Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) tidak mahu mengulangi kesilapan lalu apabila berbelanja melebihi kemampuan sehingga menyebabkan persatuan itu menanggung hutang mencecah RM20 juta.
Presidennya, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengurusan kewangan secara berhemah perlu menjadi keutamaan bagi memastikan KFA mampu bergerak secara mampan tanpa terlalu bergantung kepada satu sumber pendapatan.
Menurut beliau, persatuan itu perlu berbelanja mengikut kemampuan sebenar dan pada masa sama memperkukuh usaha menjana pendapatan menerusi rakan strategik, kerjasama korporat dan pelaksanaan program yang memberikan manfaat kepada penaja serta komuniti.
“Kita perlu berbelanja dalam lingkungan kemampuan kita. Sebelum ini kita (pengurusan terdahulu) berbelanja lebih daripada kemampuan sehingga menyebabkan kita berhutang RM20 juta.
“KFA perlu mempunyai daya usaha mencari sumber, di samping berdisiplin mengurus sumber yang tersedia,” katanya ketika berucap pada Kongres Tahunan KFA kali ke-51 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Sebelum Sanusi mengambil alih kepimpinan KFA, persatuan itu dibebani hutang lama berjumlah lebih RM20 juta yang merangkumi tunggakan gaji dan pelbagai komitmen kewangan lain.
Menurut Sanusi, bagi penggal 2026 hingga 2030, beliau mahu keupayaan KFA menjana dana terus diperkukuh menerusi jaringan kerjasama lebih mantap, termasuk dengan pihak korporat dan rakan strategik.
Katanya, beberapa inisiatif sebelum ini seperti penganjuran Malam KFA, Pertandingan Golf serta Majlis Santapan Diraja sempena sambutan 100 tahun penubuhan KFA membuktikan kerjasama strategik mampu diterjemahkan kepada sokongan kewangan nyata.
“Kerjasama korporat serta program yang dilaksana mesti mempunyai impak kepada penaja dan komuniti.
“Sejak saya menerima amanah menerajui KFA bermula tahun 2020, tumpuan diberikan kepada pemerkasaan institusi, penyusunan keutamaan perbelanjaan dan peluasan hubungan strategik.
“Antara hasil usaha ialah pemilikan bangunan pentadbiran sendiri, pelaksanaan inisiatif penjanaan dana dan penyelarasan tanggungjawab kewangan secara lebih terancang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mahu persatuan bola sepak daerah lebih proaktif menganjurkan liga serta menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, syarikat korporat dan tokoh masyarakat bagi mendapatkan sokongan kewangan untuk memenuhi keperluan dana.
“KFA berperanan menyelaras dasar serta memberikan bimbingan teknikal, manakala kepimpinan persatuan di peringkat daerah perlu menerajui pelaksanaan program di lapangan.
“Segala bentuk sumbangan, kerjasama dan sokongan besar ertinya dalam memastikan kelangsungan pengurusan, pembangunan serta pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti bola sepak.
“Saya harap hubungan strategik yang telah terjalin terus diperkukuh dan diperluas pada masa hadapan, bukan sahaja demi kemajuan KFA, malah bagi memastikan setiap kerjasama memberikan manfaat dan nilai tambah,” katanya.
Mengulas pembangunan pasukan Kedah, Sanusi berkata, KFA akan terus memberikan komitmen kepada pasukan utama, Kedah FA yang bersaing dalam Liga A1 Semi-Pro selain Pasukan Piala Presiden sebagai platform melahirkan pemain muda berpotensi.
Bagaimanapun, katanya, pelaburan terhadap kedua-dua pasukan itu perlu disertai sasaran prestasi, pengurusan profesional dan ukuran keberhasilan yang jelas.
“Pengurusan pasukan memerlukan dana besar, meliputi pemain, kejurulatihan, operasi pertandingan, logistik dan sokongan teknikal.
“Segala pelaksanaan KFA juga perlu sejajar dengan peraturan dan hala tuju Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), selaku badan induk negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan Belanjawan KFA 2027 perlu disusun secara seimbang dengan mengambil kira keperluan penyertaan pasukan, pertandingan tempatan, pembangunan kejurulatihan, kepengadilan, akar umbi, operasi serta komitmen liabiliti persatuan.
“Setiap ringgit mesti mempunyai tujuan, setiap program mesti mempunyai sasaran dan setiap perbelanjaan dipantau secara berhemah,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik dan penaja yang membantu memastikan kelangsungan pengurusan, pembangunan serta pelaksanaan program bola sepak di Kedah.
“Saya juga ucap tahniah kepada Kuala Muda FA dan MPKP-Kubang Pasu FC yang menyahut cabaran menyertai Liga A2 musim 2025, diharap lebih banyak kelab dan persatuan di negeri ini dapat meningkatkan daya saing.
“Pertambahan kelab yang tersusun dan aktif membuka lebih banyak peluang kepada pemain, jurulatih serta pengadil untuk mengembangkan potensi masing-masing,” katanya.

0 Comments