PILIHAN RAYA UNTUK DATUK BANDAR KL PERLU DITOLAK

 

Oleh: Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof

Pakar Perlembagaan

Pensyarah Undang-Undang dan Polisi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)


Apa sebenarnya fokus Menteri WP? 

Menjaga kesejahteraan rakyat atau menjunjung agenda politik parti? Kita tahu selama ini siapa yang memperjuangkan pilihan raya PBT.

Kebanyakan bandar raya penduduknya majoriti bukan Melayu, namun hampir semua Datuk Bandar adalah kalangan orang Melayu. Realiti ini tidak digemari oleh parti politik tertentu. Sebab itu agenda yang konsisten sejak dulu ialah untuk memastikan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Ada sebab kenapa Datuk Bandar lebih sesuai  dilantik dari kalangan orang Melayu.

Pertamanya, pemilihan Datuk Bandar biasanya dibuat dari kalangan penjawat awam atau bekas penjawat awam yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran agensi kerajaan. Hakikatnya kebanyakan pegawai kanan sektor awam adalah kalangan orang Melayu, dan bila wujud kekosongan, kebanyakan calon yang layak untuk mengisinya adalah orang Melayu.

Kedua, bandar raya adalah jantung hati kepada negara atau negeri. Ia adalah pusat pentadbiran, ekonomi dan sosial, bukan sahaja kepada penduduk di dalam sempadan bandar raya itu sahaja tetapi kepada penduduk di kawasan sekitarnya, atau mungkin seluruh negara dan negeri. Oleh itu, pentadbir utama bandar raya tidak boleh hanya mewakili kepentingan penduduk berdaftar dalam bandar raya itu sahaja, bahkan juga perlu mewakili kelompok  lebih besar. 

Atas sebab ini pilihan raya kerajaan tempatan atau pilihan raya memilih Datuk Bandar tidak wajar dilaksanakan. Jika dilaksanakan ia membawa maksud kepentingan rakyat yang tidak menetap dalam bandar raya tetapi bergantung kepada bandar raya, telah diabaikan. Antara pihak yang menerima kesan besar ialah mereka yang saban hari masuk ke bandar raya untuk berkhidmat atau mencari rezeki. 

Dalam konteks Kuala Lumpur misalnya, jika dibandingkan antara ‘penduduk malam’ dan ‘penduduk siang’ kita akan dapati wujud perbezaan peratusan Melayu dan bukan Melayu dalam dua situasi berkenaan. Ramai orang Melayu tinggal di pinggir Kuala Lumpur yang setiap hari masuk ke kawasan bandar raya untuk mencari rezeki. Jika pilihan raya dilaksanakan suara mereka akan disisih. 

Selain itu, pilihan raya akan menghasilkan pemimpin yang populis. Calon-calon yang bertanding biasanya terpaksa bergabung dengan parti politik bagi memastikan wujud jentera kempen yang kuat. Hasilnya kita akan dapat Datuk Bandar dari kalangan ahli politik.

Rakyat Malaysia sudah berpolitik secara berlebihan. Setiap perkara dikaitkan dengan politik. Setiap kali pilihan raya kecil, atau pilihan raya umum negeri, isu-isu politik akan terus hangat. Fokus kepada kesejahteraan rakyat semakin kurang.

Dalam realiti sebegini, kita pelik bila Menteri bercakap soal pilihan raya Datuk Bandar DBKL, sedangkan terlalu banyak agenda penting  perlu menjadi keutamaan untuk kesejahteraan penduduk Wilayah Persekutuan.

Post a Comment

0 Comments