Oleh: Roslinda Hashim
SUNGAI PETANI - Pembangunan projek mega Kedah Aerotropolis yang merangkumi Lapangan Terbang Antarabangsa Kargo Kulim (KXP) kini memasuki fasa lebih tersusun apabila Pelan Induk Kedah Aerotropolis (KXP) diperhalusi sebagai panduan utama pelaksanaan projek berimpak tinggi itu secara berperingkat dan terancang.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah berkata, pelan induk tersebut menjadi asas penting bagi menyelaras fungsi, fasa pembangunan serta penggunaan tanah secara optimum melibatkan tiga komponen utama Kedah Aerotropolis.
Menurutnya, pelaksanaan projek KXP dalam daerah Kuala Muda bukan sahaja mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, malah berpotensi memberi limpahan pembangunan ekonomi kepada seluruh Wilayah Utara.
“Projek ini dijangka menarik pelaburan asing dan domestik khususnya dalam sektor aeroangkasa, logistik dan pembuatan berteknologi tinggi, sekali gus membuka peluang pekerjaan baharu merentasi pelbagai sektor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan rasmi KXP Airport City bagi membincangkan perancangan serta pelaksanaan Pelan Induk Kedah Aerotropolis (KXP) dalam daerah Kuala Muda, baru-baru ini.
Menurut Tunku Iskandar Shah, perbincangan tersebut turut memperkukuh kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan dan pemaju projek bagi memastikan pembangunan dilaksanakan selari dengan perancangan daerah.
“Kesepakatan terhadap pelan induk ini penting supaya pembangunan dapat dibuat secara berfasa, tersusun dan berfasa, selari dengan perancangan pembangunan daerah Kuala Muda.
“Diharapkan kolaborasi berterusan antara pihak berkuasa tempatan dan pemaju projek, Kedah Aerotropolis akan muncul sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri dan Wilayah Utara, serta menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.
“Usaha ini juga diyakini mampu meningkatkan daya saing negeri di peringkat nasional mahupun antarabangsa sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan negara,” katanya.
Pada 13 November 2025, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan bahawa enam daripada lapan nasihat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) berkaitan pelaksanaan Projek Kedah Aerotropolis termasuk KXP telah dipatuhi.
Dua lagi nasihat di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan masih dalam proses pematuhan, melibatkan kelulusan penubuhan aerodrom KXP serta libat urus bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi penyelarasan operasi pesawat awam dan ketenteraan.
Menurut Sanusi, beberapa sesi libat urus bersama TUDM telah diadakan bagi membincangkan isu teknikal termasuk kesesakan trafik udara, operasi latihan tentera dan laluan penerbangan.
Tambah beliau, Mesyuarat MPFN ke-48 telah meluluskan lanjutan tempoh sah pematuhan nasihat MPFN selama lima tahun sehingga 27 Oktober 2030, manakala Mesyuarat MPFN ke-49 pula bersetuju supaya pembangunan komponen industri dan perniagaan seperti Business Park serta Sidam Logistic and Manufacturing (SLAM) Hub diteruskan tanpa menunggu kelulusan penubuhan aerodrom.
Sanusi memaklumkan, rundingan dengan Kerajaan Persekutuan akan diteruskan bagi memastikan semua keperluan teknikal dipatuhi agar Kedah Aerotropolis dapat direalisasikan selaras dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan The Greater Kedah.
Beliau tegaskan, Kedah Aerotropolis bakal menjadi pemangkin ekonomi baharu Wilayah Utara melalui pembangunan lapangan terbang kargo, taman industri, hab logistik serta rangkaian perhubungan termasuk lebuh raya dan laluan kereta api, sekali gus muncul sebagai ‘game changer’ pembangunan ekonomi serantau.

0 Comments