UEC KE IPTA: SISTEM PENDIDIKAN NASIONAL RUNTUH DEMI KEUNTUNGAN POLITIK TIDAK BERMARUAH

 

Oleh: Dr Haim Hilman Abdullah

EXCO Pengajian Tinggi Kedah

Keputusan menerima kelulusan UEC ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) walaupun dengan syarat Bahasa Melayu kredit dan Sejarah lulus, bukan sekadar isu teknikal kemasukan universiti. Ia adalah titik mula kepada kerosakan besar terhadap falsafah pendidikan nasional, struktur integrasi negara dan masa depan sistem persekolahan kebangsaan. 

Inilah harga yang perlu dibayar oleh rakyat Malaysia khususnya pendukung sistem pendidikan nasional apabila negara dipimpin oleh pemimpin politik jalanan. Sesungguhnya negara amat memerlukan pemimpin politik berjiwa negarawan. 

Hari ini mungkin alasan diberikan hanya untuk program berkaitan bahasa Cina. Tetapi sejarah kerap membuktikan setiap kelonggaran diberikan atas nama “pengecualian kecil” akhirnya berkembang menjadi tuntutan lebih besar. 

Apa yang bermula dengan satu pintu kecil akan menjadi pintu utama yang meruntuhkan keseluruhan benteng pendidikan nasional.

Malaysia sudah mempunyai sistem pendidikan kebangsaan yang jelas di mana negara mempunyai SPM sebagai standard nasional yang diiktiraf seluruh negara. 

Pelajar pelbagai kaum iairu Melayu, Cina, India, Siam, Orang Asli, Sabah & Sarawak dan lain-lain menduduki sistem yang sama untuk membina identiti negara yang sama. Inilah asas perpaduan nasional.

Namun apabila UEC diterima masuk ke IPTA, mesej yang dihantar sangat bahaya iaitu bermulalah era di mana rakyat tidak perlu berada dalam arus pendidikan nasional sepenuhnya dan masih boleh ke IPTA.

Pelajar, pejuang dan pendukung aliran UEC tamak dan mementingkan diri. Mereka menolak sistem pendidikan nasional di peringkat sekolah menengah tetapi kemudiannya mahu hak dan tempat di IPTA.

Ini adalah tamparan besar kepada pelajar Cina sendiri yang selama ini memilih sekolah kebangsaan atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) iaitu menerusi laluan SPM. Mereka mengikuti sistem nasional, mengambil silibus kebangsaan, menduduki peperiksaan kebangsaan, bersaing secara sah dalam kerangka negara tetapi akhirnya ruang mereka pula akan diambil oleh sistem yang sejak awal memilih berada di luar arus nasional.

Apa justifikasi moral dan nasional di sebalik perkara ini? 

Telah hilangkan harga diri, prinsip dan maruah para menteri kabinet PHUMDAP yang membuat keputusan sehingga sanggup menghumbankan aspirasi pendidikan nasional semata-mata untuk keuntungan politik tidak bermaruah.

Pelajar Cina dalam aliran nasional telah membuat keputusan untuk bersama sistem negara. Mereka menanggung tekanan peperiksaan nasional, standard nasional dan persaingan nasional. Tiba-tiba mereka perlu berebut tempat di IPTA dengan sistem peperiksaan yang tidak berada dalam kerangka pendidikan kebangsaan.

Ini bukan soal anti-Cina. Ini soal keadilan kepada rakyat Malaysia yang memilih sistem nasional.

Lebih membimbangkan, kemasukan UEC ke IPTA akan mencipta insentif besar untuk lebih ramai meninggalkan arus pendidikan nasional.

Butakah mata dan hati para menteri PHUMDAP?

Persoalannya jelas iaitu mengapa perlu berada dalam sistem kebangsaan jika akhirnya laluan alternatif juga mendapat hak yang sama?

Kesannya bukan kecil. Lama-kelamaan sistem pendidikan nasional akan kehilangan autoriti. Perlahan-lahan SPM akan hilang nilai sebagai standard utama negara.

Di kala integrasi nasional dilihat semakin lemah, pastinya polarisasi pendidikan akan menjadi lebih parah. Besar kemungkinan sekolah kebangsaan akan semakin ditinggalkan. Negara akan melahirkan generasi yang hidup dalam kelompok sistem masing-masing tanpa asas nasional yang kukuh.

Ini bom jangka panjang kepada negara. Lebih malang lagi apabila kabinet PHUMDAP cuba memperbodohkan rakyat yang kononnya pelajar tahfiz juga akan mendapat manfaat seperti UEC. Ini hujah terdesak dan tidak jujur.

Pelajar tahfiz berada dalam kerangka pendidikan negara dengan cara mengambil SPM iaitu mengikuti kurikulum kebangsaan dan sebahagian besar institusi tahfiz sedang melalui proses integrasi nasional. 

Ingin ditegaskan dan sebagai contoh Persatuan Institusi Tahfiz Al Quran Kebangsaan (PINTA) tidak pernah membuat tuntutan seperti Dong Zhong untuk UEC.  PINTA tidak pernah menuntut sistem peperiksaan asing diiktiraf sebagai laluan memintas kerangka pendidikan negara.

Inilah harga yang perlu dibayar oleh rakyat apabila dipimpin oleh pemimpin politik yang sanggup membuka pintu terlarang ini demi survival politik dan undi. Mereka mungkin menyangka ini sekadar kompromi kecil, tetapi hakikatnya mereka sedang menggadai asas pembinaan negara bangsa.

IPTA bukan sekadar universiti awam. Ia simbol dasar nasional negara. Ia dibina menggunakan wang rakyat Malaysia untuk memperkukuhkan agenda nasional negara Malaysia. Maka asas kemasukannya mestilah berdiri atas sistem pendidikan nasional.

Jika hari ini UEC diterima atas alasan program bahasa Cina, esok alasan lain pula akan muncul. Sedikit demi sedikit, negara akan kehilangan keberanian mempertahankan identiti pendidikan nasionalnya sendiri.

Malaysia menuju ke arah menjadi negara yang mempunyai universiti nasional tetapi tanpa roh nasional. Ini bukan soal perkauman. Ini bukan soal kebencian kepada mana-mana kaum. Ini bukan soal politik partisan. Ini soal kelangsungan nasional.

Negara yang gagal mempertahankan sistem pendidikan nasional akhirnya akan gagal mempertahankan identiti negaranya sendiri.

Mana-mana pihak yang sengaja membuka ruang meruntuhkan asas pendidikan nasional demi kepentingan politik sempit sedang melakukan pengkhianatan besar terhadap masa depan negara. Sejarah akan mengingati mereka bukan sebagai reformis pendidikan, tetapi sebagai pengkhianat pendidikan nasional negara.


Ayuh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa bersatu menyelamatkan sistem pendidikan nasional negara.

Post a Comment

0 Comments