ISU PENIAGA AIR BALANG TULAR: MBAS PERKETAT PENGUATKUASAAN

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mempertingkatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan tumpuan ramai termasuk di Dataran Medan Bandar bagi memastikan semua aktiviti perniagaan mematuhi peraturan ditetapkan.

MBAS dalam satu kenyataan memaklumkan, ia susulan aduan tular seorang peniaga air balang didakwa beroperasi secara tidak wajar di Dataran Medan Bandar berhampiran Masjid Zahir, sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

Menurut MBAS, imej tular di media sosial itu memaparkan aduan awam berhubung kegagalan peniaga terbabit mematuhi piawaian kebersihan serta keselamatan makanan yang sepatutnya dipatuhi ketika menjalankan perniagaan di kawasan awam.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga termasuk peniaga bergerak yang didapati beroperasi tanpa lesen sah atau melanggar undang-undang kecil berkaitan kebersihan persekitaran dan kesihatan awam.

“MBAS komited dalam memastikan kebersihan, keselamatan serta keharmonian bandar raya Alor Setar sentiasa terpelihara demi kesejahteraan penduduk dan pengunjung,” katanya.

Menurut kenyataan itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika membeli makanan atau minuman daripada peniaga yang tidak jelas status lesen dan kelayakan premis perniagaan mereka.

MBAS turut menggesa warga bandar raya supaya menyokong peniaga tempatan yang mematuhi peraturan dan memiliki lesen sah bagi menjamin kebersihan serta keselamatan makanan.

"Kerjasama orang ramai amat dihargai dalam menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan aktiviti perniagaan yang meragukan di kawasan awam melalui saluran aduan rasmi MBAS," katanya.

Post a Comment

0 Comments