MUAFAKAT MELAKA RAMUAN TERBAIK PERTAHANKAN GELOMBANG BIRU DI MELAKA

 

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA


Oleh: Afnan Hamimi Dato' Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Pemuda Perikatan Nasional (PN) ingin menzahirkan keyakinan bahawa gagasan 'Muafakat Melaka, Kembalikan Sejarah Gemilang' dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan suatu ramuan terbaik bagi memastikan gelombang biru kekal menguasai negeri ini serta dalam masa yang sama membenam PH/DAP daripada bumi Melaka yang bersejarah. 

Malah, Pemuda PN juga meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap kredibiliti calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam PRN kali ini bagi memastikan kemenangan sekaligus bersama membentuk Kerajaan Negeri yang lebih kuat pada masa hadapan. 

Gagasan Muafakat Melaka bersandarkan kepada agenda penyatuan ummah yang terus diperjuangkan di bumi yang penuh dengan warisan sejarah ini. Usaha memastikan PH terus terkubur akan sekali lagi direalisasikan dan rakyat Negeri Melaka akan menuruti langkah di Johor dan Negeri Sembilan. 

Berdasarkan percaturan semasa, penyatuan ummah dua koalisi parti terbesar ketika ini mensasarkan 23 kerusi DUN yang mempunyai majoriti pengundi Melayu-Islam dan memberikan saingan di kerusi-kerusi yang lain. 

Insya-Allah, gelombang biru adalah fenomena baru dalam politik Malaysia. PRN Melaka dan negeri-negeri Selatan sebelumnya akan mewajahkan kebangkitan rakyat dalam PRU16 bagi meruntuhkan keegoaan sang penguasa PH daripada singgahsana.

Pemuda PN yakin anak-anak muda Melaka akan terus bersama dan mendukung gagasan penyatuan ummah ini setiap masa. Sesungguhnya snak muda adalah tunjang kepada perjuangan yang murni ini. Insya-Allah muafakat ini akan melahirkan keberkatan buat kita semua. 

'Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat'

31 OKTOBER 2026 | 20 JAMADIL AWAL 1448H

Post a Comment

0 Comments