Oleh: Syahir Sulaiman
Ahli Parlimen Bachok
Terima kasih Tuan Yang Di-Pertua,
Saya mulakan perbahasan dengan memetik firman Allah SWT dalam Surah Al-Furqan, ayat 67, yang bermaksud:
“Dan mereka (yang diredhai Allah ialah) apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas (membazir) dan tiada bakhil kedekut; dan demikian perbelanjaan mereka adalah pertengahan (sederhana) di antara kedua-dua cara itu”
Semoga ayat ini menjadi pedoman kepada kita semua.
Tuan Yang Di-Pertua,
MEMBINA DAYA TAHAN EKONOMI
Belanjawan 2027 dibentangkan dalam persekitaran ekonomi, politik, sosial, dan iklim yang tidak menentu.
Keadaan ini pastinya menuntut kerajaan memenuhi keperluan rakyat hari ini, di samping memperkukuh keupayaan negara menghadapi cabaran masa hadapan.
Saya tertarik dengan analogi yang dikemukakan oleh Gabenor Bank Negara, ketika berucap merasmikan Simposium Sasana 2026, iaitu “Pokok Gelam”.
Pokok Gelam atau dikenali juga dengan nama Pokok Kayu Putih merupakan sejenis pokok yang banyak tumbuh di kawasan berpaya pesisir pantai di negeri Kelantan dan Terengganu, termasuk di Bachok.
Pokok ini tahan lasak, mampu hidup dalam persekitaran mencabar iaitu di tanah gambut yang sangat berasid, air yang bertakung, kemarau mahupun kebakaran hutan.
Uniknya, pokok ini tidak melawan persekitaran di sekelilingnya, sebaliknya membuat penyesuaian dengan menggugurkan kulitnya secara berterusan, sekali gus memastikan kondisinya sentiasa berada dalam proses pembaharuan.
Analogi ini membawa pengajaran yang penting kepada ekonomi negara, khususnya berkaitan penyesuaian, pembaharuan dan pelaburan bagi masa hadapan.
Tuan Yang Di-Pertua,
Saya kongsikan penilaian makro saya terhadap Belanjawan 2027.
Pertama, ekonomi negara diunjurkan berkembang 4.2 peratus hingga 5.2 peratus tahun hadapan, lebih rendah berbanding jangkaan 5.3 peratus KDNK tahun ini.
Kadar pengangguran dijangka kekal sekitar 3.0%, walaupun isu ‘under-employment’ khususnya dalam kalangan belia dan graduan masih berlarutan.
Inflasi pula dijangka meningkat 2.8% tahun hadapan berbanding 2.5% tahun ini, menandakan wujudnya tekanan kos yang berterusan terhadap pengguna dan peniaga.
Tuan Yang Di-Pertua,
Di bawah pentadbiran Tambun, kita dibentangkan dengan suatu belanjawan yang menggabungkan dua buku kira-kira.
Buku pertama ialah Belanjawan Persekutuan, yang diluluskan oleh Parlimen.
Buku kedua melibatkan syarikat dan dana awam yang dikawal Kerajaan: PETRONAS, Khazanah, KWSP, KWAP, PNB, Tabung Haji, TNB dan lain-lain.
Parlimen tidak mengundi untuk meluluskan buku kedua ini.
Wang ini adalah milik kerani yang telah berkhidmat dengan kerajaan selama 30 tahun, pekerja yang akan bersara dengan simpanan KWSP-nya, bakal jemaah haji yang telah menunggu sepanjang hayat, dan hasil petroleum yang sepatutnya kekal memberi manfaat kepada generasi selepas kita.
Perkara ini perlu difahami oleh rakyat.
Tuan Yang Di-Pertua,
Di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Kerajaan hanya boleh meminjam untuk tujuan pembangunan (DE). Gaji, pencen, subsidi dan bantuan tunai mesti dibiayai sepenuhnya melalui hasil Kerajaan.
Bagi tahun 2027, kerajaan dijangka mengutip hasil berjumlah RM380.8 bilion, manakala perbelanjaan mengurus (OE) ialah RM376.8 bilion. Bakinya hanya RM4 bilion.
Tiada lagi ruang di dalam buku pertama untuk kerajaan, sedangkan pilihan raya semakin hampir. Maka, kerajaan terpaksa membuka ‘buku kedua’.
Antaranya, KWAP akan membina asrama pelajar bernilai RM750 juta. PETRONAS akan membina rumah mampu milik. PNB akan memulihkan stadium dan membangunkan hartanah di Kuala Lumpur.
KWSP pula terlibat dalam pembangunan pusat data, manakala Tabung Haji dan TNB turut diberikan peranan dalam pelaksanaan inisiatif sosial.
Setiap inisiatif ini kedengaran baik, tetapi mesti seiring dengan perlindungan terhadap dana yang digunakan.
Pelaburan yang menjana pulangan perlu dibezakan daripada perbelanjaan untuk memenuhi tanggungjawab kerajaan.
Bachok mencadangkan supaya setiap komitmen GLIC ini dilaporkan kepada Parlimen, dengan menyatakan sumber dana, tujuan perbelanjaan, pulangan yang disasarkan dan pihak yang menanggung risiko.
Setiap keputusan pelaburan hendaklah melalui penilaian bebas serta melindungi kepentingan pencarum, pesara dan pendeposit.
Ringkasnya, Tambun telah memastikan akaun Kerajaan Persekutuan di dalam buku pertama kelihatan teratur, dengan memindahkan beban kepada pihak lain.
Beban itu kini dipindahkan kepada rakyat di dalam buku kedua, yang tidak pernah diminta persetujuan untuk menanggungnya, malah belum menyedari bahawa merekalah yang sedang memikulnya.
Tuan Yang Di-Pertua,
Berbalik kepada Belanjawan 2027.
Kerajaan memperuntukkan lebih RM70 bilion bagi subsidi dan bantuan sosial, namun punca wujudnya jurang kekayaan dan pendapatan masih tidak ditangani sebaiknya.
Golongan B40 menerima kelegaan sementara, tetapi tanpa ‘tangga’ untuk meningkatkan taraf hidup.
M40 yang tersepit menerima pelepasan cukai, tetapi tanpa mekanisme untuk meningkatkan mobiliti ekonomi.
Perinciannya dapat dilihat dalam buku belanjawan.
Pengurangan cukai pendapatan sangat dialu-alukan. Namun, seseorang yang berpendapatan RM4,000 sebulan hanya menjimatkan kira-kira RM90 setahun, atau RM7.50 sebulan.
Mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,700 pula tidak mendapat apa-apa manfaat kerana mereka sememangnya tidak membayar cukai pendapatan.
Lantai gaji minimum dinaikkan, memberi kesan kepada separuh daripada pekerja di sektor formal. Selebihnya, mereka yang bekerja dalam perniagaan kecil (PMKS), masih perlu menunggu.
Pelaksanaannya perlu dipantau bagi mengurangkan risiko kenaikan harga barang dan pemberhentian kerja, kesan peningkatan kos operasi yang ditanggung majikan dan peniaga.
Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,
Pagi umum naik gaji, harapnya cerah sampai ke petang.
Tuan Yang Di-Pertua,
Keresahan rakyat terhadap mutu perkhidmatan kesihatan dan kualiti sistem pendidikan negara tidak boleh dipandang ringan, khususnya isu kesihatan mental dan insiden keselamatan pelajar di sekolah yang semakin mendapat perhatian.
Ini dua sektor yang paling dekat dengan rakyat, Kesihatan dan Pendidikan.
Namun kita kesal, disebut oleh Ketua Pembangkang, ketika kualiti pembelajaran anak-anak kita semakin merosot dan sekolah-sekolah di bandar mahupun luar bandar mengalami kesesakan murid, peruntukan pembangunan pendidikan dipotong RM800 juta, dan pembangunan kesihatan pula hanya ditambah RM5 juta.
Di mana prioriti Kerajaan?
Tuan Yang Di-Pertua,
Terpenting adalah kewangan negara diurus secara berhemah melalui disiplin fiskal bagi mengelakkan berulangnya amalan ketirisan, pembaziran, rasuah, dan salah guna kuasa.
Pemantauan, audit dan hisbah hendaklah diperkukuh bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Inilah gagasan yang diketengahkan oleh PAS melalui Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051, atau WINS 2051, untuk membina sebuah negara yang makmur, adil, berintegriti dan berkebajikan.
Dalam konteks belanjawan, pertumbuhan mesti meningkatkan pendapatan rakyat, kekayaan mesti diagihkan secara adil, dan setiap ringgit mesti diurus dengan berhemah.
Tuan Yang Di-Pertua,
Mengukuhkan Kerjasama Negeri–Persekutuan
Kejayaan belanjawan memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, dengan ruang untuk negeri menentukan keutamaan pembangunan masing-masing.
Wujudkan formula tetap perkongsian hasil yang mengiktiraf sumbangan negeri. Pantau pelaksanaan projek persekutuan di negeri dan kawasan luar bandar, yang sering berdepan masalah kelewatan.
Berikan akses dan ruang yang lebih fleksibel kepada negeri untuk menarik pelaburan bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan dan belia, tanpa perlu berhijrah ke bandar.
Di samping itu, tuntutan negeri berkaitan petroleum, percukaian, dan agihan pembangunan hendaklah diselesaikan secara adil, khususnya Sabah, Sarawak, Kelantan, dan Terengganu.
Saya berpandangan, federalisme yang adil menuntut pematuhan kepada perjanjian, dengan setiap perbezaan dan pertikaian diselesaikan melalui dialog serta rundingan negeri-persekutuan yang seimbang.
Tuan Yang Di-Pertua,
Tidak sempurna kiranya belanjawan ini jika keperluan di Kelantan negeri saya, dan Bachok kawasan saya, tidak dinyatakan.
Kelantan menyambut baik pengumuman beberapa projek dalam belanjawan kali ini, yang diharapkan dapat memacu pembangunan, jaringan pengangkutan, dan mengatasi masalah banjir.
[Yang dah bagi, kami ucap terima kasih. Yang belum, banyak lagi]
Kami mengharapkan semua projek yang diumumkan ini, berjalan mengikut jadual dan kos yang ditetapkan.
Cuma satu perkara, mewakili sekalian anak Kelantan di perantauan, berkenaan status pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3).
Bagi kami, pembinaan LPT3 sudah sampai tahap wajib disambung sehingga ke Kota Bharu, bagi melengkapkan jaringan lebuh raya ketiga-tiga negeri Pantai Timur.
Berkenaan Parlimen Bachok, saya bangkitkan di sini beberapa perkara, yang boleh dijawab secara bertulis oleh pihak Kementerian, supaya ada sedikit buah tangan untuk saya bawa pulang ke kawasan:
1) KKDW dan JKR, segerakan penyiapan projek jalan Bekelam dan jambatan Pantai Senok.
2) PETRA, permohonan projek mitigasi banjir dan hakisan pantai.
3) Pendidikan, isu keciciran pelajar daripada sistem persekolahan, serta langkah intervensi yang diambil.
4) Kesihatan, perancangan untuk menaik taraf fasiliti klinik kesihatan dan klinik desa.
5) Keterjaminan makanan, perancangan untuk menambah baik kemudahan dan ekosistem ekonomi nelayan.
Tuan Yang Di-Pertua
Sebagai penutup, izinkan saya kembali kepada analogi Pokok Gelam.
Sejak turun-temurun, kulitnya digunakan oleh pembuat kapal untuk disisipkan di celah papan, membolehkan kapal bergerak mengikut alunan ombak, tanpa mudah pecah dipukul gelora.
Itulah makna sebenar daya tahan, membuat penyesuaian terhadap perubahan tanpa kita hilang arah.
Diharapkan belanjawan ini akan memperkukuh daya tahan negara, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Sekian daripada Bachok.
Terima kasih Tuan Yang Di-Pertua.
13 Oktober 2026

0 Comments