JANGAN ‘TEBUK KAPAL’ DEMI KEPENTINGAN DIRI - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA KETIL - Golongan berilmu tidak seharusnya menyalahgunakan kebebasan dan kepentingan peribadi sehingga sanggup mengorbankan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat, sebaliknya perlu memiliki integriti dan rasa tanggungjawab terhadap orang lain.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan seseorang bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya, malah boleh membawa kemudaratan kepada seluruh masyarakat sekiranya dilakukan tanpa mengambil kira hak dan kepentingan orang lain.

Mengambil perumpamaan kehidupan sebagai sebuah kapal, beliau berkata, keselamatan kapal itu merupakan tanggungjawab bersama dan bukannya hanya terletak pada mereka yang berada di bahagian tertentu.

“Kita semua berada dalam kapal yang sama. Keselamatan kapal itu bukan tanggungjawab mereka yang berada di atas sahaja, bukan juga tanggungjawab mereka yang berada di bawah. Ia tanggungjawab bersama.

“Kita mungkin berada di bahagian kapal yang berbeza, mempunyai kedudukan dan peranan tidak sama, tetapi kita berkongsi laut yang sama dan menuju destinasi yang sama.

"Jangan kerana mahu menyelamatkan kepentingan diri, kita sanggup menebuk kapal yang membawa kita semua.

"Itulah tanggungjawab orang berilmu. Bukan sekadar mengetahui apa yang benar, tetapi berani mempertahankan kebenaran demi keselamatan dan kesejahteraan bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) kali ke-28 di sini, hari ini.

Sanusi yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Universiti (LPU) UniSHAMS berkata, tema konvokesyen ‘Ilmu Layar Bahtera Kejayaan’ amat bertepatan dengan hakikat kehidupan manusia. 

“Ilmu adalah layar yang menggerakkan bahtera kehidupan. Tanpa ilmu, manusia mudah hilang arah dalam arus perubahan. Dengan ilmu, manusia mampu mengemudi kehidupan dengan lebih yakin, teratur dan berwawasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan graduan bahawa kebebasan tidak boleh ditafsirkan sebagai hak untuk melakukan apa sahaja atas alasan kepentingan diri tanpa mengambil kira kesannya terhadap orang lain.

"Kita perlu memahami kebebasan mesti berjalan seiring dengan tanggungjawab, hak mesti diseimbangkan dengan kewajipan dan kepentingan peribadi tidak boleh mengatasi kepentingan masyarakat," katanya.

Menurut beliau, ilmu yang tinggi perlu disertai integriti yang kukuh, manakala kebijaksanaan mesti dipandu oleh nilai serta kebebasan dibatasi oleh tanggungjawab.

Katanya, individu yang berilmu juga perlu menghayati dan mengamalkan pengetahuan dimiliki dengan menjadikan integriti, amanah serta rasa tanggungjawab sebagai pegangan.

"Ilmu tidak seharusnya menjadikan seseorang itu angkuh, apatah lagi mementingkan diri sendiri. Semakin tinggi ilmu seseorang, semakin besar sepatutnya rasa tanggungjawabnya terhadap masyarakat dan kesejahteraan bersama," katanya.

Menurut Sanusi, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pangkat, gaji atau kedudukan, tetapi sejauh mana seseorang mampu memberi manfaat kepada orang lain dan meninggalkan kesan baik dalam kehidupan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan graduan supaya tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik, sebaliknya memastikan ilmu yang diperoleh diterjemahkan melalui akhlak, integriti dan sumbangan bermakna kepada agama, bangsa serta negara.

“Dalam apa jua keadaan, peliharalah akhlak dan integriti diri kerana ilmu tanpa akhlak tidak membawa makna. Sentiasalah jujur, menghormati orang lain dan melaksanakan amanah dengan penuh tanggung jawab.

“Dalam mengejar kejayaan, peliharalah keseimbangan hidup, hubungan kekeluargaan, tanggung jawab sosial dan nilai agama demi ketenangan serta keberkatan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments