Oleh: Roslinda Hashim
KUALA LUMPUR - Empat negeri di bawah gabungan SG4, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis disifatkan sebagai 'gergasi tidur' yang berpotensi menggegar landskap ekonomi negara sekiranya kekuatan sumber, tanah dan tenaga rakyat dimanfaatkan sepenuhnya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, gabungan empat negeri itu memiliki asas kukuh untuk berkembang sebagai zon ekonomi produktif dan menguntungkan, dengan populasi melebihi 5.7 juta penduduk serta keluasan lebih 38,000 kilometer persegi.
"Sejak SG4 diilhamkan dan direalisasikan, pemimpin negeri ini semakin sedar potensi yang mereka miliki serta sejauh mana jangkauan boleh dicapai.
"Sekiranya empat negeri ini dapat menyatukan tenaga, menggabungkan sumber dan saling melengkapi, slogan 'the sky is the limit' (tiada batasnya) bukan lagi sekadar kiasan.
"SG4 mempunyai saiz, kawasan, rakyat dan infrastruktur yang cukup untuk berkembang menjadi zon ekonomi yang produktif serta menguntungkan," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir, sempena SG4 Business & Economic Forum 2026 bertemakan ‘Four States, One Economic Vision’, di sini hari ini.
Mengulas potensi sumber mineral, Dr. Mahathir yang merupakan Penasihat SG4 berkata, kekayaan unsur nadir bumi (REE) di negeri-negeri SG4 yang mempunyai simpanan tertinggi di negara ini kini menarik perhatian pelabur.
Bagaimanapun, beliau tegaskan, tumpuan tidak seharusnya terhad kepada aktiviti mengekstrak dan menjual bahan mentah demi mendapatkan pulangan segera, sebaliknya perlu menjurus kepada usaha menambah nilai mineral berkenaan bagi meningkatkan pendapatan negeri.
"Isu utama sekarang bukan sekadar mengekstrak dan menjual bahan mentah secara terus untuk hasil serta-merta bagi mengisi kantung negeri.
"Sebaliknya, perancangan perlu dibuat untuk menambah nilai kepada mineral ini bagi melipatgandakan hasil pendapatan negeri. Hanya dengan cara ini projek berkenaan menjadi mampan dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat," katanya.
Selain mineral, beliau turut memuji kepimpinan negeri SG4 yang mula beralih daripada aktiviti ekonomi tradisional kepada sektor baharu bernilai tinggi.
Dr. Mahathir turut menolak persepsi bahawa masyarakat Melayu-Islam di empat negeri berkenaan kurang berdaya saing atau tidak berkemampuan dalam bidang perniagaan.
Menurutnya, ramai usahawan Melayu yang berjaya di Kuala Lumpur, Selangor dan Pantai Barat sebenarnya berasal dari negeri-negeri SG4.
"Jika perbandingan dibuat mengikut sempadan, ia mungkin kelihatan sedemikian. Namun jika dilihat daripada sudut rakyatnya, usahawan Melayu yang berjaya di Kuala Lumpur, Selangor dan Pantai Barat sebenarnya terdiri daripada anak-anak jati negeri SG4.
"Orang Melayu sebenarnya berada pada posisi terbaik untuk menjadi peniaga hebat kerana dibimbing oleh ajaran Islam. Islam sentiasa mengingatkan balasan berat bagi mereka yang menipu atau mencuri, dan kejujuran adalah nilai tertinggi," katanya.
Terdahulu, Dr. Mahathir memohon maaf kerana tidak dapat hadir menyampaikan sendiri perutusan berkenaan atas faktor kesihatan dan meminta Mokhzani mewakilinya.
"Saya mohon maaf kerana masih belum pulih sepenuhnya dan anak saya, Mokhzani, menyampaikan ucapan ini bagi pihak saya,” katanya.
Beliau berharap forum berkenaan menjadi penanda aras baharu dalam usaha membangunkan SG4 sebagai entiti yang mempunyai pengurusan mantap, berdaya saing, inovatif, mampan dan berpandangan jauh.

0 Comments