PEMUDA PAS KEDAH PERSOAL AGENDA PKR
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Dewan Pemuda PAS Kedah mempersoalkan hala tuju Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah apabila mendakwa tiada pembentangan jelas berkaitan perancangan masa depan negeri, sebaliknya lebih tertumpu kepada serangan terhadap Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ketua Pemuda PAS Kedah, Ku Abd Muhyi Ku Abdul Hamid berkata, konvensyen berkenaan gagal memperincikan pelan pembangunan atau garis masa jelas berhubung hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan Kedah sebagai kubu kuat parti itu.
“Dalam konvensyen itu, apa yang dibentangkan tentang Kedah? Tidak ada. Apa yang dibentangkan hanya tentang MB Sanusi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran penganjuran konvensyen berkenaan yang didakwa menelan belanja besar sekiranya tujuannya sekadar menyerang kepimpinan kerajaan negeri.
“Takkan PKR terpaksa berhabis ribuan ringgit adakan majlis hanya semata-mata untuk burukkan Sanusi? Nampak sangat cybertrooper PKR gagal buat kerja,” katanya.
Pada Jumaat, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Kedah 2026 menyatakan hasrat agar Kedah dijadikan kubu kuat parti itu susulan kejayaan memenangi beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya lalu, khususnya di selatan negeri ini.
Perdana Menteri berkata, Kedah berpotensi menjadi contoh kubu terbaik kepada pergerakan parti di negeri lain, selain yakin negeri itu mampu ditawan semula berdasarkan kedudukan semasa PKR yang disifatkan berada pada tahap terbaik.
Beliau turut menegaskan kekuatan itu perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh organisasi di peringkat cabang dan negeri, dengan mengambil kira parti-parti pembangkang yang menurutnya dilihat tidak stabil ketika ini.
Menurut Ku Abd Muhyi, pengumuman Perdana Menteri untuk menjadikan Kedah sebagai kubu kuat parti itu dilihat sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada tekanan isu semasa di peringkat Persekutuan, yang gagal ditangani dengan baik.
“Anwar umum untuk jadikan Kedah sebagai kubu kuat PKR. Sekali baca macam kubu, dua kali baca macam kubur pun ada,” katanya sinis.
Tambah beliau lagi, tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membangkitkan semula isu berkaitan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan unsur nadir bumi (REE) yang pernah dimainkan ketika kempen pilihan raya lalu tidak berasas kerana isu berkenaan telah dijawab dan ternyata tidak benar.
“Saifuddin diberikan tanggungjawab menjaga Kedah tetapi hanya bercakap modal-modal politik lama yang sudah pun terjawab.
“Tuduhan fitnah berkaitan MARRIS dan REE terhadap Menteri Besar Kedah dalam tempoh kempen pilihan raya lalu juga masih ‘berbekas’. Saifuddin menipu rakyat Kedah semata-mata mahu berkuasa?” katanya.
Dalam pada itu, Ku Abd Muhyi turut mempersoalkan peranan Saifuddin yang merupakan Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah, berhubung kekerapan mesyuarat serta keberkesanan pelaksanaan tugas.
“Nak tanya juga, sejauh mana Saifuddin menjalankan tugasnya dengan baik? Berapa kali mesyuarat diadakan setakat ni,” soal beliau.

0 Comments