Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dilaporkan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sejak 15 Februari lalu dan sehingga kini masih belum dibenarkan bertemu ibu bapanya.
Ketua Pengarah Ameerah, Dewan Muslimat PAS Pusat, Mardhiyyah Johari berkata, beliau menerima aduan daripada seorang bapa di negeri ini yang memaklumkan anaknya yang masih bawah umur ditahan polis di bawah akta berkenaan.
Menurutnya, remaja itu ditahan di Alor Setar dan hampir dua minggu berada dalam tahanan tanpa dapat berhubung dengan keluarga.
“Saya pernah membantah penggunaan SOSMA sebelum ini, apatah lagi apabila ia digunakan terhadap kanak-kanak dan remaja bawah umur,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor itu.
Mardhiyyah yang juga seorang pengamal undang-undang tegaskan, tindakan menahan kanak-kanak atau remaja bawah umur di bawah SOSMA adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Jelasnya, tempoh reman kes jenayah biasa lazimnya maksimum 14 hari, namun di bawah SOSMA, tempoh tahanan boleh mencecah sehingga 28 hari.
“Begitu lama sekali. Anak ini sudah berada dalam tahanan selama 12 hari ketika aduan diterima. Saya fikir tempoh itu lebih daripada mencukupi untuk polis mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi tujuan siasatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak agar kes tersebut dirujuk di bawah peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 dan bukannya menggunakan SOSMA.
“Polis boleh menyiasat di bawah Kanun Keseksaan dengan merujuk serta melindungi anak ini sepenuhnya berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya.
Beliau turut mendesak Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) supaya menyemak semula kes berkenaan dan membebaskan remaja itu dengan kadar segera.
“Saya bukan mahu berpolitik dalam isu seperti ini. Saya yakin kita boleh bekerjasama untuk memperbetulkan keadaan,” katanya.
Menurutnya lagi, beliau tidak mendedahkan identiti remaja berkenaan serta ibu bapanya bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap keluarga terbabit.
“Untuk rekod, saya dimaklumkan kehidupan harian anak ini hanyalah rumah dan sekolah. Sekolah ke rumah, tidak keluar melainkan atas arahan ibu bapa. Jadi, tangkapan ini pasti mengejutkan dirinya yang baru berusia 17 tahun,” katanya.
Tambah Mardhiyyah, sekiranya tidak menggunakan pendekatan terbuka, beliau bimbang proses birokrasi akan mengambil masa lama sehingga remaja itu mungkin terpaksa menunaikan ibadah Ramadan dan menyambut Aidilfitri dalam tahanan.
“Saya mohon agar anak ini yang masih lagi di bawah umur, dibebaskan segera,” katanya.
Sebelum ini pada 14 Januari lalu, Ameerah Malaysia turut mengecam tindakan pihak berkuasa menahan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di bawah SOSMA yang disifatkan bercanggah dengan prinsip perlindungan kanak-kanak dan hak asasi manusia.
Remaja tersebut dilaporkan ditahan bersama bapanya dalam satu sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Jitra dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum akhirnya dibebaskan selepas menerima desakan pelbagai pihak.

0 Comments