SELEPAS PENDEDAHAN, RAFIZI CADANG HIMPUNAN BANTAH DAKWAAN PENYELEWENGAN SPRM

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mencadangkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menganjurkan perhimpunan aman bagi membantah dakwaan penyelewengan membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan laporan media antarabangsa. 

Beliau berkata, berdasarkan rekod dan kedudukan Bersih sebagai badan yang dilihat neutral, gabungan itu paling sesuai mengetuai himpunan berkenaan.

Menurut Rafizi, beberapa pihak juga telah menghubunginya dan meminta agar beliau menganjurkan satu demonstrasi aman berhubung isu berkenaan.

“Saya dulu penganjur demonstrasi berpengalaman, namun ia perlu diketuai satu badan yang dipersetujui dan membawa semua pihak bersama. Dari segi logistik, tempat dan tarikh kita serahkan kepada Bersih untuk tentukan,” katanya pada sidang media khas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang, pada Jumaat.

Rafizi mengetuai tujuh lagi Ahli Parlimen (PKR) yang menyokong perjuangannya, iaitu Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Ir Zahir Hassan (Wangsa Maju), S Kesavan (Sungai Siput) dan Tan Kar Hing (Gopeng).

Bekas Menteri Ekonomi itu melontarkan cadangan itu susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, bersamaan 1.7 peratus pegangan berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.

Nilai pegangan tersebut dianggarkan hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan Isnin lalu. 

Berikutan itu, Azam didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pemilikan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak melebihi lima peratus modal berbayar atau bernilai RM100,000, mengikut mana lebih rendah.

Bagaimanapun, Azam dilaporkan berkata, transaksi itu telah diisytiharkan dan saham berkenaan telah dilupuskan tahun lalu. 

Beliau turut memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Bloomberg berhubung laporan tersebut.

Dalam pada itu, Bloomberg turut menerbitkan laporan berasingan yang mendakwa SPRM bersekongkol dengan beberapa ahli perniagaan bagi menyokong kepentingan individu tertentu melalui ugutan, tangkapan dan penahanan eksekutif, termasuk mencadangkan pendakwaan dalam beberapa kes.

SPRM menafikan dakwaan itu dan menegaskan semua siasatan dijalankan secara ketat mengikut undang-undang, berpandukan bukti serta dilaksanakan secara bebas tanpa takut atau pilih kasih.

Mengulas lanjut, Rafizi memaklumkan, perhimpunan aman itu merupakan antara lima langkah yang akan digerakkan mulai minggu hadapan sekiranya kerajaan tidak memberi reaksi positif terhadap dakwaan yang dibangkitkan.

“Sebagai ahli Parlimen kanan kerajaan, kami akan menulis surat kepada semua ahli Parlimen yang bukan menteri dan timbalan menteri merentas parti untuk mendapatkan persetujuan supaya Azam digantung serta-merta dan satu siasatan bebas dimulakan segera.

“Sebagai solidariti ahli Parlimen, kami gesa setiap ahli Parlimen kembali ke kawasan masing-masing dan memulakan sesi penerangan kepada masyarakat setempat mengenai dakwaan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, surat sama akan dihantar kepada pimpinan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) supaya menggunakan pengaruh mereka dalam kerajaan untuk menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar bersetuju ‘menggantung’ Azam dan memulakan siasatan bebas.

Rafizi turut memaklumkan akan membuat laporan polis terhadap Azam susulan dakwaan campur tangan dalam satu kes melibatkan senjata api bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.

Sebelum itu, pada Khamis, Rafizi menerusi video 'Mafia Korporat' di media sosial mendedahkan laporan media antarabangsa, mendakwa SPRM dibolosi oleh beberapa individu yang terpalit dengan pelbagai tuduhan jenayah termasuk tuduhan menggunakan syarikat peminjam wang berlesen untuk mencuci duit hasil aktiviti jenayah.

Sementara itu, Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, menyatakan gabungan itu secara prinsip bersedia bekerjasama menggerakkan himpunan aman yang dicadangkan oleh Rafizi.

Katanya, perkara tersebut adalah isu besar dan memerlukan gerakan rakyat bagi memastikan SPRM benar-benar bersih, berfungsi secara bebas serta berintegriti.

“Tuntutan Bersih jelas, siasatan bebas perlu dilakukan dan kerajaan harus melaksanakan agenda reformasi SPRM dengan segera,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Post a Comment

0 Comments