Oleh: Shakirah Azizan
Langkawi, 6 Mei– Pemuda PAS Kawasan Langkawi menegaskan bahawa perbahasan berkaitan Langkawi perlu berpaksikan fakta, kejujuran intelektual dan kefahaman terhadap struktur dasar negara, selari dengan penegasan Exco Pelancongan Kedah, Dato' Haji Mohd Salleh Saidin bahawa Langkawi mesti dilihat dalam “lensa sebenar, bukan lensa politik”.
Ketua Pemuda PAS Kawasan Langkawi, Qushairi Zainol berkata, perbandingan yang dibuat antara Langkawi dengan destinasi pelancongan antarabangsa seperti Phuket dan Bali adalah tidak setara dan mengabaikan realiti sejarah serta struktur pembangunan yang berbeza.
Selari dengan penegasan YB Dato' , Phuket telah dibangunkan sebagai destinasi pelancongan sejak awal 1970-an, manakala Bali pula mula menerima pelancong antarabangsa seawal 1920-an. Kedua-dua destinasi tersebut kini berfungsi sebagai hab pelancongan global dengan jaringan penerbangan antarabangsa yang luas serta dasar kemasukan pelancong yang lebih terbuka.
Sebaliknya, "Langkawi beroperasi dalam ekosistem berbeza, berskala lebih kecil, kapasiti terhad dan bergantung kepada kelulusan di peringkat Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Qushairi turut menegaskan bahawa tindakan menuding jari kepada PAS Kedah semata-mata adalah tidak berasas dan mengabaikan realiti struktur pentadbiran pelancongan di Langkawi.
“Banyak aspek seperti insentif laluan antarabangsa, operasi dan tambang feri, polisi visa dan kempen promosi pelancongan peringkat antarabangsa berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Ketua Pemuda PAS Langkawi menyeru semua pihak agar tidak membina naratif negatif yang boleh merosakkan imej Langkawi, sebaliknya memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Langkawi bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi sebuah imej yang dibina dengan identiti, kawalan dan keseimbangan,” ujarnya.
0 Comments