KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
Oleh: Nadzir Helmi
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa setiap acara mahupun program yang dilaksanakan di peringkat universiti serta agensi Kerajaan mahupun swasta perlu menyediakan ruang waktu yang sesuai untuk menunaikan ibadah solat.
Ini berikutan beberapa aduan di aplikasi media sosial Threads mengenai para pelajar yang mendakwa tidak diberikan ruang untuk menunaikan solat ketika acara raptai dalam sebuah program universiti.
Pemuda PAS Malaysia juga menanggapi kenyataan balas yang dibuat oleh pihak pentadbir universiti berkenaan. Namun, tidak ada penafian, malah pihak universiti juga tidak menyentuh secara spesifik mengenai aduan yang dibangkitkan.
Harus dijelaskan di sini bahawa sepatutnya semua pihak tidak bersikap sambil lewa terhadap perkara sebegini. Bahkan amat mendukacitakan jika ada dalam kalangan mereka sendiri yang menganggap remeh hal ehwal berkenaan ibadah solat.
Solat adalah tiang agama. Tanpanya maka runtuh dan bergoncanglah agama seseorang itu. Sepatutnya anak-anak muda yang berada di peringkat menara gading diajar supaya menunaikan solat tanpa mengira kesibukan yang mereka hadapi.
Bahkan solat boleh dilaksanakan di mana-mana sahaja dengan kadar wudhu' yang ringan. Justeru, amatlah mustahil jika seseorang itu menganggap ruang waktu untuk solat akan merencatkan perjalanan majlis.
Oleh itu, Pemuda PAS Malaysia menggesa Menteri KPT supaya menyediakan garis panduan yang lebih ketat supaya ruang waktu untuk menunaikan solat disediakan dalam setiap acara mahupun program di peringkat universiti.
Kita tidak boleh menganggap isu ini remeh. Situasi sebegini tidak sepatutnya berulang pada masa hadapan, apatah lagi dalam negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Sekian.
1 NOVEMBER 2026 | 21 JAMADIL AWAL 1448H

0 Comments