ECRL BERPOTENSI PACU INDUSTRI SG4, TUMPU PENGANGKUTAN KARGO

 


Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA LUMPUR - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berpotensi besar memacu pembangunan industri empat negeri di bawah SG4, terutamanya menerusi pengukuhan sektor kargo dan kebolehan mengakses ke pasaran selatan Thailand.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penekanan terhadap pengangkutan barangan penting bagi menyokong aktiviti perindustrian, khususnya industri kecil dan sederhana (IKS) di sepanjang jajaran ECRL.

Menurutnya, perkhidmatan kargo perlu merangkumi 70 peratus daripada keseluruhan operasi laluan ECRL, manakala baki 30 peratus diperuntukkan untuk pengangkutan penumpang bagi memaksimumkan potensi laluan itu sebagai pemangkin pembangunan industri negeri-negeri SG4.

“Kita perlu memperkasakan keupayaan IKS di sepanjang laluan ECRL. Di Terengganu misalnya, kita sudah memperuntukkan kawasan khas untuk IKS berdekatan stesen bagi memudahkan proses logistik dan pengangkutan barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena SG4 Business & Economic Forum 2026 bertemakan ‘Four States, One Economic Vision’, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pembangunan kawasan perindustrian berhampiran stesen ECRL perlu diberi perhatian bagi memudahkan urusan logistik, sekali gus meningkatkan keupayaan pengusaha tempatan mengangkut barangan ke pasaran lebih luas.

Ahmad Samsuri berkata, pengukuhan perkhidmatan kargo ECRL juga berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada sektor industri di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menerusi jaringan pengangkutan yang lebih cekap.

Mengulas mengenai pelan penyambungan jajaran rel ke sempadan Thailand yang diluluskan Kabinet, beliau menyifatkan langkah itu sebagai situasi menang-menang kepada Malaysia dan negara jiran.

“Peluasan akses ke pasaran selatan Thailand mampu meningkatkan daya saing ekonomi negeri-negeri SG4, selain membuka ruang kepada kerjasama perdagangan dan perindustrian rentas sempadan.” katanya.

Post a Comment

0 Comments