Oleh: Roslinda Hashim
KULIM - Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar tidak melakukan tindakan yang boleh merosakkan perpaduan dan perjuangan parti dari dalam.
Ahli Biro Politik PKR itu berkata, sebarang perbuatan yang melemahkan kepercayaan dan kerjasama dalam parti hanya akan memberi kesan buruk kepada semua pihak.
“Kalau duduk dalam kapal, tetapi pada masa sama ada yang cuba tebuk lantai, bayangkan sendiri apa jadi. Kapal takkan ke mana, malah semua boleh tenggelam,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu berkata, kekuatan PKR bergantung kepada sejauh mana setiap ahlinya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh disiplin serta meletakkan kepercayaan terhadap kepimpinan parti.
Tambah beliau, sebarang tindakan yang merosakkan kepercayaan dan perpaduan dalaman hanya akan menjejaskan keseluruhan perjuangan parti.
“Saya ibaratkan Keadilan seperti sebuah kapal. Sudah tentu ada kapten yang memimpin haluan, iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kita pula anak-anak kapal, masing-masing ada tugas dan tanggungjawab,” ujar beliau.
Menurut Saifuddin, seluruh ahli parti perlu memberikan kepercayaan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengemudi hala tuju PKR, selaku presiden dan pemimpin utama parti.
Beliau turut menekankan, kepentingan setiap ahli melaksanakan peranan masing-masing dengan betul serta berpegang kepada amanah bagi memastikan perjalanan perjuangan parti berjalan lancar.
“Bila setiap orang buat kerja dengan betul dan letakkan kepercayaan kepada kapten, insya-ALLAH kapal akan bergerak lancar dan sampai ke destinasi,” katanya.
Saifuddin berkata, setiap peranan dalam parti mempunyai makna dan memberi kesan langsung kepada kelangsungan perjuangan PKR.
“Kalau semua fokus, jaga amanah dan buat kerja masing-masing, Insya-ALLAH perjuangan ini terus kuat dan sampai ke tujuan,” katanya.

0 Comments