Oleh: Roslinda Hashim
KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri perlu diberikan lebih banyak kuasa dan kebebasan untuk menentukan keutamaan projek infrastruktur masing-masing tanpa terlalu bergantung kepada keputusan Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendekatan itu antara perkara yang perlu diubah sekiranya Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negara, bagi membolehkan negeri membuat keputusan berdasarkan keperluan serta keutamaan rakyat di kawasan masing-masing.
Menurut Pengerusi PN itu, ketidakselarasan keutamaan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan ketika ini menjadi antara cabaran dalam memastikan projek pembangunan yang benar-benar diperlukan dapat dilaksanakan.
“Ada kalanya, perkara yang menjadi keutamaan kita (negeri) bukan keutamaan mereka (Persekutuan).
“Kita perlu mencari penyelesaian terhadap masalah yang wujud dalam hubungan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
“Negeri wajar diberikan lebih banyak ruang untuk menentukan perkara yang sepatutnya menjadi keutamaan, bukannya ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena SG4 Business & Economic Forum 2026 bertemakan ‘Four States, One Economic Vision’, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, berdasarkan model pentadbiran yang diamalkan sejak merdeka, kebanyakan projek infrastruktur berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Persekutuan tidak dapat mengenal pasti projek yang bersesuaian tanpa cadangan daripada negeri yang lebih memahami keperluan pembangunan di kawasan masing-masing.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan memperkukuh perbincangan dan kerjasama antara kedua-dua pihak bagi mengenal pasti projek infrastruktur yang perlu diberikan keutamaan serta dimasukkan dalam perancangan pembangunan secara berperingkat.
“Kerajaan Persekutuan perlu memahami rasional sesuatu projek menjadi keutamaan di negeri dan mengapa projek tersebut perlu diberikan keutamaan, supaya keputusan pembangunan dapat dibuat dengan mengambil kira keperluan sebenar di peringkat negeri.
“Perkara ini masih belum berlaku sekarang. Saya fikir inilah antara perkara utama yang akan kita ubah sekiranya kita mengambil alih negara selepas PRU16, supaya negeri mempunyai lebih banyak kebebasan membuat keputusan sendiri,” katanya.
0 Comments