PELABURAN 20 TAHUN INFINEON, BUKTI KEDAH MAMPU TARIK PELABURAN TEKNOLOGI TINGGI

 


Roslinda Hashim

KULIM - Keupayaan Kedah menjadi destinasi pelaburan industri berteknologi tinggi bertaraf dunia menerusi kejayaan Infineon Technologies mengembangkan operasinya di Kulim sepanjang tempoh 20 tahun, membuktikan negeri ini berpotensi besar.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pelaburan besar yang diumumkan pada 2024 bagi pengembangan Infineon Kulim 3, termasuk kemudahan fabrikasi wafer silikon karbida (SiC) termaju
berukuran 200 milimeter bertaraf dunia, merupakan pencapaian penting kepada Kedah dan Malaysia.

Katanya, pengembangan itu bukan sekadar meningkatkan kapasiti pembuatan, malah membuktikan keyakinan syarikat berkenaan terhadap potensi Kedah memainkan peranan dalam pembangunan teknologi semikonduktor.

“Komitmen berterusan Infineon mengembangkan operasinya di Kulim membuktikan keyakinan tinggi terhadap infrastruktur, persekitaran pelaburan, ekosistem perindustrian negeri dan paling penting, keupayaan tenaga kerja kita,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-20 Infineon Technologies, di sini, hari ini.

Menurut Sanusi, ia juga memperkukuh hasrat Kedah untuk bergerak melangkaui aktiviti pembuatan konvensional ke arah aktiviti bernilai lebih tinggi melibatkan kejuruteraan canggih, penyelidikan dan pembangunan, inovasi serta pembangunan teknologi.

“Perjalanan Infineon sejak mula menubuhkan operasi pembuatan bahagian hadapan (front-end manufacturing) di Kulim pada 2006 menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan perindustrian negeri ini.

“Apa yang bermula sebagai satu pelaburan kini berkembang menjadi hab pembuatan dan teknologi strategik yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekosistem semikonduktor negara selain memperkukuh kedudukan Kedah dalam peta perindustrian global,” katanya.

Tambah beliau, transformasi Kedah daripada negeri yang secara tradisinya dikenali dengan kekuatan sektor pertanian kepada destinasi pembuatan berteknologi tinggi juga berkait rapat dengan penubuhan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) pada 1996.

“Visi kita jelas, iaitu mewujudkan ekosistem perindustrian yang mampu menarik syarikat bertaraf dunia, menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi, memindahkan teknologi canggih serta mewujudkan peluang ekonomi mampan untuk rakyat.

“Kehadiran Infineon memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi tersebut.

“Tumpuan Infineon terhadap teknologi cekap tenaga dan penyelesaian yang menyokong usaha penyahkarbonan global selari dengan hala tuju pembangunan ekonomi perindustrian yang ingin kita capai di Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi menggalakkan Infineon untuk terus memperkukuh kerjasama dengan universiti tempatan, institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), politeknik serta sekolah bagi memastikan program pendidikan dan latihan memenuhi keperluan sebenar industri.

Katanya, anak-anak Kedah perlu diberi peluang membina kerjaya dalam sektor teknologi tinggi tanpa perlu mencari peluang pekerjaan di tempat lain.

“Kita mengalu-alukan peluang yang disediakan Infineon kepada jurutera, juruteknik, penyelidik dan tenaga profesional mahir tempatan untuk bekerja dalam persekitaran yang berdaya saing di peringkat global.

“Golongan muda perlu dipersiapkan untuk menyertai industri masa hadapan. Industri semikonduktor memerlukan generasi bakat baharu yang mempunyai keupayaan tinggi dalam bidang kejuruteraan, sains, matematik, teknologi digital, automasi dan pembuatan termaju,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, Infineon wajar diberikan pengiktirafan sebagai rakan penting perindustrian negeri ini.

“Kepakaran Infineon dalam bidang semikonduktor kuasa, elektronik automotif dan teknologi cekap tenaga meletakkan syarikat itu di barisan hadapan transformasi berkenaan.

“20 tahun bukan sekadar ukuran masa, ia melambangkan dua dekad komitmen, ketabahan, kepercayaan dan aspirasi bersama,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Infineon bukan sekadar pelabur, sebaliknya rakan strategik jangka panjang dalam usaha membina Kedah yang lebih kukuh, berdaya saing dan mampan.

“Kedah bersedia untuk terus berkembang bersama Infineon. Kita hargai keyakinan yang telah diberikan kepada negeri ini sepanjang 20 tahun dan berharap dapat terus memperkukuh kerjasama ini untuk beberapa dekad lagi.

“Semoga 20 tahun akan datang membawa lebih banyak kejayaan, penemuan baharu dan peluang kepada Infineon serta rakyat Kedah. Diharap kerjasama ini terus membawa kemakmuran kepada Kedah, serta memberi sumbangan berpanjangan kepada kemajuan perindustrian dan teknologi,” katanya.

Post a Comment

0 Comments