RAFIZI TERLALU BANYAK CAKAP, AKHIRNYA MERAPU

Oleh: Zulkifli Yahaya

Setiausaha Politik MB Kedah


Rafizi Ramli, bekas calon Timbalan Presiden PKR yang kalah di tangan anak Anwar Ibrahim mendakwa PAS berusaha dapatkan kuasa demi jawatan.

Katanya, bila PAS jadi Kerajaan mereka tubuhkan unit-unit yang memang memberi tempat kepada anggota-anggota PAS. 

“Pertembungan asal Umno dengan PAS sejak 50an, 60an yang sebenarnya pertembungan untuk menjadi Kerajaan dan mendapat kerja kerajaan,” ujarnya dalam satu siri podcast. 

Panjang lagi huraiannya, yang menggambarkan PAS berjuang untuk membolehkan ahli-ahli pegang jawatan dalam kerajaan dan GLC.

Saya tergelak panjang. Rupanya Rafizi yang kita kenali dengan formula, fakta dan angka akhirnya terbelit dalam pemikiran ‘halunilasi’ buatan sendiri. Dia cuba bercakap seolah-olah dia Professor Serba Tahu.

Dalam catatan Sejarah, PAS pernah jadi parti Kerajaan campuran dengan BN pada tahun 1973 dan kemudiannya menyertai BN. Pada tahun 1977, PAS tersingkir dari BN. Dalam tempoh itu PAS pertama kali jadi parti Kerajaan. Dalam kabinet Tun Abd Razak itu hanya Dato’ Asri Muda dilantik sebagai Menteri dan Dato’ Muhammad Nasir sebagai Timbalan Menteri. 

Di Kelantan, di mana PAS mentadbir negeri, jawatan mungkin agak banyak berbanding Pusat. Namun dakwaan bahawa matlamat perjuangan PAS hanya untuk mengisi jawatan dalam Kerajaan adalah dakwaan yang sangat mengarut. Dahulu atau sekarang, berapa sangat jawatan Kerajaan lantikan politik yang boleh diisi?

Di Kedah, PAS menunggu 51 tahun sejak merdeka untuk menang dan mentadbir Kedah. PRU 2008, PAS bersama Pakatan Rakyat akhirnya dapat mengecapi kemenangan. 

Selama separuh abad sebelum jadi Kerajaan adakah aktivis PAS merempat tanpa pendapatan kerana menunggu PAS menang, baru dapat kerja? Saya cuba mencongak dalam PAS Kedah terdapat lebih seribu orang pemegang jawatan dalam parti peringkat Kawasan ke atas. Itu baru level pemegang jawatan, belum lagi ahli biasa. Berapa puluh unit baharu kena diwujudkan untuk memberi peluang kepada mereka mendapat jawatan Kerajaan? Kesian mereka menganggur sejak berpuluh tahun kerana PAS belum menang.

Hakikatnya di Kedah, semua pemegang jawatan kerajaan lantikan politik adalah jawatan-jawatan yang telah diwujudkan sewaktu BN jadi Kerajaan dahulu. Itu jawatan dalam birokrasi Kerajaan. Manakala lantikan untuk GLC dari kalangan orang politik sudah dikurangkan dengan banyaknya di bawah Sanusi. Menteri Besar lebih mengutamakan orang yang benar-benar layak mengisi jawatan GLC dan kebanyakannya bukan proksi parti politik Kerajaan.

Bagi saya, masalah sebenar Rafizi Ramli ialah dia terlalu banyak bercakap terutama dalam podcast. Mungkin terlalu banyak masa. Maklumlah Ahli Parlimen PH tidak dituntut sangat untuk turun Kawasan macam Ahli Parlimen PN. Mereka sudah ada ‘fix deposit’ undi Cina dalam pilihanraya. Bila terlalu banyak bercakap, tiada fakta, maka melalutlah. Itu lumrah.

Saya terkenangkan Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung kira-kira 30 tahun lalu di Taman Melewar. Presiden PAS secara bergurau, menegur seorang perwakilan dari Perlis, kerana membentang fakta tidak betul dalam ucapan perbahasannya. “..bercakap panjang sampai habis modal, bila habis modal tak tau nak kata apa.. merapu!” ujar Presiden diikuti gelak ketawa perwakilan.

Post a Comment

0 Comments