PEMBANGUNAN BAKAT MUDA PERLU SEIRING PERANCANGAN INDUSTRI

 


Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA LUMPUR - Pembangunan bakat muda perlu bergerak seiring perancangan perindustrian bagi memastikan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan menerusi agenda The Greater Kedah dinikmati rakyat negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penyediaan infrastruktur seperti taman perindustrian, lebuh raya dan kemudahan tenaga sahaja tidak mencukupi sekiranya generasi muda tidak mempunyai kemahiran untuk memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Menurut beliau, pembangunan ekonomi perlu disokong ekosistem pendidikan yang mampu melahirkan generasi berkeupayaan dari segi akademik, berpegang teguh pada nilai etika serta menguasai sains, teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan keusahawanan.

“Pembangunan bakat tidak boleh difikirkan selepas sebuah kilang siap dibina. Pembangunan bakat dan perancangan perindustrian mesti bergerak seiring,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada SG4 Business & Economic Forum 2026 bertemakan ‘Four States, One Economic Vision’, di sini hari ini.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Agenda Strategik Pembangunan Pendidikan 2026-2030 berteraskan gagasan Cordoba of Kedah dengan tema Generasi Al-Abqari, mengambil inspirasi Cordoba sebagai pusat ilmu pengetahuan dan pembelajaran.

Sanusi berkata, lima resolusi digariskan menerusi agenda tersebut, merangkumi cadangan penubuhan majlis pendidikan bagi penyelarasan strategik, yayasan pendidikan untuk meningkatkan kualiti institusi dan pendidik serta wakaf pendidikan sebagai mekanisme pembiayaan mampan.

Turut diberi perhatian, pembangunan kurikulum Al-Abqari yang menghubungkan nilai Islam dengan ilmu kontemporari serta pengukuhan kerjasama dalam ekosistem pendidikan tinggi.

Dalam usaha menyediakan generasi muda menghadapi pasaran kerja, program Kedah Young Professional menyasarkan penyertaan 1,000 pelajar berusia 15 hingga 17 tahun dari seluruh daerah.

“Seramai 323 pelajar menyertai siri pertama program pada tahun ini, ia memberi pendedahan kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), industri, kepimpinan serta persediaan kerjaya.

“Usaha ini penting bagi memastikan golongan muda pelbagai latar belakang mempunyai peluang menceburi kerjaya bernilai tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa majikan memainkan peranan aktif dengan menyediakan pendedahan industri kepada pelajar, membantu membentuk latihan relevan serta membuka laluan kerjaya berdasarkan merit dan keupayaan.

“Institusi pendidikan disaran menilai kejayaan bukan hanya berdasarkan jumlah graduan, tetapi mengambil kira keyakinan diri, kebolehsuaian dan peluang pekerjaan yang diperoleh mereka,” katanya.

Menurut Sanusi, selain pembangunan kemahiran, turut diberi penekanan ialah pembentukan sahsiah dan tanggungjawab sosial mahasiswa menerusi program Bakti Siswa Perdana dan Majlis Persatuan Mahasiswa Darul Aman (MINDA).

Program itu menghimpunkan 1,500 mahasiswa di semua 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), menerusi program mendekati komuniti, bekerjasama dengan pemimpin setempat serta menyumbang pengetahuan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Skim Perlindungan Pelajar Kedah atau Kedah Siswa Care, iaitu perlindungan takaful keluarga berkumpulan kepada lebih 42,000 pelajar Kedah yang layak di institusi pengajian tinggi awam.

Skim itu menawarkan manfaat RM8,000 bagi kematian dan RM8,000 bagi hilang upaya menyeluruh dan kekal, tertakluk kepada terma serta syarat kelayakan.

Sanusi berkata, pembangunan Kedah perlu mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar, keadilan sosial dan kepentingan jangka panjang rakyat.

“Saya mengalu-alukan kerjasama pelabur, pemain industri dan institusi pendidikan bagi membangunkan kemahiran, idea serta kepimpinan yang diperlukan untuk memastikan kemajuan ekonomi negeri turut dinikmati keluarga, bandar dan kampung di seluruh Kedah.

“Kepada penjawat awam dan masyarakat, marilah kita terus bekerjasama dengan semangat tanggungjawab bersama untuk membina Kedah yang lebih produktif, lebih terhubung, lebih berilmu dan lebih berdaya tahan.

“Inilah janji The Greater Kedah, yang menekankan konsep memperkasakan kehidupan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments