotong sebahagiannya untuk membawa naratif negatif.

“Kena dengar ucapan saya dari awal sampai habis, barulah faham maksud sebenar yang ingin disampaikan. Teguran umum saja, kalau ada yang tak betul, perlu diperbetulkan, kalau salah perlu diberitahu apa dan di mana salahnya.

“Apa yang tular hanyalah video yang disunting, diambil sekerat-sekerat. Sudah tentu ada agenda tertentu terhadap saya,” katanya, hari ini.

Sanusi berkata demikian bagi mengulas dakwaan beliau ‘menyerang’ Mursyidul Am PAS susulan penularan video ceramah beliau ketika program Liqa’ ul-Fikri Pemuda PAS Perlis pada 26 Januari, yang mana sebahagian rakaman amanat itu disunting dan tersebar di media sosial beberapa hari lalu.

Dalam rakaman video tular, Sanusi dipetik berkata: “Siapa yang duduk dalam PAS, buat perkara-perkara yang merugikan PAS, mendatangkan kerosakan kepada PAS, mengambil tindakan-tindakan politik, yang walaupun tidak dikatakan salah oleh perlembagaan (parti), dia bukan ahli jemaah (PAS), dia bukan sebahagian daripada kita (ahli PAS).”

Menteri Besar Kedah itu tegaskan, rakaman video tular itu tidak menggambarkan keseluruhan konteks perbincangan dalam program berkenaan yang bersifat tertutup dan khusus kepada ahli PAS sahaja.

“Liqa’ ul-Fikri ini adalah program dalaman untuk membina kesatuan fikiran kalangan ahli PAS, membincangkan isu semasa serta memperkukuh tarbiah teras perjuangan parti. Ia bukan program terbuka untuk umum,” jelasnya.

Tambah beliau, kenyataan itu dibuat dalam konteks sesi muhasabah dan pengukuhan kefahaman ahli terhadap disiplin serta adab berjemaah dalam PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

“Tak ada serangan kepada sesiapa. Ini medan tegur-menegur, membetulkan salah tanggapan atau persepsi, membaharui naratif perjuangan, membugar semangat perjuangan, dan menyampaikan mesej terkini pimpinan kepada ahli di bawah. Perkara seperti ini tidak sesuai diucapkan secara terbuka kepada khalayak,” katanya.

Namun tegas beliau, teguran bersifat umum itu sengaja dimanipulasi pihak tertentu bagi mencalarkan imejnya serta hubungan baik dengan kepimpinan tertinggi parti.

Sanusi turut berkongsi antara fokus perbincangan dalam program berkenaan ialah Perlembagaan PAS pindaan 2025, khususnya Fasal 15A berkaitan keberhentian ahli bagi ahli badan perundangan, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen, yang memerlukan penjelasan terperinci kepada ahli.

Katanya, isu itu berkait dengan kes melibatkan tiga ADUN PAS di Perlis dan dibincangkan secara mendalam dalam program dalaman tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyifatkan tindakan mengaitkan gambar terbaharu beliau bersalaman erat dan mencium tangan Mursyidul Am PAS pada pemukiman parti, dengan insiden video tular berkenaan sebagai permainan politik sempit pihak tertentu.

“Hubungan saya dengan kepimpinan tertinggi parti kekal baik. Dakwaan kononnya saya menyerang Mursyidul Am adalah tidak benar dan bermotifkan agenda tertentu,” tegasnya.

Post a Comment

0 Comments