PRN MELAKA: PAS TANDING DUA KERUSI, KEMUKA CALON ‘WINNABLE’

 


Oleh: Roslinda Hashim  


ALOR SETAR - PAS akan bertanding dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, manakala lima kerusi lagi yang diperuntukkan kepada Perikatan Nasional (PN) ditandingi parti komponen dalam gabungan itu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, calon-calon yang diketengahkan PN mempunyai kelayakan akademik, pengalaman serta kemampuan untuk memenangi kerusi yang ditandingi.

“Calon-calon yang diketengahkan hebat, ada kelulusan dan ada pengalaman. Calon yang winnable (berpotensi menang),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup The Greater Kedah Lecture Series 1 bertemakan ‘Empowering Lives, Advancing Kedah’, hari ini.

Bagaimanapun, Sanusi tidak memperincikan agihan kerusi DUN yang bakal ditandingi parti Wawasan, Pejuang atau Gerakan.

“Dua kerusi PAS bertanding, Gerakan, Wawasan semua yang lain ada tempat mereka,” katanya.

Menteri Besar Kedah itu turut mengesahkan akan hadir pada hari penamaan calon, 31 Oktober ini serta turun padang membantu kempen calon PN bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada PRN berkenaan.

“Saya akan bantu kempen di Melaka untuk menangkan calon PN. 

“Mungkin juga saya akan cakap ‘orang putih’ di sana masa ceramah kempen bagi mereka (pihak yang mengecam beliau) sakit hati,” katanya berseloroh.

Terdahulu, media melaporkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan rundingan pembahagian kerusi dengan PAS bagi PRN Melaka sudah dimuktamadkan.

BN dilaporkan akan bertanding di 21 kerusi DUN, manakala PN di tujuh kerusi.

PN dijadual mengumumkan senarai calonnya pada malam ini di Dewan Muallim Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari mengundi PRN Melaka.

Post a Comment

0 Comments