Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Ahli dan penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diminta supaya bertenang dan berlapang dada menerima peralihan kepimpinan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, semua pihak sewajarnya bersikap terbuka menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, seterusnya memberi laluan kepada rakan gabungan, PAS untuk menerajui PN.
Menurutnya, sebarang kenyataan terbuka berkaitan pengesahan mahupun pelantikan jawatan Pengerusi PN berpotensi melemahkan kestabilan serta keutuhan gabungan berkenaan.
“Berbalas kenyataan secara terbuka antara rakan gabungan tidak membawa sebarang manfaat kepada parti, malah berpotensi mengalihkan fokus perjuangan serta melemahkan sokongan rakyat terhadap PN.
“Ahli-ahli BERSATU perlu menerima realiti akan berlaku peralihan kepimpinan ini dan beri laluan kepada rakan kita dari PAS untuk menerajui PN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Shafiq tegaskan, peralihan kepimpinan dengan memberi peranan itu kepada rakan gabungan merupakan permulaan yang positif dan mencerminkan PN sebagai gabungan yang mengamalkan kepimpinan kolektif serta bergilir, bukannya didominasi oleh BERSATU semata-mata.
“Pendekatan itu juga mampu memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap PN sebagai sebuah gabungan politik yang matang dan stabil,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar BERSATU memberi tumpuan kepada peranan strategik yang boleh dimainkan bagi memperkukuhkan PN, termasuk melalui pengisian jawatan-jawatan lain dalam gabungan tersebut.
“Ini termasuk kemungkinan rombakan di peringkat Majlis Tertinggi dan pelantikan Pengerusi Negeri bagi memastikan kekuatan parti terus diperkasakan,” katanya.
Pada Isnin, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media di ibu Pejabat PAS memaklumkan, Pengerusi PN tidak semestinya daripada kalangan presiden parti komponen.
Takiyuddin berkata, perlembagaan gabungan itu tidak mengehadkan jawatan tertinggi kepada peringkat presiden parti selain menyatakan Pengerusi PN hendaklah dipilih oleh Ahli Majlis Tertinggi.
Mesyuarat luar biasa yang dijadualkan pada Khamis ini menyaksikan 16 ahli Majlis Tertinggi PN akan memutuskan sama ada menerima peletakan jawatan Muhyiddin, dan sekiranya diluluskan, mereka akan membincangkan parti mana yang akan memimpin gabungan tersebut.
Majlis Tertinggi PN mempunyai seramai 19 ahli termasuk Muhyiddin, namun tiga daripadanya telah meletak jawatan.
Takiyuddin juga mengesahkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak dinamakan sebagai calon Pengerusi PN berlandaskan Perlembagaan PN yang tidak memperuntukkan jawatan pengerusi mesti dipilih kalangan presiden parti komponen.
Pada 30 Disember tahun lepas, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU memaklumkan hasratnya untuk meletak jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Setiausaha Agung BERSATU dan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengikut jejak Muhyiddin dengan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Agung PN berkuat kuasa 1 Januari.
Susulan itu, timbul pelbagai spekulasi calon yang akan menerajui PN termasuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar.

0 Comments