PENDIDIKAN NEGARA DALAM KRISIS: RAKYAT MISKIN SEMAKIN TERPINGGIR

 

Oleh: Dr. Haim Hilman Abdullah 

Pengerusi Lajnah Ekonomi & Keusahawanan PAS

Ucapan tokoh-tokoh pendidikan negara dalam Kongres Pendidikan Bumiputera baru-baru ini bukan sekadar pandangan akademik tetapi amaran keras terhadap sistem pendidikan negara yang kini sedang berada di ambang kegagalan yang serius. Ini bukan lagi soal penambahbaikan kecil yang perlu dilakukan tetapi soal halatuju dan masa depan negara yang semakin kabur.


PENDIDIKAN NEGARA TELAH TERSASAR DARI LANDASAN

Intipati dari ucapan tokoh-tokoh tersebut boleh dirumuskan bahawa sistem pendidikan tinggi negara khususnya tidak lagi selari dengan keperluan ekonomi sebenar. Hari ini sebahagian besar fakulti di universiti seumpama kilang yang menghasilkan produk bernama graduan dan malangnya graduan tersebut tidak memenuhi kehendak industri atau pasaran kerja. 

Secara khususnya, sekitar 1.65 juta graduan bekerja di bawah kelayakan atau tahap pendidikam sebenar, 165 ribu orang tidak berkerja tetapi aktif mencari kerja dan 838 ribu orang tidak bekerja dan tidak mencari pekerjaan. Ini jelas menunjukkan pendidikan tinggi negara dalam krisis di mana seramai 2.6 juta graduan tidak mendapat tempat dalam pasaran kerja.

Dalam Kongres Pendidikan Bumiputera tersebut didedahkan bahawa institusi pendidikan khususnya universiti telah semakin hilang fungsi sebenar iaitu sebagai pemacu ilmu, inovasi dan kepimpinan. Universiti tidak lagi menjadi pusat idea besar. 

Sebaliknya, universiti sering tenggelam dalam birokrasi, KPI sempit dan sistem yang tidak berani berubah. Ramai pemimpin utama universiti hari ini menjadi 'hamba' kepada ketuanya iaitu orang politik. Mereka bukan bekerja untuk memajukan pendidikan tinggi dan masa depan anak bangsa.


KRISIS BERLAPIS DARI SEKOLAH KE UNIVERSITI

1. Sekolah rendah & menengah pada asasnya semakin rapuh. Masalah literasi dan numerasi masih berlarutan. Hari ini boleh dilihat jurang pendidikan penduduk bandar dan luar bandar semakin melebar. Guru dibebankan tugas pentadbiran di mana mereka bukan fokus kepada mendidi sahaja tetapi pelbagai tugas. Kurikulum pula terlalu padat tetapi tidak membina pemikiran kritikal. Negara sebenarnya sedang melahirkan pelajar yang lulus peperiksaan tetapi gagal memahami realiti kehidupan.

2. Pendidikan tinggi adalah jelas umpama kilang graduan tanpa arah khususnya untuk sesetengah fakulti dan program akademik. Ketidakpadanan antara bidang pengajian dan keperluan industri semakin melebar dan graduan Bumiputera serta rakyat Malaysia yamg lain iaitu tanpa mengira kaum khususnya dari keluarga miskin dan sederhana semakin ramai terperangkap sebagai underemployment atau unemployed.

Penyelidikan universiti pula tidak diterjemah kepada nilai ekonomi. Universiti kehilangan peranan sebagai pemacu inovasi negara. Negara kini melahirkan ribuan graduan setiap tahun tetapi tidak menjadi pemacu ekonomi.

1. Krisis kepimpinan & sistem semakin menjadi membarah dalam pentadbiran negara. Hari ini bagaikan tiada penyelarasan jelas antara dasar pendidikan dan dasar ekonomi. Reformasi dilakukan secara kosmetik, bukan struktural. Dengan kata lain kepimpinan pendidikan tidak cukup berani melakukan perubahan besar. Sistem ini bukan sekadar lemah malah tidak dipimpin dengan visi yang jelas.


SAAT RAKYAT PERLUKAN PEMBELAAN: BAJET KPM & KPT DIPOTONG RM2.856 BILION

Dalam keadaan sistem yang sudah pun bermasalah, kerajaan mengambil langkah kebelakang apabila memotong bajet Kementerian Pendidikan Malaysia sebanyak RM466 juta dan 

Kementerian Pendidikan Tinggi sebanyak RM2.39 bilion.

Ini bukan sekadar angka dalam laporan kewangan.

Ini adalah pengurangan peluang untuk anak-anak luar bandar khususnya dan anak-anak miskin bandar dan luar bandar mendapat pendidikan berkualiti. Penguncupan akses kepada pendidikan berkualiti bermakna masa depan generasi akan datang digelapkan oleh pemimpinnya sendiri.

Negara sedang berjimat pada perkara yang paling tidak boleh dijimatkan iaitu PENDIDIKAN kerana PENDIDIKAN adalah masa depan rakyat dan negara. 


KESAN PALING BESAR IALAH MASA DEPAN BUMIPUTERA dan ANAK MALAYSIA TANPA MENGIRA BANGSA KHUSUSNYA YANG DATANG DARI KELUARGA MISKIN AKAN TERGADAI.

Jika keadaan ini berterusan maka jurang pendidikan Bumiputera akan semakin melebar dan 

mobiliti sosial akan semakin terhad. Generasi muda akan kehilangan daya saing dan akhirnya mereka akan berdepan realiti pahit. Hari ini negara memiliki sistem pendidikan tetapi gagal melahirkan bangsa yang berdaya saing.


TIGA SOLUSI UTAMA UNTUK PERTIMBANGAN KERAJAAN

1. PENYELARASAN MENYELURUH PENDIDIKAN & EKONOMI

Tubuhkan majlis penyelarasan nasional antara industri dan pendidikan. Susun semula program pengajian berdasarkan keperluan sebenar industri dan pasaran kerja. Hentikan program yang tidak relevan. Pendidikan mesti menjadi enjin ekonomi negara iaitu bukan sekadar sistem akademik.


1. PELABURAN SKALA BESAR DALAM SEKTOR PENDIDIKAN

Pulihkan dan tambah bajet KPM & KPT. Fokus kepada sekolah luar bandar, STEM, TVET dan kemahiran masa depan. Begitu juga dengan digital & AI readiness. Pendidikan adalah pelaburan strategik dan pastinya  bukan beban kewangan.


1. REFORMASI STRUKTUR TOTAL (RCI PENDIDIKAN)

Tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pendidikan. Audit keseluruhan sistem kurikulum, institusi, outcome dan impak pelajar kepada sosia ekonomi negara.

Negara tidak perlukan pembaikan kecil tetapi total reset untuk keseluruhan sistem pendidikan negara. Jika rakyat dan negara terus berdiam diri maka negara  akan melahirkan generasi yang tidak bersedia. Malahan negara akan membina ekonomi tanpa tenaga mahir tempatan.

Ini akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang ketinggalan dalam persaingan global. Soalnya sekarang bukan lagi “apa masalahnya?” Tetapi “berapa lama lagi kita mahu biarkan sistem ini terus gagal?”

Bangkitlah seluruh rakyat Malaysia demi kelangsungan masa depan anak bangsa. Ini bukan isu politik tetapi isu maruah dan masa depan kita semua. Bersama kita membina Malaysia yang lebih adil, bersih dan berjaya.

Post a Comment

0 Comments