SANUSI KEKAL PRESIDEN KFA, MUHAMAD RADHI TIMBALAN PRESIDEN

 

“TUMPU HALA TUJU, KPI SETIAP PORTFOLIO”

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor terus diberi kepercayaan menerajui Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) apabila menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden untuk penggal 2026 hingga 2030.

Exco Belia dan Sukan, Muhamad Radhi Mat Din turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KFA yang berlangsung sempena Kongres Tahunan KFA kali ke-51, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Dalam pada itu, tiga calon dipilih mengisi jawatan Naib Presiden, iaitu Datuk Kamil Din yang memperoleh 11 undi, diikuti Dato’ Zuraidi Rahim dan Dato’ Syed Yussof Syed Othman masing-masing mendapat sembilan undi.

Bagi jawatan Ahli Eksekutif, lapan calon yang memperoleh undi tertinggi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar dan Rozaimi Abd Rahim yang masing-masing meraih 12 undi.

Ahli lain termasuk Mohd Aizad Roslan dan Safwan Hanif Shafie (11 undi), Beh Ying Shen (10), Sithambaram a/l Pawadoi dan Idzham Nordin (sembilan undi) serta Abd Ra’uf Ibrahim dengan lapan undi.

Sementara itu, Nor Syafini Chik Buang dipilih sebagai Ahli Eksekutif (wanita) selepas memperoleh lapan undi.

Mengulas hala tuju persatuan bagi penggal baharu, Sanusi berkata, setiap portfolio perlu mempunyai hala tuju yang jelas, serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang boleh diukur selain pelan tindakan jangka pendek dan panjang.

"Jawatan bukan sekadar kedudukan, ia adalah amanah untuk menghasilkan keputusan dan pencapaian yang memberi manfaat kepada persatuan.

"Kongres ini bukan sekadar memenuhi tuntutan tahunan persatuan. Inilah medan tertinggi untuk menilai keupayaan pentadbiran, memperkukuh kesepakatan dan menentukan arah masa depan bola sepak Kedah," katanya.

Beliau berkata, kematangan KFA yang melangkaui usia satu abad tidak seharusnya diukur berdasarkan tempoh penubuhannya semata-mata, sebaliknya perlu dibuktikan menerusi kecekapan tadbir urus, pengukuhan hubungan strategik, disiplin kewangan dan keberkesanan program pembangunan.

Katanya, tanggungjawab kepimpinan KFA adalah memastikan keseluruhan ekosistem bola sepak negeri bergerak dalam satu kerangka tersusun, bermula daripada pembangunan akar umbi hingga ke peringkat pertandingan berprestasi tinggi.

"KFA mesti dihormati melalui kewibawaan institusinya, diyakini melalui pentadbirannya dan dinilai melalui hasil pelaksanaannya.

"Saya menyeru seluruh kepimpinan yang menerima amanah bagi penggal 2026 hingga 2030, bersama Ahli Gabungan dan rakan strategik, supaya menjadikan perancangan ini suatu komitmen bersama yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu, Sanusi berkata, KFA mempunyai 13 Ahli Gabungan yang perlu digerakkan secara menyeluruh bagi memperkukuh pembangunan bola sepak di negeri ini.

“Setiap Ahli Gabungan perlu memperkemas pentadbiran, memelihara status pendaftaran, mematuhi statut serta melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat bola sepak setempat.

“Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita demi masa depan bola sepak negeri Kedah Darul Aman,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA penggal 2022 hingga 2026 atas khidmat, komitmen dan sumbangan mereka sepanjang tempoh berkenaan.


JAWATANKUASA EKSEKUTIF KFA PENGGAL 2026-2030:-

Presiden: 
Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor

Timbalan Presiden: 
Muhamad Radhi Mat Din 

Naib Presiden: 
Datuk Kamil Din
Dato' Zuraidi Rahim
Dato' Syed Yussof Syed Othman 

Ahli Eksekutif: 
Baddrol Bakhtiar
Rozaimi Abd Rahim
Mohd Aizad Roslan
Safwan Hanif Shafie
Beh Ying Shen
Sithambaram a/l Pawadoi
Idzham Nordin
Abd Ra'uf Ibrahim
 
Ahli Eksekutif (wanita): 
Nor Syafini Chik Buang

Post a Comment

0 Comments