“AHMAD BASHAH RUJUK DATA MANA, DARI MANA KEYAKINAN ITU?” - SANUSI
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Keyakinan UMNO untuk kembali memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah sekiranya bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disifatkan tidak berasaskan fakta dan rekod sebenar pilihan raya terdahulu.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rekod PRU 2018 menunjukkan UMNO yang bertanding secara bersendirian ketika itu hanya mampu memenangi tiga kerusi DUN di negeri itu.
Menurut beliau, pada ketika itu UMNO belum bekerjasama dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH), menyaksikan PH memenangi 18 kerusi sementara PAS beroleh 15 kerusi DUN Kedah.
“Bila UMNO bekerjasama dengan DAP dan digelar UMDAP, menjalin pula kerjasama dengan PH, Barisan Nasional (BN) hilang semua kerusi. PH pula tinggal hanya tiga kerusi DUN dan menang satu kerusi Parlimen sahaja di Kedah,” katanya, hari ini.
Sehubungan itu, Sanusi mempersoalkan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berhubung keyakinan UMNO untuk menang jika bertanding solo.
“Jadi Ahmad Bashah rujuk rekod dan data yang mana? Dari mana datang keyakinan itu?” soal Pengerusi PN Kedah itu lagi.
Mengulas kerjasama BN dan PH di Kedah, Sanusi menyifatkan gabungan itu seolah saling melemahkan antara satu sama lain dan gagal menunjukkan kesepaduan dalam gerak kerja politik.
“Daripada pengamatan saya, BN-PH umpama saling ‘membunuh’ sesama sendiri. Perwakilan Kedah, Noran Zamini Jamaluddin (Naib Ketua UMNO Pokok Sena) ketika membahas pada Perhimpunan Agung UMNO sendiri sahkan, pejabat Sekretariat PH-BN pun naik habuk dah, tak ada mesyuarat bersama,” katanya.
Sanusi turut mempersoal tindakan Pengerusi PH Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dilihat lebih menumpukan perhatian kepada Parlimen Padang Serai sebagai kawasan sasaran peribadinya menjelang PRU akan datang.
“Tidak hairanlah semua dana, gerak kerja jentera dan agensi kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dihimpunkan ke Padang Serai untuk menyelamatkan dirinya sahaja,” katanya.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, PH tidak akan membenarkan BN menjadi kuat di Kedah kerana jika BN kukuh, Saifuddin sendiri berdepan risiko tewas.
“Sebetulnya Ahmad Bashah mahu pancing PH saja supaya PH terus bantu BN dan perlu heret sekali BN dalam bahtera PH,” katanya.
Mengulas mengenai penolakan UMNO menyertai semula Muafakat Nasional (MN), Sanusi percaya ia ada kaitan dengan dilema pembahagian kerusi, memandangkan kebanyakan kerusi DUN di Kedah mempunyai penyandang daripada PN yang menang dengan majoriti besar.
“Kalau UMNO sertai MN, isunya kerusi mana dia nak mintak? Semua kerusi ada penyandang PN yang menang majoriti solid.
“UMNO perlu bertanding solo terlebih dahulu untuk pastikan semua ‘warlord’ mereka ada kerusi untuk jadi calon. UMNO kalau tak ada jawatan, tak boleh jadi calon, mereka tak boleh bernafas dalam politik,” katanya.
Pada Khamis, Ahmad Bashah dalam kenyataan di Perhimpunan Agung UMNO 2025, menyifatkan UMNO mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi di Kedah pada PRU16 sekiranya parti itu bertanding secara solo.
Katanya, keyakinan itu adalah susulan orang Melayu dilihat menunjukkan sokongan semula kepada kepimpinan UMNO setelah pengundi mengakui kesilapan lalu.
“Saya tengok hari ini orang Melayu sudah mula yakin dengan kepimpinan UMNO. Insya-ALLAH, kalau kita bekerja dan buat keputusan terbaik, saya yakin akar umbi akan kembali kepada UMNO, waima di Kedah sekalipun saya yakin,” katanya.
Ahmad Bashah yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah turut menyokong keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar UMNO bertanding secara solo, dan menyifatkan ia langkah yang tepat.
“Kita tanding solo, tetapi dalam konteks Kerajaan Perpaduan. BN bawa lambang BN, PH bawa lambang PH. Tak perlu lagi Muafakat Nasional,” katanya.
Bekas Menteri Besar Kedah itu juga tidak bersetuju menghidupkan semula kerjasama MN antara UMNO dan PAS, berdasarkan pengalaman lepas.
Menurutnya, kerjasama semula dengan PAS bukan satu keputusan yang baik, memandangkan parti itu telah menjalin hubungan politik dengan pelbagai pihak sebelum ini.

0 Comments