Oleh: Mohamed Sukri Omar
Ketua Pemuda PAS Selangor
Isu penglibatan umat Islam dalam aktiviti gotong-royong membersihkan sebuah kuil di Pulau Pinang baru-baru ini telah mencetuskan perbahasan mengenai batas toleransi beragama dalam masyarakat majmuk. Polemik ini semakin mendapat perhatian apabila Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (MAHIMA), Datuk N Sivakumar Nadraja, mempertahankan aktiviti tersebut atas pertimbangan perpaduan dan kerjasama kemasyarakatan. Pandangan ini menimbulkan persoalan apabila Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, terlebih dahulu menjelaskan larangan syarak terhadap penglibatan umat Islam dalam kerja pembersihan yang mempunyai hubungan langsung dengan pelaksanaan ritual agama lain.
Dalam konteks masyarakat berbilang agama, toleransi merupakan asas penting bagi menjamin keharmonian dan kestabilan sosial. Namun, toleransi tidak boleh ditafsirkan sebagai suatu kebebasan mutlak sehingga menafikan prinsip kepercayaan yang menjadi pegangan seseorang. Islam mengiktiraf kepelbagaian agama dan menganjurkan hubungan baik dengan masyarakat bukan Islam, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Mumtahanah, ayat 8, yang menjelaskan bahawa Allah tidak melarang umat Islam berbuat baik dan berlaku adil terhadap golongan yang tidak memusuhi mereka kerana agama.
Prinsip tersebut memperlihatkan bahawa Islam mempunyai kerangka hubungan antara agama yang tersendiri. Hubungan sosial, kerjasama kemanusiaan dan penghormatan terhadap penganut agama lain merupakan sebahagian daripada tuntutan akhlak Islam. Walau bagaimanapun, penghormatan terhadap kepelbagaian agama tidak membawa maksud seseorang Muslim perlu mengetepikan batas akidah dan syariat demi memenuhi tuntutan toleransi. Dalam erti kata lain, toleransi yang sebenar seharusnya menjamin hak setiap penganut agama untuk berpegang kepada prinsip kepercayaan masing-masing.
Dari sudut hukum Islam, sesuatu aktiviti tidak dinilai semata-mata berdasarkan niat baik atau manfaat sosial yang ingin dicapai, tetapi turut mengambil kira bentuk perlakuan dan hubungannya dengan perkara yang ditegah oleh syarak. Prinsip ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ma'idah, ayat 2:
وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan."
Berdasarkan prinsip tersebut, Mufti Pulau Pinang menjelaskan bahawa aktiviti membersihkan patung sembahan, altar pemujaan atau menyediakan ruang khusus bagi upacara penyembahan agama lain adalah haram bagi umat Islam. Pandangan ini turut mempunyai asas dalam penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan melalui artikel Al-Kafi #1852: Hukum Muslim Membersihkan Rumah Ibadat Agama Lain yang diterbitkan pada 14 Januari 2022. Artikel berkenaan menjelaskan larangan penglibatan Muslim dalam gotong-royong membersihkan rumah ibadat agama lain kerana dibimbangi termasuk dalam bentuk bantuan terhadap amalan kesyirikan. Pada masa yang sama, bantuan kemanusiaan kepada masyarakat bukan Islam tetap dibenarkan dan digalakkan.
Dalam mempertahankan pandangannya, Sivakumar turut membangkitkan contoh Kuil Sri Maha Kaliamman di Putra Heights yang memberikan perlindungan sementara kepada mangsa letupan saluran paip gas tanpa mengira latar belakang agama. Walaupun contoh tersebut menggambarkan nilai kemanusiaan yang wajar dihargai, terdapat perbezaan asas antara menyediakan perlindungan kepada mangsa bencana dengan membantu penyelenggaraan peralatan atau tempat khusus bagi ritual keagamaan. Bantuan kemanusiaan bertujuan memelihara keselamatan dan kebajikan manusia, sedangkan bantuan yang berkait langsung dengan pelaksanaan ritual agama lain melibatkan pertimbangan akidah dan hukum syarak. Justeru, kedua-dua bentuk aktiviti tersebut tidak wajar disamakan tanpa mengambil kira perbezaan tujuan dan sifat perlakuannya.
Perbahasan ini turut menimbulkan persoalan mengenai kedudukan institusi agama dalam menentukan panduan hukum kepada masyarakat Islam. Dalam sistem pentadbiran Islam di Malaysia, institusi mufti mempunyai peranan khusus untuk memberikan penjelasan dan panduan berhubung persoalan syariah. Walaupun pandangan hukum perlu dibezakan daripada fatwa yang diwartakan dan mempunyai implikasi perundangan, kedudukan mufti sebagai institusi rujukan agama sewajarnya dihormati. Oleh itu, pandangan yang mempertahankan sesuatu aktiviti atas pertimbangan sosial tidak seharusnya dianggap memadai untuk menyelesaikan persoalan hukum Islam tanpa merujuk kepada asas syariah yang berkaitan.
Dalam hal ini, kenyataan Sivakumar memperlihatkan perbezaan pendekatan antara pertimbangan sosial dengan pertimbangan hukum syarak. Beliau melihat aktiviti membersihkan kuil sebagai manifestasi toleransi dan perpaduan, sedangkan penjelasan Mufti memberikan penekanan kepada batas penglibatan Muslim dalam aktiviti yang berkait langsung dengan ritual agama lain. Perbezaan tersebut menuntut kefahaman bahawa sesuatu tindakan yang dianggap baik dari perspektif hubungan sosial tidak semestinya mempunyai kedudukan hukum yang sama menurut sesuatu agama. Menghormati pandangan institusi Islam dalam perkara ini bukanlah suatu penolakan terhadap perpaduan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada penghormatan terhadap kebebasan dan prinsip kepercayaan umat Islam.
Pada masa yang sama, polemik ini turut menuntut perhatian terhadap tanggungjawab pihak penganjur program kemasyarakatan. Berdasarkan maklumat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), aktiviti yang tular tersebut melibatkan kakitangan sebuah hotel dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Pihak berkuasa agama sedang meneliti bentuk penglibatan pekerja Islam dan arahan kerja yang diberikan. Keadaan ini menunjukkan kepentingan garis panduan yang lebih jelas supaya setiap program rentas agama dapat dilaksanakan tanpa meletakkan peserta dalam keadaan yang bercanggah dengan pegangan agama masing-masing. Penilaian terhadap perlakuan individu yang terlibat juga perlu dibuat berdasarkan fakta sebenar, bukannya andaian semata-mata.
Hakikatnya, keharmonian masyarakat majmuk tidak sepatutnya dibina melalui kompromi terhadap prinsip asas sesuatu agama. Sebaliknya, keharmonian yang berkekalan memerlukan kefahaman, penghormatan terhadap autoriti agama serta kesediaan menerima bahawa setiap kepercayaan mempunyai batas yang tersendiri. Toleransi bukanlah tuntutan untuk menyeragamkan amalan semua agama, tetapi kesediaan menghormati perbezaan tanpa memaksa mana-mana pihak melanggar prinsip kepercayaannya. Justeru, mempertahankan batas syariah dalam hubungan antara agama tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang perpaduan, sebaliknya sebagai sebahagian daripada usaha membina masyarakat yang saling menghormati atas asas kefahaman dan tanggungjawab bersama.

0 Comments