Oleh: Datuk Omar Mustapha
Naib Presiden Parti Wawasan Negara,
Pengerusi Biro Ekonomi dan Ketua Bahagian Langkawi,
Bekas Pengurus perancangan korporat PETRONAS (1994 - 1997),
Bekas Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif dan Bekas Pengerusi Pusat Kepimpinan PETRONAS (2009 - 2018)
Dua berita tentang PETRONAS sampai kepada kita baru-baru ini.
Yang pertama dari jauh. Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Petronas kerana kilang gas aslinya di Kanada akan dibesarkan dua kali ganda.
Yang kedua dari dekat. Bulan lalu, 20 kilometer dari Langkawi, kapal pemetaan mula mencari gas di dasar Laut Kedah.
Kedua-duanya kelihatan berbeza. Sebenarnya ia satu kisah, dan pengajarannya sama. Biar saya mulakan dengan yang jauh, kerana ia sudah selesai dan pengajarannya sudah jelas.
Kanada: 14 tahun menunggu
Ucapan tahniah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu ini wajar. Projek ini memang besar, dan ia memang kejayaan Malaysia. Tetapi ada satu perkara yang tidak disebut. Projek ini diputuskan pada tahun 2012, iaitu 14 tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, lima Perdana Menteri silih berganti. Dan untuk sebahagian besar tempoh itu, ramai orang kata keputusan 2012 itu satu kesilapan.
Saya berkhidmat sebagai Ahli lembaga pengarah Petronas dari 2009 hingga 2018 dan ketika keputusan itu dibuat di peringkat tertinggi. Biar saya ceritakan apa yang berlaku, dengan angka paling penting sahaja.
Kilang gas asli cecair (LNG) ini terletak di Kitimat, di pantai barat Kanada yang mengadap Lautan Pasifik. Fasa pertama menelan belanja kira-kira RM120 bilion, dikongsi lima syarikat. Petronas memegang satu perempat. Fasa kedua yang baru diluluskan berharga hampir RM100 bilion lagi. Sebagai perbandingan, itu lebih besar daripada peruntukan pembangunan seluruh negara untuk setahun.
Gas asli untuk kilang LNG ini datang dari ladang gas milik Petronas sendiri di Kanada. Ladang itu mengandungi kira-kira 50 trilion kaki padu gas. Angka itu sukar dibayangkan, jadi bandingkan begini: ia lebih kurang sama besar dengan semua gas yang pernah ditemui di perairan Sarawak. Ini bukan saingan Sarawak. Ini simpanan kedua negara, dan kerana ada simpanan kedua, rundingan dengan Sarawak boleh dibuat dengan tenang, bukan dengan ketakutan. Gas asli sebanyak itu boleh dijual selama 20 hingga 40 tahun.
Pada pertengahan tahun 2012 dengan dorongan penuh Perdana Menteri pada ketika itu, Dato Sri Najib Razak, Petronas mengorak langkah berani membida sebuah syarikat gas tersenarai di Kanada bernama Progress Energy dengan harga kira-kira RM16 bilion. Ini pembelian terbesar dalam sejarah Petronas. Kerajaan Persekutuan Kanada menolaknya dahulu pada bulan Oktober. Petronas berjanji akan melabur dan mengekalkan pekerja Kanada, dan pada bulan Disember, Kanada meluluskannya. Pada hari sama, Kanada mengumumkan syarikat milik kerajaan asing tidak lagi dialu-alukan. Pintu itu tertutup selepas Petronas masuk. Hari ini tiada syarikat minyak negara lain boleh masuk seperti itu.
Kemudian datang tahun-tahun sukar. Harga gas jatuh. Kilang gas asli cecair LNG pertama yang Petronas mahu bina sendiri terpaksa dibatalkan pada tahun 2017 selepas lima tahun berusaha. Kerugian direkodkan. Pada masa itu, sesiapa yang mahu berkata Petronas telah membazir, ada bukti untuk berkata begitu.
Petronas tidak berundur. Pada tahun 2018, ia menyertai kilang LNG yang diketuai Shell di Kitimat dan membekalkan gas asli dari ladangnya sendiri. Kapal pertama membawa gas Petronas dari Kanada belayar pada Julai tahun lalu. Minggu ini, fasa kedua diluluskan.
Kami di lembaga pengarah tidak tahu pada tahun 2017, bahawa 2025 akan membuktikan keputusan 2012 itu tepat. Yang kami tahu ialah gas itu ada dalam perut bumi, dan masanya panjang untuk berhasil. Kami tunggu.
Siapa yang bayar?
Petronas membayar semua ini daripada simpanannya sendiri. Tiada wang kerajaan digunakan. Sebaliknya, setiap tahun kerajaan mengambil dividen daripada Petronas.
Pada tahun 2019, setahun selepas Petronas bersetuju membina Kitimat, kerajaan mengambil RM54 bilion, dividen tertinggi dalam sejarah. Pada tahun 2025, walaupun untung Petronas jatuh hampir satu pertiga, kerajaan tetap mengambil RM32 bilion. Itu lebih kurang RM900 bagi setiap rakyat Malaysia, tua dan muda.
Pada bulan Disember tahun lalu Petronas menjual satu perlima daripada perniagaan Kanada ini kepada syarikat yang disokong Saudi Aramco, dengan harga kira-kira RM12 bilion. Selepas itu barulah kerajaan bersetuju mengambil dividen yang lebih rendah, RM20 bilion, untuk tahun 2026.
Bahagian Petronas dalam fasa kedua ini kira-kira RM20 bilion. Sama dengan setahun dividen.
Wang yang sama tidak boleh dibelanjakan dua kali. Ucap tahniah itu percuma. Simpanan anak cucu itu berharga.
Gas di depan pintu kita
Sekarang berita yang dekat.
Petronas kini sedang mencari minyak dan gas di laut kita sendiri, di kawasan dinamakan Lembangan Langkasuka, di utara Selat Melaka. Blok yang dikaji, PM320, PM321 dan PM422, terletak sedekat 20 kilometer dari Langkawi dan 30 kilometer dari Pulau Pinang. Kawasan kajiannya 38,000 kilometer persegi, kira-kira empat kali luas negeri Kedah. Pemetaan 2D dasar laut siap pada tahun 2024. Tujuh syarikat minyak, antaranya BP, Eni dan TotalEnergies, telah menandatangani perjanjian dengan Petronas untuk mengkaji datanya. Pada Ogos ini, pemetaan 3D yang lebih terperinci bermula. Keputusan pemetaan itulah yang akan menentukan sama ada syarikat-syarikat ini diberi kontrak untuk menggerudi di dasar laut.
Belum ada apa-apa ditemui. Kerja mencari begini mengambil masa tiga hingga lima tahun untuk mengesahkan sama ada ada minyak atau gas. Saya tidak akan janjikan apa yang belum ada.
Tetapi ada sebab untuk berharap, dan sebabnya ada di depan mata kita. Batu Langkawi ialah batu paling tua di Malaysia. Lapisan batu yang sama bersambung ke dasar laut. Dan dahulu, sebuah telaga yang dinamakan sempena Pulau Singa Besar pernah mengeluarkan gas dari lapisan batu itu. Itulah yang membuat Petronas kembali mencari, dan itulah sebabnya tujuh syarikat besar dunia sanggup membayar untuk melihat datanya.
Kalau ada penemuan yang boleh dibangunkan, bayangkan apa yang diperlukan. Setiap pelantar di laut memerlukan lebih kurang 100 pekerja pada satu masa, bergilir dua kumpulan. Di Pantai Timur Semenanjung Malaysia ada sekitar 45-60 pelantar minyak aktif dan jumlah keseluruhan tenaga kerja berdaftar sekitar 6,000 hingga 10,000 orang. Bukan jurutera sahaja. Juruteknik marin. Tukang kimpal. Penyelam. Tukang masak. Pencuci. Kelasi. Pengawal keselamatan. Di darat pula, pelantar-pelantar itu memerlukan pangkalan bekalan: jeti, gudang, bot bekalan, helikopter, bengkel, bekalan makanan dan air, tempat penginapan. Di pantai timur, Kemaman menjadi bandar minyak kerana pangkalan bekalan seperti ini. Di Sabah, Labuan.
Sekarang soalan paling penting. Kawasan pemetaan gas itu 20 kilometer dari Langkawi dan 30 kilometer dari Pulau Pinang. Tetapi pelabuhan, limbungan dan syarikat kejuruteraan sudah ada di Pulau Pinang. Kalau tiada siapa berjuang untuk Kedah, pangkalan bekalan itu akan ke Pulau Pinang bukan kerana ia lebih dekat, tetapi kerana ia sudah sedia. Kerja akan ikut pelabuhan, bukan ikut jarak. Jangan sampai gas di laut Kedah, gaji di Pulau Pinang.
Kedah boleh menang perlumbaan ini, tetapi bukan dengan Langkawi seorang diri. Jeti berat dan kawasan simpanan patut di tanah besar yang sesuai. Langkawi pula mengambil apa yang hanya Langkawi ada: lapangan terbang antarabangsa untuk helikopter, pelabuhan marina, hotel dan rumah tumpangan untuk kru yang bergilir, dan anak-anak muda yang sudah biasa dengan laut. Dengan cara ini Geopark kita terpelihara dan seluruh negeri dapat bahagian.
Di Pulau Pinang sudah ada suara membantah kerja ini. Di Kedah kita tidak menolak kerja; kita cuma mahu kerja itu dibuat dengan betul dan manfaatnya dirasai bersama.
Di sinilah kisah Kanada dan kisah Kedah bertemu. Kerja mencari gas di kawasan baru seperti Langkasuka ialah belanja yang paling mudah ditangguh apabila Petronas kekurangan aliran wang tunai. Kalau kerajaan terus mengambil dividen yang tinggi, kerja mencari di depan pintu kita inilah yang akan diketepikan dahulu. Kanada mengajar kita bahawa kesabaran berbaloi. Langkasuka ialah tempat kesabaran itu diperlukan seterusnya.
Gas itu belum tentu ada. Kesediaan kita mesti ada.
Apa yang Parti Wawasan Negara mahu - Dua perkara untuk negara.
Pertama, dividen Petronas ditetapkan mengikut formula yang diumumkan awal untuk beberapa tahun, supaya Petronas tahu berapa yang boleh disimpan dan tidak perlu menjual aset untuk menampung belanja tahun ini.
Kedua, Petronas membentangkan laporan tahunan kepada Parlimen tentang semua pelaburannya di luar dan dalam negara, kerana pelaburan itu kini menjadi masa depan negara, dan rakyat berhak tahu. Pelaburan dalam negara perlu diberi keutamaan yang sewajar.
Tiga perkara untuk negeri Kedah.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sudah lama bersuara mempertahankan Langkawi, termasuk menolak cadangan menjadikannya wilayah persekutuan. Tiga perkara ini untuk menguatkan tangan kerajaan negeri.
Pertama, tapak pangkalan bekalan di tanah besar dikaji sekarang, dan laluan laut besar Langkawi dirancang sebagai sebahagian daripadanya.
Kedua, kolej komuniti dan pusat latihan kita mula melatih tukang kimpal, penyelam dan juruteknik marin dengan sijil yang diiktiraf industri minyak, sekarang, bukan selepas gas dijumpai.
Ketiga, nelayan kita diajak berunding dari sekarang, bukan diberitahu kemudian, kerana laut itu laut mereka dahulu.
Kerja mesti bersambung
Projek besar ambil masa panjang, lebih lama daripada satu penggal pilihan raya. Kilang di Kanada ambil 14 tahun. Gas di Langkasuka, kalau ada, akan ambil 10. Laluan laut Langkawi pun begitu. Kalau kita tunggu sampai ada orang mahu ucap tahniah, tiada satu pun akan bermula.
Dan orang yang tahu dari mana datangnya wang kerajaan, dan berapa lama ia akan bertahan, ialah orang yang boleh berkata jujur kepada Kedah apa yang boleh dijanjikan dan apa yang tidak.
Kerajaan boleh bertukar. Kerja mesti bersambung. Wawasan Kedah perlu dikejar sampai ke Putrajaya dan Menara Kembar PETRONAS.

0 Comments