“ASALKAN ORANG FAHAM, BELUM ADA ‘ORANG PUTIH’ KOMEN ENGLISH SAYA” - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - “Asalkan orang faham apa yang kita sampaikan, okeylah. Takkan lah teruk sangat saya cakap bahasa Inggeris.”

Demikian respons Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang menyifatkan keberkesanan komunikasi tidak seharusnya diukur berdasarkan ketepatan tatabahasa semata-mata, sebaliknya sejauh mana mesej disampaikan dapat difahami dan diterima pendengar.

Sanusi berkata, beliau tidak pernah berdepan kritikan daripada duta asing yang pernah ditemuinya berhubung penggunaan bahasa Inggeris, malah mereka memahami maksud yang ingin disampaikan ketika berkomunikasi dengannya.

“Belum ada ‘orang putih’ komen English saya, yang komen semua Melayu.

“Saya cakap dengan duta luar negara, mereka hargai sebab sekurang-kurangnya saya cuba, mereka faham maksud yang saya sampaikan, itu lebih penting,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup The Greater Kedah Lecture Series 1 bertemakan ‘Empowering Lives, Advancing Kedah’, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kritikan pengguna media sosial berhubung penyampaian ucapan bahasa Inggerisnya ketika ‘SG4 Business & Economic Forum 2026’ pada Isnin lalu.

Menurut Sanusi, beliau turut menggunakan bahasa Inggeris ketika berkomunikasi dengan wakil Amerika Syarikat, Australia dan Kanada, malah menggunakan bahasa Hindi ketika bertemu duta India dengan menyelitkan istilah yang biasa didengar dalam filem Hindustan.

“Bahasa apa pun penting, lebih penting lagi ialah prestasi kita dan cara penyampaian. Selagi orang boleh faham dan terima, alhamdulillah.

“Saya sudah pergi ke 38 negara dan menjalankan pelbagai misi, semuanya menggunakan bahasa Inggeris. Mereka faham saja,” katanya.

Sanusi berkata, ini menunjukkan komunikasi bukan sekadar soal bahasa yang sempurna, tetapi turut melibatkan kebolehan menyampaikan maksud mengikut keadaan dan latar belakang pendengar.

“Komunikasi ini bukanlah pembaris (lurus). Kita bercakap selagi maksud dapat difahami. Walaupun tatabahasa betul, tetapi orang tiada dalam dewan atau tidak mendengar apa yang kita sampaikan, tidak ada makna juga,” katanya.

Sanusi menyifatkan sebahagian pihak terlalu serius sehingga gagal memahami unsur jenaka dalam ucapannya itu.

Tambah beliau, ungkapan ‘Don’t play play’ yang digunakan ketika membangkitkan isu kelewatan pengeluaran unsur nadir bumi (REE) di Kedah merupakan bahasa percakapan harian yang disampaikan secara berseloroh, ibarat bahasa sindiran.

“Bila saya sebut ‘don't play play’. Itu kan bahasa harian diguna hari-hari. Melawak saja,  tak kan itu pun ambil serius

“Mungkin mereka cemburu saya cakap BI kot. Padahal itu ‘joke’ tapi mereka ini pembaris (lurus), anggap serius,” katanya.

Pada forum berkenaan, Sanusi berkata, “Bergantung kepada dasar Kerajaan Persekutuan. Bila ditanya kenapa lambat, tak boleh ekstrak REE, alasan diberikan national security. Jadi kami perlu tunggu mungkin 100 tahun. Don’t play play.”

Dalam nada berseloroh, Sanusi turut membidas pengkritiknya yang disifatkan hanya berani melontarkan komen melalui papan kekunci, selain mendakwa mereka sentiasa mencari kelemahan tanpa mengira bahasa yang digunakannya.

“Yang komen tu setakat jadi keyboard warrior. Cakap di sebalik keyboard. Kalau berdepan, dia pun tak berani cakap BI.

“Bila saya cakap benda betul, bahasa elok pun mereka tak peduli. Kita cakap dalam bahasa apa pun, mereka cari kelemahan saja. 

“Cakap Melayu tak betul, cakap ‘orang putih’ tak betul. Kalau orang penting, diam pun orang susah hati,” katanya.

Sanusi turut menegaskan bahawa komunikasi tidak semestinya berlaku melalui percakapan kerana sikap berdiam diri juga merupakan komunikasi.

“Kebanyakan orang ambil benda jenaka sebagai serius, mereka tak pandai melawak.

“Masa saya cakap dialek Sik, orang usaha untuk faham apa saya kata. Walaupun saya cakap melawak, orang ambil peduli. Jadi usahakan supaya kita menjadi penting kepada dunia. Jangan sampai orang tak peduli pada kita.

“Macam ceplos pandai cakap bahasa Inggeris, jadi keyboard warrior saja. Saya orang Sik, jadi ada dialek Sik, cakap BI cara Sik tapi boleh jadi MB,” katanya.

Post a Comment

0 Comments