“KEMPEN DIGERAKKAN UNTUK MENANGKAN CALON PN” - SANUSI

 

PRN JOHOR: RUNDINGAN KERUSI PN SELESAI, BERSATU BERTANDING PALING BANYAK KERUSI

Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) berjaya menyelesaikan rundingan agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan kesemua 56 kerusi yang ditandingi gabungan itu tidak lagi bertindih.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, rundingan melibatkan 34 kerusi yang sebelum ini berlaku pertindihan tuntutan antara parti komponen berjaya dimuktamadkan dalam suasana harmoni.

“Alhamdulillah, rundingan kerusi semua selesai. Yang selesai dibincangkan ialah 34 kerusi bertindih. Tugas saya merundingkan kerusi-kerusi bertindih.

“Kerusi yang tak bertindih ‘free for all’ (terbuka) terpulang pada parti masing-masing. Kesemua 56 kerusi sudah tiada lagi pertindihan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agihan Kerusi PN bagi PRN Johor di Ibu Pejabat PAS, hari ini.

Sanusi memaklumkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dijangka menjadi parti yang bertanding paling banyak kerusi PN di PRN Johor.

Menurut beliau, senarai kerusi yang dikemukakan setiap parti diteliti berdasarkan keyakinan masing-masing, namun keputusan akhir ditentukan menerusi beberapa faktor termasuk kekuatan jentera, sokongan pengundi, pengalaman serta kedudukan penyandang.

“Kita timbang semua pemberat seperti jentera, pengundi, pengalaman dan incumbent bagi menentukan kesesuaian sesuatu kerusi untuk ditandingi parti tertentu,” katanya.

Sanusi turut mengesahkan, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) diberikan satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir selepas perkara itu dipersetujui dalam rundingan.

“Satu yang kita pertimbangkan dan kita bersetuju, PEJUANG akan bertanding di Gambir. Itu yang mereka minta dan perkara itu sudah selesai,” katanya.

Mengulas kedudukan Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara), beliau berkata, parti tersebut belum diberikan sebarang kerusi untuk ditandingi.

“Setakat ini tiada kerusi diberikan kepada Wawasan Negara. Mereka tidak hantar permohonan, sama ada mereka akan bertanding atau tidak, saya tidak pasti kerana saya tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi menegaskan PN akan mengetuai gerak kerja PRN Johor dan semua parti komponen akan menggunakan logo PN sepanjang kempen dan hari pengundian.

“Semua parti komponen bertanding atas nama PN serta menggunakan logo PN,” katanya.

Mengulas mengenai kempen pilihan raya, beliau berkata, semua jentera parti komponen akan digerakkan bagi memastikan kemenangan PN tanpa mengira parti yang bertanding di sesuatu kerusi.

“Yang penting ialah menangkan PN. Jentera daripada negeri-negeri lain akan bantu seperti biasa. Apa yang penting ialah meyakinkan pengundi di Johor untuk mengundi Perikatan Nasional. Apa sahaja cara yang boleh membantu mencapai matlamat itu, akan kita lakukan,” katanya.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu berkata, pengumuman calon PAS bagi PRN Johor dijadualkan berlangsung di Muar malam esok.

Tambah beliau, keputusan sama ada pengumuman calon akan dibuat secara bersama dengan BERSATU atau berasingan diserahkan kepada pertimbangan parti masing-masing.

“Esok malam pengumuman calon PAS di Muar. BERSATU tak pasti buat sekali atau berasingan, itu terpulang kepada mereka. Kalau lancarkan sekali pun tidak ada masalah, kalau berasingan pun tidak menjadi isu,” katanya.

Sementara itu, mengulas bantahan BERSATU terhadap penyertaan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang dijenamakan sebagai Wawasan Negara, Sanusi menegaskan perkara tersebut telah diselesaikan dalam mesyuarat sebelum ini dan semua pihak perlu akur dengan keputusan yang dipersetujui.

“Bantahan bukan budaya kita. Dalam mesyuarat semua pihak boleh menyuarakan pandangan dan hasrat masing-masing, tetapi apabila keputusan sudah dibuat, semua perlu patuh.

“Bila bermesyuarat ada cadangan yang tak diterima, mungkin ada keburukan atau mudarat. Sebab itu perlu adanya syura atau mesyuarat. 

“Kalau selepas mesyuarat masih berbunyi lagi, buat apa bermesyuarat. Berkat mesyuarat ialah kita patuh kepada keputusan yang telah dipersetujui bersama,” katanya.

Post a Comment

0 Comments