KELAHIRAN PAS DAN TERTUBUHNYA PAS KEDAH (1951–1954)
Oleh: Ustaz Ahmad Yahaya
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
Sesudah tanah disuburkan oleh para ulamak, pondok dan gerakan masyarakat, kini benih mula bercambah menumbuhkan PAS Kedah.
1- 23 Ogos 1951 — PAS lahir
Penubuhan PAS pada 23 Ogos 1951 merupakan titik perubahan besar dalam sejarah gerakan Islam di Tanah Melayu.
Selepas beberapa tahun ulamak bergerak melalui pertubuhan seperti Persatuan Ulama, MATA dan Hizbul Muslimin, kini muncul sebuah organisasi yang secara khusus menjadikan perjuangan Islam sebagai asas gerakannya.
Bagi Kedah, perkembangan ini segera mendapat perhatian tokoh-tokoh ulamak yang telah mempunyai pengalaman dalam gerakan masyarakat.
2- Tuan Guru Hj Hussin Che Dol — penghubung PAS dengan Kedah
Antara fakta yang menarik, Tuan Guru Haji Hussin Che Dol bukan sekadar tokoh PAS Kedah. Beliau mempunyai kedudukan dalam kepimpinan PAS pada peringkat pusat.
Selepas pembentukan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 24 November 1951, beliau dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS bagi Zon Utara, yang meliputi Kedah, Perlis dan beberapa kawasan lain. Tuan Guru Haji Yahya Junid pula berada dalam Jawatankuasa Kerja Agung PAS.
Ini memberi Kedah kedudukan yang penting dalam struktur awal PAS.
Dengan kata lain, Kedah bukan sekadar menerima PAS dari luar. Tokoh ulamak Kedah sendiri berada dalam barisan yang membangunkan PAS sejak peringkat awal.
3- 2 Februari 1952 — PAS datang bertemu ulamak Kedah
Pada 2 Februari 1952, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Ahmad Maliki, mengadakan majlis penerangan tentang dasar dan tujuan PAS kepada Persatuan Ulamak Kedah (PUK).
Pertemuan ini menunjukkan bahawa PAS ketika itu sedang berusaha mendapatkan sokongan dan kerjasama jaringan ulamak yang sudah sedia wujud.
Malah, timbul cadangan supaya Persatuan Ulamak Kedah menjadi ahli gabungan PAS.
Namun cadangan tersebut ditangguhkan.
4- Mengapa cadangan PUK bergabung ditangguhkan?
Sudah pasti pemimpin ketika itu lebih mengetahui sebabnya, namun dari sudut struktur organisasi yang kita fahami bahawa, PUK masih mempunyai identiti organisasi serta kaedah operasi sendiri, sementara tokoh-tokoh individu PUK mula bergerak di dalam organisasi PAS
Jelas, PAS Kedah tumbuh di atas tanah atau dalam rumahnya sendiri, bukan dengan menumpang di tanah orang lain, namun di sudut lain ia mempunyai hubungan akrab serta jaringan ulamak yang kukuh
5- 3 April 1952 — keputusan membuka cawangan
Pada 3 April 1952, Jawatankuasa Kerja Agung PAS memutuskan supaya PAS membuka cawangan di seluruh Tanah Melayu dengan sasaran sekurang-kurangnya 20 cawangan sebelum Mesyuarat Agung Tahunan yang pertama.
Keputusan ini menjadi pencetus kepada perkembangan PAS secara lebih agresif.
Di utara, jaringan ulamak Kedah telah pun bersedia.
6- 6 September 1952 — lahirnya PAS Cawangan Bukit Besar
Pada hari tersebut, satu pertemuan umat Islam diadakan di Madrasah an-Nahdhah, Bukit Besar.
Hasil pertemuan itu ialah penubuhan:
PAS Cawangan Bukit Besar
Ia adalah cawangan PAS pertama di Kedah.
Yang Dipertua pertamanya ialah, Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi
Sementara jawatankuasanya ialah,
Ustaz Ahmad Shukri Abdul Syukur — Setiausaha
Tuan Guru Haji Ahmad Yusof — Penolong Setiausaha.
Peristiwa ini boleh dianggap sebagai tarikh kelahiran organisasi PAS Kedah di peringkat akar umbi.
7- PAS Kedah mula berkembang keluar dari Bukit Besar
Penubuhan Bukit Besar tidak berhenti sebagai satu cawangan.
Pada 1953, muncul pula beberapa cawangan lain, antaranya:
Bukit Aping, Bandar Baharu
Sungai Korok, Alor Setar
Kemudian perkembangan terus berlaku:
1952 Bukit Besar
1953 Bukit Aping, Sungai Korok
1955 Kupang, Kodiang, Pinang Tunggal
1956 Alor Ganu
1957 Sik
Ini memberikan gambaran bahawa dalam tempoh hanya kira-kira lima tahun, PAS telah mula membina rangkaian organisasi yang merentasi beberapa daerah di Kedah.
8- 3 Januari 1953 — PAS Kedah muncul di pentas nasional
Penubuhan cawangan Bukit Besar mempunyai satu kesan yang sangat penting.
Cawangan tersebut membolehkan wakil Kedah menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953.
Dalam mesyuarat tersebut, Bukit Besar disenaraikan antara cawangan yang menghantar perwakilan.
Dalam masa kurang daripada dua tahun, jaringan ulama Kedah telah berubah menjadi organisasi politik yang mempunyai wakil dalam struktur nasional PAS.
9- 1954 — Kedah dan Perlis disatukan di bawah satu pesuruhjaya
Pada 1954, Jawatankuasa Kerja Agung PAS menubuhkan PAS Daerah Kedah/Perlis.
Tokoh yang dilantik sebagai pesuruhjaya pertama ialah Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi
Dengan itu, kepimpinan PAS mula mempunyai struktur yang lebih jelas untuk mengurus perkembangan organisasi di wilayah utara.
11- Apakah yang sebenarnya berlaku pada 1951–1954?
Boleh dirumuskan :
PAS tidak datang ke Kedah sebagai sebuah organisasi yang asing, sebaliknya ia masuk ke dalam jaringan masyarakat yang sudah mempunyai kesedaran Islam serta rangkaian ulamak yang kukuh.
Sebab itu tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Hj Hussin Che Dol, Tuan Guru Hj Yahya Junid dan Tuan Guru Hj Othman al-Yunusi dapat memainkan peranan yang penting.
Mereka bukan sekadar membuka cawangan PAS, bahkan mereka berjaya memindahkan pengalaman gerakan ulamak kepada sebuah organisasi politik Islam yang baharu.

0 Comments