PIALA MENTERI BESAR KEDAH KEMBALI LAGI!

 


TAWAR HADIAH RM25,000 KEPADA JUARA 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Hadiah wang tunai RM25,000 menanti pasukan yang muncul juara Piala Menteri Besar Kedah 2027.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kejohanan itu dirancang sebagai usaha menghidupkan semula persaingan bola sepak tempatan di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, liga berkenaan membabitkan penyertaan 36 pasukan mewakili kesemua 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

“Saya umumkan Piala Menteri Besar Kedah 2027 menawarkan hadiah wang tunai RM25,000 kepada pasukan yang bergelar juara.

“Bayangkan kekuatan bola sepak daripada setiap DUN dihimpunkan dalam satu pentas persaingan negeri, inilah matlamat kita untuk cungkil bakat baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Kongres Tahunan KFA kali ke-51, di Wisma Darul Aman hari ini.

Pada tahun ini turut menyaksikan pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA bagi penggal 2026-2030.

Sanusi berkata, selain Piala Menteri Besar Kedah, KFA turut merangka tiga lagi kejohanan tempatan dalam takwim 2027 bagi memperluas penyertaan serta memperkukuh pembangunan bakat bola sepak negeri.

Menurutnya, kejohanan kedua ialah Piala Exco Sukan Negeri Kedah yang menawarkan hadiah RM10,000 kepada juara dengan memberi tumpuan kepada penyertaan golongan belia di setiap daerah.

Katanya, kejohanan itu bertujuan memastikan pemain berbakat dari mana-mana daerah berpeluang diketengahkan dan dinilai untuk diserap ke pasukan lebih tinggi, termasuk pasukan utama negeri.

"Ketiga ialah Piala KFA yang menawarkan hadiah kejuaraan RM10,000 dengan penyertaan membabitkan kesemua 13 Ahli Gabungan KFA.

"Kejohanan ini diharap menjadi medan mengaktifkan organisasi, menggerakkan pengurusan pasukan dan memperkukuh kerjasama antara badan induk dengan seluruh jaringan keahliannya. Ahli Gabungan mesti tampil sebagai pelaksana pembangunan,” katanya.

Menteri Besar Kedah itu berkata, satu lagi kejohanan yang dirancang ialah Liga Futsal Tempatan KFA dengan tawaran hadiah lumayan bagi menyemarakkan persaingan serta menggalakkan penyertaan kelab futsal di seluruh Kedah.

“Hadiah bukanlah matlamat utama, sebaliknya sebagai pemangkin untuk memperkukuh ekosistem bola sepak melalui pertandingan lebih berkualiti, pembangunan bakat pemain, peningkatan keupayaan jurulatih dan pengadil serta penglibatan lebih aktif Ahli Gabungan,” katanya.

Tambah beliau, empat kejohanan tersebut mempunyai peranan saling melengkapi dalam membentuk ekosistem bola sepak negeri yang lebih aktif, tersusun dan berdaya saing.

"Piala Menteri Besar menyatukan 36 DUN, Piala Exco Sukan mengangkat bakat belia di setiap daerah, Piala KFA menggerakkan 13 Ahli Gabungan, manakala Liga Futsal memperluas penyertaan dan daya saing komuniti futsal.

"Lebih banyak pertandingan membuka lebih banyak peluang, membolehkan lebih ramai bakat dikenal pasti untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“KFA mahu gelanggang pertandingan kembali menjadi nadi yang menghubungkan daerah, kelab, pemain, jurulatih, pengadil, penyokong dan rakan strategik. Kita mahukan pertandingan tersusun, mempunyai identiti, berprestij dan menyediakan laluan kepada pencarian bakat,” katanya.

Sanusi berkata, KFA turut memberi perhatian kepada persaingan mendapatkan pemain yang semakin dipengaruhi kemampuan kewangan dan tawaran komersial.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kelab yang mempunyai sumber kewangan lebih besar berupaya mendapatkan pemain yang dibangunkan organisasi lain selepas melalui proses latihan bertahun-tahun.

“Sesebuah persatuan atau kelab mengambil masa bertahun-tahun menggilap bakat, namun tiada jaminan pemain itu akan terus kekal bersama organisasi yang membangunkannya.

“Ada yang mempengaruhi keluarga atau penjaga pemain muda sehingga menjejaskan kesinambungan pembangunan, ini bukan sesuatu yang sihat kepada ekosistem bola sepak,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, KFA perlu menangani situasi itu melalui pengurusan moden dengan memperkukuh sistem pengesanan bakat, pendaftaran pemain, hubungan dengan akademi dan ibu bapa serta kebajikan pemain.

"Perancangan pembangunan tidak boleh terhad kepada kawasan yang mempunyai kemudahan atau sumber kewangan besar sahaja. Bakat dari setiap pelosok Kedah mesti mempunyai peluang untuk dikenal pasti.

“Usaha memperkasakan pertandingan liga tempatan adalah untuk memastikan pembangunan bola sepak Kedah berkembang secara menyeluruh, daripada peringkat akar umbi hingga ke pentas lebih tinggi,” katanya.

Post a Comment

0 Comments