DASAR SIFAR JUDI: KERAJAAN PUSAT PERLU BERTINDAK, BUKAN SEKADAR TERBUKA MENERIMA CADANGAN!

 


Oleh: Nurul Amin Hamid
Ahli Parlimen Padang Terap

Saya telah membangkitkan persoalan mengenai pelaksanaan Dasar Sifar Judi dalam sidang Dewan Rakyat pada 13 Oktober 2026 dengan meminta Menteri Kewangan menjelaskan langkah Kerajaan Persekutuan untuk menyokong usaha negeri-negeri membanteras perjudian serta kesediaan menyemak keseluruhan undang-undang berkaitan judi.

Namun, jawapan Kementerian Kewangan (MOF) sekadar menyatakan komitmen menilai keberkesanan kawal selia sedia ada dan keterbukaan menerima cadangan penambahbaikan undang-undang perjudian.

Persoalannya, sampai bila kerajaan mahu sekadar menilai dan menerima cadangan, tanpa menyatakan hala tuju yang jelas ke arah dasar sifar judi?

Kerajaan Negeri Kedah di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mengambil pendirian tegas untuk menghentikan pemberian dan pembaharuan lesen premis perjudian mulai 1 Januari 2023. Pendirian ini turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Terengganu.

Malangnya, usaha Kedah berdepan cabaran perundangan sehingga Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos 2026 menolak permohonan kebenaran merayu kerajaan negeri, sekali gus mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu berhubung had bidang kuasa kerajaan negeri.

Keputusan ini sepatutnya membuka mata Kerajaan Persekutuan bahawa usaha melaksanakan dasar sifar judi tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan negeri semata-mata.

Kerajaan Pusat mempunyai peranan besar melalui kuasa perundangan, pelesenan dan kawal selia perjudian. Jika benar kerajaan serius mahu mengurangkan kemudaratan akibat perjudian, langkah yang lebih menyeluruh perlu dirangka.

Saya menggesa Kerajaan Persekutuan supaya:

1. Menyediakan hala tuju dan pelan tindakan dasar sifar judi di peringkat nasional, termasuk sasaran dan tempoh pelaksanaan yang jelas.

2. Mengkaji semula Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Pertaruhan 1953, Akta Pertaruhan Kumpulan Wang 1967 serta undang-undang berkaitan agar dasar pengawalan perjudian dapat dinilai semula secara menyeluruh.

3. Menyemak dasar pengeluaran dan pembaharuan lesen perjudian oleh MOF, termasuk mekanisme penyelarasan dengan kerajaan negeri yang mempunyai dasar sifar judi.

4. Mewujudkan kerjasama Persekutuan–Negeri untuk mencari penyelesaian yang sah di sisi Perlembagaan serta menghormati keputusan mahkamah, tanpa mengetepikan usaha membendung kemudaratan perjudian.

Perjudian bukan sekadar persoalan lesen atau hasil kepada negara. Ia berkait dengan masalah ketagihan, beban hutang, keruntuhan institusi keluarga dan kesejahteraan sosial masyarakat.

Saya juga berpandangan, Kerajaan Persekutuan perlu memberikan penjelasan yang lebih telus berhubung isu pemberian lesen baharu dan pembaharuan lesen sedia ada yang menjadi pertikaian dalam kes Kedah.

Jika Kerajaan Negeri Kedah mempunyai keazaman politik untuk menuju dasar sifar judi, apakah komitmen sebenar Kerajaan Persekutuan?

Kita menghormati proses kehakiman dan kerangka Perlembagaan negara. Namun, keputusan mahkamah tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kerajaan berhenti menilai keperluan pembaharuan dasar dan undang-undang di peringkat Persekutuan.

Kita tidak mahu dasar sifar judi hanya tinggal sebagai slogan. Kita mahu langkah yang nyata, dasar yang jelas dan tindakan yang berkesan.

Saya akan terus membangkitkan persoalan ini melalui saluran Parlimen demi memastikan isu kemudaratan perjudian diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

14 Oktober 2026

#DasarSifarJudi #PadangTerap #ParlimenMalaysia #Kedah #SifarJudi #NurulAminHamid #ahliparlimenpadangterap #ybpadangterap

Post a Comment

0 Comments