Oleh: Roslinda Hashim
KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) menyasarkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai medan untuk menamatkan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan pilihan raya akan datang sebagai peluang terbaik untuk PN mengambil alih Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, tempoh menuju PRU16 yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya pada Disember 2027 perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh jentera parti tanpa leka dengan persiapan rapi menghadapi pilihan raya.
“Inilah penggal terakhir PH memerintah Malaysia dan penggal terakhir PN menjadi pembangkang. Selepas ini kita akan jadi Kerajaan Pusat di Malaysia.
“Ketika itu, kita akan bawa pendekatan baharu dalam pembangunan negara, iaitu membangun bersama Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) sempena Karnival Rakyat 36 Tahun Membangun Bersama Islam di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, pada Jumaat.
Sanusi memaklumkan, pendirian PN bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak akan ditentukan oleh kepemimpinan gabungan itu selepas berakhirnya PRN Melaka.
“Pemimpin akan buat keputusan, dan apa pendirian kita tentang pilihan raya di Sarawak kelak,” katanya.
Menurutnya lagi, terdapat juga perbincangan tidak rasmi mengenai kemungkinan PRN di empat negeri di bawah pentadbiran PN, iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis, diadakan serentak pada 2027, namun belum ada keputusan muktamad dibuat kepemimpinan parti.
“Kita akan berdepan PRU16, Disember 2027 adalah tempoh matang untuk PH berundur dari Putrajaya, dan beri laluan kepada pilihan raya umum.
“Kelantan, Kedah, Terengganu, tempoh matang hingga 2028. Ada sembang-sembang mungkin elok buat sekali. Sembang-sembang saja dulu, pemimpin tak buat keputusan lagi.
“Kalau kita sekalikan, bermakna ada setahun sahaja lagi. Jadi, kita tidak boleh leka,” katanya.
Berikutan itu, Sanusi menggesa ahli parti dan penyokong PN supaya bekerja bersungguh-sungguh bagi menghadapi PRU16, selain mengajak rakyat yang mementingkan keamanan dan keadilan untuk memberi peluang kepada gabungan itu membentuk kerajaan baharu.
“Umat Islam, orang Melayu, pencinta keamanan, pencinta keadilan, pembenci kepada pembohongan, marilah tumbangkan PH, kita kalih kerajaan.
“Beri peluang kepada Perikatan Nasional selamatkan Malaysia, tak boleh biarkan lagi kepada PH. Kita tengok sehari demi sehari, kerosakan demi kerosakan dilakukan di negara ini,” katanya.
Beliau turut mengkritik pentadbiran PH yang dilihat gagal menunaikan banyak janji pilihan raya, sambil mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji baharu Kerajaan Perpaduan.
“Kita ada kerajaan yang begitu banyak mungkir janji. Yang begitu banyak tak buat apa yang dia kata nak buat. Setiap hari ada janji baru.
“Sekarang Perdana Menteri sebut waad. Waad serupa dengan janji. Dia sebut waad supaya orang lupa bahawa dia telah berjanji begitu banyak, tapi tak tunai.
“Tak boleh terpesona dengan janji-janji baharu Kerajaan Perpaduan. Jangan percaya. Begitu banyak janji tidak ditunaikan,” katanya.
Pada masa sama, Sanusi yakin PN mampu memperluaskan pengaruhnya ke negeri lain, termasuk Perak, Pahang dan Selangor.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan ahli dan pemimpin PN supaya tidak menjadikan politik sebagai medan mencari kekayaan, kuasa atau pangkat sehingga mencetuskan perbalahan sesama sendiri.
Sebaliknya, katanya, perjuangan politik perlu berteraskan kerjasama, mengelakkan sikap tamak haloba dan mengutamakan kepentingan rakyat.
“Berjuang bersungguh-sungguh, jangan kedekut tenaga dan harta benda. Jangan masuk politik nak cari kekayaan, kuasa atau pangkat, meminta macam-macam. Itu semua penyebab kacau bilau.
“Jangan gila kuasa, jangan gila pangkat sampai berkelahi. Marilah kita berpakat elok-elok secara aman,” katanya.

0 Comments