Oleh: Roslinda Hashim
KOTA BHARU - Model pembangunan berteraskan Islam yang dilaksanakan di negeri-negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) perlu dipertahankan sebagai pendekatan alternatif kepada sistem pembangunan yang terlalu menekankan kekayaan material, kata Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan PAS Pusat itu berkata, falsafah ‘Membangun Bersama Islam’ bukan sekadar pendekatan pentadbiran negeri, sebaliknya merangkumi pembangunan menyeluruh mencakupi ekonomi, sosial, pendidikan dan kehidupan manusia berlandaskan agama Islam.
Menurutnya, pendekatan itu perlu diperluaskan ke negeri-negeri lain supaya pembangunan tidak hanya diukur berdasarkan kekayaan, kemasukan pelaburan atau kemajuan infrastruktur, tetapi turut mengambil kira aspek akidah dan moral masyarakat.
“Jangan terpesona dengan slogan, jangan berasa lekeh. Berpegang kepada kitab, kepada Islam yang tidak akan melecehkan kita.
“Indeks ukuran pembangunan yang kita pegang ada yang tidak sama, ada berbeza sama sekali. Pembangunan yang kita mahukan ialah yang boleh membawa kita merentasi alam roh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh, alam mahsyar dan seterusnya syurga atau neraka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) sempena Karnival Rakyat 36 Tahun Membangun Bersama Islam di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Jumaat.
Sanusi berkata, seluruh umat Islam perlu mempertahankan pendekatan berkenaan dalam kerangka lebih besar khususnya pentadbiran negara.
“Kekalkan pendekatan itu di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis untuk kita gagaskan. Falsafah ‘Membangun Bersama Islam’ adalah satu cabaran kepada sistem yang sedang memerintah dunia ini.
“Bangunkan negara mengikut acuan Islam yang ditunjukkan Allah melalui RasulNya, kitab yang diajarkan oleh alim ulama. Inilah model pembangunan yang kita mahu bawa menentang semua hegemoni, teori pembangunan, dan tajaan Barat yang dibawa penjajah,” katanya.
Tambah beliau, masyarakat tidak seharusnya mudah menerima tanggapan bahawa pendekatan pembangunan berteraskan Islam membawa kemunduran hanya kerana sesebuah negeri tidak memiliki industri besar, pelaburan tinggi atau lapangan terbang berskala besar.
Sebaliknya, beliau tegaskan, pembangunan perlu dinilai berdasarkan acuan yang mengambil kira matlamat kehidupan manusia di dunia dan tanggungjawab terhadap kehidupan selepas kematian.
“Bertahan dengan kefahaman kita, yang dibawa oleh alim ulama, tuan guru, pemikir yang telah membahagikan, inilah pembangunan yang Tuhan reda.
“Kalau nak maju, guna teori ‘Membangun Bersama Islam’. Selain daripada ini, kalau ada dualisme, maka negeri, negara, bangsa, umat manusia tidak akan maju.
“Adakah yang dicari kekayaan dan harta melimpah-ruah tetapi membawa keruntuhan moral, meninggalkan akidah, melupakan Tuhan sehingga manusia berbondong-bondong menyembah kekayaan dan ekonomi,” soal beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam supaya mempertahankan pendekatan pembangunan berteraskan Islam selain berusaha memperluaskannya ke negeri-negeri lain.
Beliau turut membangkitkan keperluan untuk menilai semula teori pembangunan yang dipengaruhi pemikiran penjajah Barat, termasuk fahaman yang mengutamakan satu pendekatan pembangunan sebagai ukuran kemajuan sejagat.
“Kaji semula falsafah, pendekatan, teori pembangunan yang kita agung-agungkan hari ini. Mari kita kembali kepada Islam, beramal dengan cara hidup Islam, termasuk dalam politik, pembangunan, ekonomi, sosial dan pendidikan,” ujarnya.

0 Comments