PEMUDA PAS SIFATKAN TINDAKAN MUHYIDDIN BERJIWA BESAR



ALOR SETAR - Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai pemimpin berjiwa besar.


Ketua DPPM, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, keputusan yang diambil oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu wajar dihormati semua pihak.


Menurut beliau, walaupun kepimpinan berubah, PN perlu terus kekal utuh sebagai sebuah gabungan politik yang membawa aspirasi rakyat.


“Tiada langsung isu peribadi, melainkan hanya menyuarakan ketegasan untuk kebaikan kita bersama dalam sebuah kapal. 


“Walau nakhoda kapal berganti, kapal ini mesti terus belayar menempuh ombak dan badai, hingga sampai ke destinasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Afnan Hamimi turut memohon maaf sekiranya kenyataan yang pernah disuarakan sebelum ini menyinggung perasaan Muhyiddin, sambil menegaskan rasa hormat dan sanjungannya terhadap tokoh berkenaan tidak pernah pudar.


“Saya mohon maaf andai ada kata-kata yang menyebabkan Tan Sri Muhyiddin rasa tidak senang atau tersinggung. 


“Segala pandangan yang pernah saya ungkapkan tidak sedikit pun mengurangkan rasa hormat saya kepada Tan Sri, lebih-lebih lagi beliau sebagai Abah, seorang yang lebih berusia dan berpengalaman,” ujarnya.


Mewakili seluruh jentera Pemuda PN dan Pemuda PAS, Ahli Parlimen Alor Setar itu turut merakamkan penghargaan atas jasa dan khidmat bakti Muhyiddin sepanjang memimpin PN dan negara, khususnya ketika mengemudi pentadbiran negara sewaktu pandemik Covid-19.


“Jasa menyelamatkan negara daripada wabak Covid-19 dan memulihkannya sehingga rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala hari ini adalah jasa amat besar, sejarah itu tidak boleh diubah. 


“Kami ucapkan terima kasih kepada Tan Sri, jasamu kami kenang sampai akhir hayat,” katanya.


Pada Selasa, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026 menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.


Sehari sebelum itu, Afnan Hamimi menerusi hantaran di Facebook menyuarakan pandangan bahawa PAS wajar mengambil alih kepimpinan PN susulan perkembangan politik di Perlis, yang menyaksikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu menandatangani akuan bersumpah (SD) menolak Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.


“Dengan apa yang berlaku di Perlis, layak sangatlah PAS mengambil-alih mengetuai PN, saran Presiden PAS sebagai Pengerusi PN,” katanya.


Afnan Hamimi turut mendakwa kegagalan mengawal tindakan ADUN parti sendiri serta ketiadaan tindakan tegas terhadap mereka mencerminkan kelemahan kepimpinan, malah disifatkan sebagai merestui perbuatan tersebut.


“Bila ditanya, dijawab tiada arahan untuk ADUN tandatangani SD. Didesak ambil tindakan tegas seperti PAS ambil tindakan terhadap tiga bekas ADUN PAS, sehingga kini tiada tindakan. Bahkan, dihantar pula nama untuk calon Menteri Besar. 


“Kawan yang tidak mampu mengawal anak buah adalah kawan yang lemah. Kawan yang menjatuhkan kawan sendiri adalah kawan yang khianat,” katanya.


Beliau turut menegaskan pendirian Pemuda PAS bahawa kepimpinan PN perlu diperkukuhkan berlandaskan prinsip tegas, berintegriti dan setia kepada perjuangan bersama.


Afnan Hamimi turut melontarkan cadangan mewujudkan PN 2.0 dan Muafakat Nasional (MN) 2.0, namun tidak mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan.


PN ditubuhkan pada Februari 2020 sebagai gabungan politik baharu selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan matlamat membentuk kerajaan Persekutuan berasaskan kerjasama parti-parti Melayu-Islam dan rakan sekutu dari Sabah serta Sarawak.


Gabungan parti berkenaan dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi dan Perdana Menteri kelapan ketika itu, sebelum gabungan itu berkembang menjadi entiti politik rasmi disertai PAS, Bersatu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta beberapa parti lain dan kemudiannya bertanding secara rasmi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


ROSLINDA HASHIM

Post a Comment

0 Comments