Oleh: Roslinda Hashim
KUALA LUMPUR - Komitmen terhadap pembangunan rendah karbon dan pengurusan alam sekitar mampan membolehkan Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim (PBT TPHTK) meraih pengiktirafan 'Green & Sustainability Award' pada IMT-GT Regional Business Excellence Awards 2026.
Anugerah itu disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam kepada Yang Dipertua PBT TPHTK, Sunita Abdul Aziz pada majlis makan malam anugerah berkenaan di KLGCC Convention Centre di sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Setiausaha PBT TPHTK, Ahmad Fayadh Abdul Manap.
Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen PBT TPHTK dalam memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar, pengurusan bandar yang bertanggungjawab serta pembangunan mampan, khususnya dalam menyokong aspirasi Kulim Hi-Tech Park (KHTP) sebagai taman perindustrian berteknologi tinggi yang progresif dan berdaya saing di rantau ini.
'Green & Sustainability Award' mengiktiraf organisasi atau individu yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap pemeliharaan alam sekitar menerusi pelaksanaan amalan perniagaan mampan.
Penilaian anugerah itu merangkumi lima aspek utama, iaitu komitmen terhadap kelestarian alam sekitar, inovasi teknologi hijau, impak alam sekitar jangka panjang, amalan ekonomi kitaran serta tanggungjawab sosial dan penglibatan komuniti.
Antara elemen yang diberikan perhatian termasuk usaha mengurangkan jejak karbon, meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, mengurangkan sisa serta pencemaran dan memelihara biodiversiti.
Penggunaan tenaga boleh baharu, teknologi hijau, bahan mesra alam dan amalan kitar semula turut menjadi antara pendekatan penting dalam menyokong kelestarian.
Selain itu, penilaian turut menitikberatkan impak positif terhadap alam sekitar yang boleh diukur dalam jangka panjang, termasuk peningkatan kualiti udara dan air, pemeliharaan ekosistem serta sumbangan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Penerimaan anugerah itu menjadi dorongan kepada PBT TPHTK untuk terus mempergiat inisiatif pembangunan rendah karbon, meningkatkan kecekapan pengurusan sumber serta memperluas amalan hijau dalam penyampaian perkhidmatan dan pembangunan kawasan perindustrian.
PBT TPHTK turut komited memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan, komuniti dan sektor industri bagi mewujudkan persekitaran yang lebih hijau, bersih dan berdaya tahan, seiring usaha mengimbangi kemajuan industri dengan kesejahteraan masyarakat serta pemeliharaan alam sekitar.

0 Comments