𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 | 𝐃𝐄𝐖𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐌𝐔𝐃𝐀 𝐏𝐀𝐒 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐊𝐄𝐃𝐀𝐇
(𝟑𝟎 𝐎𝐊𝐓𝐎𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔)
Oleh: 𝐊𝐔 𝐀𝐇𝐌𝐀𝐃 𝐌𝐔𝐊𝐇𝐋𝐈𝐒 𝐁𝐈𝐍 𝐊𝐔 𝐌𝐃 𝐀𝐋𝐈
Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mengamati dengan penuh cermat dinamik dan perkembangan politik tanah air mutakhir ini.
Tindakan pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memeterai Perjanjian Kepercayaan dan Pembekalan (CSA) serta memberikan jaminan sokongan kepada Kerajaan MADANI bagi kelulusan Belanjawan 2027 merupakan satu keputusan politik yang secara jelas membelakangkan semangat kesetiaan gabungan.
Apabila pimpinan pusat Bersatu memilih untuk melangkah searah dengan garis politik Kerajaan Persekutuan demi kelangsungan 𝐩𝐨𝐥𝐢𝐭𝐢𝐜𝐚𝐥 𝐞𝐱𝐩𝐞𝐝𝐢𝐞𝐧𝐜𝐲 mereka, maka sewajarnya ikatan moral serta keabsahan politik perwakilan mereka di negeri-negeri pimpinan Perikatan Nasional, khususnya SG4 (Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu), turut terurai.
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mendesak agar mana-mana ahli Bersatu yang sedang memegang jawatan pentadbiran dan legislatif di Kedah mahupun negeri-negeri SG4, sama ada sebagai Ahli Majlis PBT, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Speaker mahupun Timbalan Speaker:
𝐉𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐌𝐔𝐊𝐀 𝐓𝐄𝐁𝐀𝐋
Jangan lagi berteduh di bawah bumbung pentadbiran negeri pimpinan PAS, sedangkan pada masa yang sama pimpinan parti anda di Kuala Lumpur memeterai kesepakatan dengan Kerajaan Persekutuan. Ini adalah sikap “berkaki dua” yang amat tidak berintegriti.
𝐌𝐄𝐍𝐆𝐔𝐍𝐃𝐔𝐑 𝐃𝐈𝐑𝐈 𝐒𝐄𝐂𝐀𝐑𝐀 𝐓𝐄𝐑𝐇𝐎𝐑𝐌𝐀𝐓
Letaklah jawatan serta-merta. Usah tamak dan haloba mengejar jawatan mahupun keistimewaan elaun pentadbiran negeri tatkala parti anda telah menetapkan haluan yang berbeza di peringkat nasional.
𝐈𝐊𝐔𝐓 𝐇𝐀𝐋𝐔𝐀𝐍 𝐏𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍𝐀𝐍 𝐏𝐔𝐒𝐀𝐓
Buktikan wala’ dan patuh kepada pimpinan pusat parti anda. Sekiranya pimpinan pusat anda memilih untuk bekerjasama menyokong agenda Kerajaan Persekutuan, maka ikutilah jejak langkah tersebut dengan melepaskan semua kedudukan dalam Kerajaan Negeri SG4.
Pentadbiran SG4 ditubuhkan atas dasar mandat rakyat yang jelas menolak dasar Kerajaan Persekutuan hari ini.
Kerajaan Negeri Kedah di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memerlukan saf kepimpinan yang mempunyai ketegasan prinsip, kesetiaan penuh dan tidak berbolak-balik demi kepentingan peribadi atau jawatan semata-mata.
Cukuplah bermain di alam remang-remang. Mana-mana pimpinan Bersatu yang masih memegang portfolio di negeri Kedah dan SG4 perlu membuat keputusan, berundur secara bermaruah atau berdepan penolakan rakyat.
Sekian, terima kasih.

0 Comments