Oleh: Roslinda Hashim
PENDANG - Kerajaan Negeri Kedah akan terus memberi perhatian kepada usaha memperkukuh infrastruktur bekalan air di seluruh negeri bagi memastikan masalah yang masih membelenggu beberapa kawasan dapat ditangani secara berperingkat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kerajaan Negeri menyedari masih terdapat kawasan memerlukan penambahbaikan selain beberapa kerja berkaitan bekalan air yang perlu diselesaikan.
Menurutnya, pihaknya tidak pernah mendakwa semua masalah bekalan air di Kedah sudah selesai, sebaliknya akan memastikan setiap isu diberi perhatian dan perancangan penyelesaian dilaksanakan mengikut keutamaan.
“Kita tidak dakwa semua masalah air telah selesai. Tetapi kita mahu pastikan setiap masalah diberikan perhatian dan setiap perancangan bergerak ke arah penyelesaian,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Baru di sini, hari ini.
Sanusi turut mengingatkan orang ramai supaya bersama-sama memelihara sumber air termasuk sungai, kawasan tadahan dan hutan bagi memastikan kelangsungan bekalan air.
Beliau berkata, usaha membina loji rawatan air dan menyediakan sistem agihan tidak akan mencukupi sekiranya sumber air dicemari, kawasan tadahan dimusnahkan serta penggunaan air dilakukan secara membazir.
“Saya harap rakyat gunakan air secara berhemah. Jangan membazir. Laporkan sebarang kebocoran paip dan sama-sama menjaga kebersihan sungai serta kawasan tadahan air. Bekalan air yang mampan perlukan kerjasama semua pihak.
“Kerajaan Negeri tidak menjanjikan semua masalah dapat diselesaikan sekelip mata. Kita akan terus bekerja, menyusun keutamaan dan melaksanakan yang termampu demi kepentingan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan terus memohon bantuan Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan infrastruktur mengikut kemampuan kewangan serta peraturan yang ditetapkan.
Katanya, tindakan mendapatkan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek pembangunan bukan sesuatu yang perlu dipertikaikan sekiranya pinjaman itu dibayar semula oleh Kerajaan Negeri.
“Kita minta ikut peraturan. Jika negeri tak cukup duit, minta bantuan Persekutuan. Kita pinjam dan bayar balik. Ada pula kata, nak jadi kerajaan tapi minta Persekutuan, tak pandai cipta pendapatan baharu. Itu memang keupayaan negeri, semua negeri sama.
“Untuk infrastruktur dalam tanggungjawab Persekutuan, mereka buat. Jika dalam tanggungjawab negeri, negeri buat,” katanya.
Beliau memberi contoh pembangunan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) yang dilaksanakan menerusi pinjaman dengan bayaran faedah sebanyak empat peratus.
“Kita bangunkan KHTP, kita pinjam dan bayar dengan faedah. Lepas tu habaq tu projek Pusat.
“Duit yang kita pinjam dan bayar balik, ia hak kita. Macam rumah, pinjam duit bank, habis bayar hutang bank. Tak kan rumah bank punya. Rumah tu kita punya, sama projek yang kita buat pinjaman,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan negeri perlu dilaksanakan secara seimbang dengan memastikan pertumbuhan ekonomi dan kemasukan pelaburan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Katanya, kejayaan kerajaan bukan hanya diukur berdasarkan jumlah projek atau nilai pelaburan yang dibawa masuk, sebaliknya sejauh mana rakyat dapat menikmati kehidupan lebih selesa menerusi kemudahan asas yang mencukupi.
“Kedah perlu berkembang. Ekonomi mesti diperkukuh. Peluang pekerjaan mesti diperbanyakkan supaya anak-anak Kedah mempunyai masa depan lebih baik. Namun dalam kita mengejar pembangunan, kita tidak sekaki-kali lupa perkara asas yang menjadi keperluan rakyat.
“Bagi saya, ukuran pencapaian sebenar ialah yang paling dekat dengan kehidupan rakyat, belajar dalam keadaan selesa, mendapat kemudahan baik, meneruskan kehidupan dengan hasil mencukupi, dan menikmati keperluan asas tanpa kesulitan,” katanya.
.jpeg)
0 Comments