“Pembedahan ini satu-satunya peluang untuk selamatkan nyawanya” - ibu
PENDANG - Di sebalik senyuman kecil yang kian pudar, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dari Kampung Paya Sena, di sini, kini bertarung nyawa akibat penyakit kanser yang jarang ditemui sehingga merosakkan hatinya.
Muhammad Arash Zulkarnain Mohamad Fariz Najdi disahkan menghidap Langerhans’ Cell Histiocytosis (LCH), sejenis kanser yang menyerang hati sejak awal kelahirannya, menyebabkan organ tersebut gagal berfungsi dan memerlukan pemindahan hati dengan segera bagi menyelamatkan nyawanya.
Ibu Arash, Nor Syatirah Zairenor, 31, berkata, satu-satunya harapan buat anak keduanya itu adalah menjalani pembedahan pemindahan hati di Renji Hospital, Shanghai, China, yang dijadualkan pada Januari 2026 dengan anggaran kos keseluruhan RM185,000.
“Kami perlukan dana pemindahan hati untuk anak, setakat ini dana yang berjaya dikumpulkan hanya sekitar RM2,000.
“Doktor sahkan hati Arash sudah rosak teruk dan memang perlu diganti. Kalau lambat, nyawanya dalam bahaya. Pembedahan ini bukan pilihan, tetapi satu-satunya peluang untuk selamatkan dia,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Menurutnya, usaha mengumpul sumbangan baharu sahaja dimulakan dengan bantuan Pertubuhan Biliary Atresia Semalaysia (BAMA).
Lebih menyayat hati, Nor Syatirah sendiri disahkan sesuai sebagai penderma dan sanggup mendermakan sebahagian hatinya demi menyelamatkan nyawa anak tersayang.
“Saya cuma nak tengok Arash sihat, boleh berlari dan bermain macam kanak-kanak lain,” katanya.
Sementara Mohamad Fariz Najdi Mahamad Subri, 31, memaklumkan, anaknya itu pada awal kelahiran membesar seperti bayi normal dan aktif, namun mula menunjukkan tanda penyakit apabila berusia setahun enam bulan selepas matanya kelihatan kekuningan.
“Arash sudah boleh berjalan ketika umurnya 10 bulan dan aktif bermain bersama kakaknya berusia empat tahun. Bila dia mula menunjukkan tanda sakit, kami bawa ke hospital di Melaka, ketika itu saya bekerja di sana.
“Arash sudah jalani pembedahan membuang kelenjar sebesar telur puyuh dan dimasukkan alat untuk kemoterapi dilakukan setiap Jumaat, setiap minggu kami ulang alik Melaka-Kuala Lumpur, selepas kes ini dirujuk ke Hospital Tunku Azizah.
“Arash disahkan mengalami kerosakan hati disebabkan komplikasi penyakit LCH, yang menyerang hati, kelenjar dan kulit. Penyakit ini sangat jarang, satu kes bagi setiap 200,000 kelahiran, dan Arash merupakan pesakit kedua dalam negara,” katanya.
Tambahnya, Arash menjalani kemoterapi selama 10 minggu, namun rawatan terpaksa dihentikan selepas keadaannya semakin merosot apabila hati dan limpa terus membesar sehingga menyebabkan perutnya kini mencecah 18 sentimeter, manakala hati 12 sentimeter.
“Doktor beri dua pilihan, sama ada tunggu dan lihat sehingga dia menghembus nafas terakhir atau lakukan pemindahan hati. Jika buat di Malaysia, peluang hidup 50-50, tetapi di China kadar kejayaan cecah 90 peratus,” katanya dengan nada sebak.
Akibat keadaan Arash, Mohamad Fariz Najdi terpaksa berhenti kerja sebagai jurutera bagi memberi sepenuh tumpuan kepada rawatan anaknya, manakala isterinya merupakan suri rumah sepenuh masa.
“Kesemua kos rawatan dan perjalanan sebelum ini ditanggung sendiri kami sekeluarga. Kami harap dapatlah bantu kami cari dana untuk anak jalani pemindahan hati dan doakan kesihatan Arash.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Pertubuhan Biliary Atresia Malaysia (BAMA), Bank Rakyat 1102 31 0504 (rujukan: Adik Arash LT) atau menghubungi Mohamad Fariz Najdi di 013-491 0671 atau 010-398 4638.
Perkembangan terkini Adik Arash juga boleh diikuti menerusi media sosial ibunya di Facebook Umie Syatirah, TikTok @umie_tierah dan Instagram @umie_syatirah.

0 Comments