Oleh: Profesor Madya Dr. Mohd Hapiz Mahaiyadin
Saya hadir semasa Muzakarah Ilmuan Turath Kebangsaan 2026 Ahad lalu.
Ini pandangan saya.
Idea untuk mewujudkan sebuah Universiti Pondok sememangnya menarik untuk dibincangkan. Namun, sebelum kita terlalu jauh membicarakan soal nama, bentuk, struktur dan penubuhannya, saya berpandangan beberapa persoalan asas perlu diperjelaskan terlebih dahulu. Ini penting supaya gagasan yang baik ini benar-benar lahir daripada keperluan pendidikan Islam semasa, bukan semata-mata daripada keinginan untuk mengangkat bentuk pendidikan tradisional ke taraf universiti.
1. Apakah matlamat Universiti Pondok?
Pertama sekali, kita perlu bertanya: apakah sebenarnya matlamat Universiti Pondok dan siapakah yang mahu kita lahirkan daripadanya?
Tidak dapat dinafikan bahawa pondok merupakan salah satu sistem pendidikan Islam yang sangat berjasa dalam sejarah perkembangan ilmu dan pendidikan umat Islam, khususnya di Alam Melayu. Melalui sistem inilah tradisi pengajian kitab, penguasaan bahasa Arab, talaqqi dan hubungan keilmuan antara guru dengan murid dapat dipertahankan sehingga hari ini.
Walau bagaimanapun, kita juga perlu memahami bahawa pondok ialah salah satu daripada bentuk pendidikan Islam, bukan satu-satunya bentuk pendidikan Islam dan tidak semestinya merupakan sistem terbaik bagi memenuhi semua tujuan pendidikan. Sejarah pendidikan Islam sendiri memperlihatkan kepelbagaian institusi dan pendekatan yang berkembang mengikut zaman, tempat dan keperluan masyarakat.
Oleh sebab itu, apabila kita mahu membawa konsep pondok ke peringkat universiti, persoalan yang lebih utama bukanlah sekadar bagaimana hendak menjadikan pondok sebuah universiti. Sebaliknya, kita perlu menentukan terlebih dahulu maqasid pendidikan yang hendak dicapai.
Adakah kita mahu melahirkan fuqaha, pendakwah, penyelidik, pemikir Islam, pakar turath, pentadbir institusi agama atau sarjana yang mampu menangani persoalan masyarakat kontemporari? Jawapan terhadap persoalan ini yang sepatutnya menentukan bentuk institusi, kurikulum dan bidang kepakaran yang hendak dibangunkan.
Dengan kata lain, pondok ialah wasilah pendidikan, bukan maqasid pendidikan itu sendiri.
2. Yang penting ialah manhaj ilmu, bukan sekadar lahiriah kepondokan
Kedua, kita perlu membezakan antara roh keilmuan pondok dengan lahiriah kepondokan.
Kekuatan pendidikan pondok tidak seharusnya diukur semata-mata melalui bentuk bangunan, pakaian, cara duduk belajar, penggunaan kitab tertentu atau suasana fizikal yang menggambarkan tradisi masa lalu. Semua unsur tersebut mempunyai nilai sejarah dan identitinya tersendiri, tetapi ia bukan inti pati sebenar kekuatan pendidikan pondok.
Sebaliknya, perkara yang jauh lebih penting ialah manhaj ilmu serta kemampuan membangunkan kurikulum yang mensinergikan warisan keilmuan Islam dengan realiti semasa.
Hakikatnya, fiqh, usul fiqh, tafsir, hadis, mantik, qawa‘id fiqhiyyah dan pelbagai disiplin turath yang diwarisi hari ini bukanlah ilmu yang lahir dalam kekosongan. Para ulama terdahulu membina dan mengembangkan disiplin tersebut untuk memahami wahyu serta menjawab persoalan ilmu dan realiti masyarakat pada zaman mereka.
Mereka bukan sekadar membaca karya generasi sebelumnya. Mereka mensyarah, menganalisis, mengkritik, mentarjih, mengembangkan dan mengaplikasikannya terhadap persoalan yang mereka hadapi.
Justeru, pengajian pondok pada zaman kita juga tidak seharusnya berhenti pada membaca kitab demi membaca kitab. Penguasaan kitab turath sememangnya sangat penting, tetapi penguasaan tersebut mesti membawa pelajar kepada persoalan yang lebih besar: apakah fungsi ilmu ini dalam memahami dan menangani realiti zaman kita?
Sebagai contoh, pelajar yang mendalami fiqh perlu memahami realiti hukum semasa. Mereka yang mempelajari usul fiqh pula perlu memahami bagaimana metodologi istinbat dapat berfungsi ketika berhadapan dengan persoalan baharu. Demikian juga pengajian tafsir, hadis, mantik dan ilmu-ilmu lain seharusnya membentuk kemampuan berfikir, menganalisis dan menyelesaikan masalah, bukan sekadar menjadi kandungan pengajian yang perlu dihabiskan.
Ringkasnya, tanpa turath kita kehilangan akar, tetapi tanpa memahami realiti, ilmu kehilangan fungsi.
3. Universiti mesti mempunyai identiti kepakaran
Ketiga, kita perlu memahami sebuah universiti bukan sekadar institusi yang menyampaikan ilmu. Antara fungsi utama universiti ialah membina kepakaran, menjalankan penyelidikan dan menghasilkan ilmu baharu.
Atas asas itu, setiap universiti lazimnya mempunyai bidang kekuatan dan identiti kepakarannya yang tersendiri. Maka, perkara yang sama perlu dijelaskan sekiranya kita mahu membangunkan Universiti Pondok: apakah kepakaran yang mahu ditonjolkan dan apakah keperluan sebenar yang mahu dipenuhi?
Dalam hal ini, kita perlu terlebih dahulu membuat diagnosis terhadap permasalahan sebenar umat dan institusi Islam.
Sekiranya masalah utama kita ialah kelemahan penguasaan ilmu agama, maka tumpuan sewajarnya diberikan kepada pengukuhan fiqh, usul fiqh, akidah, tafsir, hadis, bahasa Arab dan ilmu-ilmu alat.
Sebaliknya, jika masalah yang lebih mendesak ialah kelemahan institusi agama, maka kita memerlukan pakar yang bukan sahaja memahami kitab, tetapi turut memahami pengurusan fatwa, kehakiman syariah, zakat, wakaf, pentadbiran masjid, pendidikan Islam, undang-undang dan tadbir urus.
Begitu juga, sekiranya kelemahan kita terletak pada pembentukan dasar berkaitan Islam, maka kita memerlukan sarjana yang kukuh penguasaan turathnya, tetapi pada masa yang sama memahami maqasid syariah, siyasah syar‘iyyah, ekonomi, undang-undang, sosiologi, teknologi, data dan mekanisme pembentukan dasar awam.
Oleh itu, sebelum kita memikirkan soal penubuhan universiti, diagnosis terlebih dahulu masalah yang hendak diselesaikan. Daripada diagnosis itulah kita menentukan kepakaran yang diperlukan, seterusnya membina kurikulum dan struktur institusi yang benar-benar memenuhi keperluan tersebut.
4. Pondok sebagai feeder kepada sistem pengajian Islam di universiti
Keempat, dalam konteks Malaysia, saya melihat institusi pondok mempunyai satu lagi peranan yang sangat strategik, iaitu menjadi feeder kepada sistem pengajian Islam di universiti.
Kita sebenarnya telah mempunyai universiti seperti UM, UKM, UIAM, USIM, UiTM dan beberapa institusi lain yang menawarkan pelbagai bidang kepakaran dalam pengajian Islam. Justeru, sistem pondok tidak semestinya perlu menduplikasi fungsi yang telah dilaksanakan oleh institusi-institusi tersebut.
Sebaliknya, bayangkan sekiranya lepasan pondok memasuki universiti dengan penguasaan bahasa Arab yang mantap, kemampuan membaca turath dengan baik serta asas yang kukuh dalam fiqh, usul fiqh, akidah, tafsir, hadis dan ilmu alat. Kemudian, di universiti mereka diberikan pengkhususan disiplin, metodologi penyelidikan, pendedahan terhadap ilmu kontemporari dan kemahiran menganalisis realiti semasa.
Gabungan kedua-dua kekuatan ini berpotensi menghasilkan graduan pengajian Islam yang jauh lebih mantap.
Dengan demikian, pondok tidak semestinya perlu menjadi universiti untuk membuktikan nilai dan sumbangannya. Pondok boleh membina asas keilmuan yang kukuh, sementara universiti meneruskan proses pembentukan kepakaran.
Apa yang lebih diperlukan ialah suatu kesinambungan dan jaringan akademik yang tersusun antara kedua-duanya. Kita sewajarnya mengelakkan daripada mewujudkan dualisme baharu dalam sistem pengajian Islam, sedangkan kekuatan kedua-duanya sebenarnya boleh digabungkan.
5. Membawa kekuatan pondok ke dalam sistem universiti
Kelima, pendekatan yang mungkin lebih efektif ialah mengintegrasikan kekuatan pendidikan pondok ke dalam sistem universiti yang telah sedia ada.
Sebenarnya, usaha memperkukuh elemen turath dalam pengajian Islam di universiti telah dan sedang dilaksanakan. Pengajian kitab, penguasaan bahasa Arab, fiqh bermazhab, usul fiqh, qawa‘id fiqhiyyah, tafsir, hadis, akidah dan ilmu alat boleh terus diperkasakan supaya graduan pengajian Islam mempunyai asas keilmuan yang benar-benar kukuh.
Dalam masa sama, kita juga tidak seharusnya mengabaikan kekuatan yang telah dibangunkan dalam sistem universiti, antaranya metodologi penyelidikan, pengkhususan disiplin, penerbitan akademik, penyelidikan multidisiplin serta interaksi dengan perkembangan sains, teknologi, ekonomi, undang-undang dan perubahan masyarakat.
Oleh itu, pendekatan yang lebih konstruktif ialah mengambil kekuatan kedua-dua tradisi pendidikan.
Daripada pondok, kita mengambil kedalaman turath, talaqqi, penguasaan bahasa Arab, disiplin berguru dan kekuatan asas ilmu. Daripada universiti pula, kita mengambil metodologi penyelidikan, pengkhususan bidang, pendekatan multidisiplin serta kemampuan memahami dan menganalisis realiti kontemporari.
Maka, persoalannya bukan lagi pondok atau universiti. Sebaliknya, persoalan yang perlu kita jawab ialah bagaimana hendak melahirkan sarjana yang memiliki kedalaman turath dan keluasan ilmu kontemporari secara serentak.
6. Pondok dan universiti mesti saling melengkapi
Akhir sekali, kedua-dua pihak perlu mengelakkan sikap saling memandang rendah.
Orang universiti tidak sewajarnya memandang rendah kepada orang pondok hanya kerana sistem pendidikannya bersifat tradisional. Pada masa yang sama, orang pondok juga tidak seharusnya memandang rendah kepada graduan pengajian Islam universiti hanya kerana bentuk pengajian mereka tidak menyerupai tradisi pondok.
Hakikatnya, kedua-duanya mempunyai kekuatan tersendiri dan kedua-duanya saling memerlukan.
Dalam konteks ini, al-Azhar merupakan antara contoh penting yang wajar dipelajari. Al-Azhar tidak boleh disamakan begitu sahaja dengan sistem pondok tradisional sebagaimana yang berkembang di Malaysia. Ia berkembang melalui sejarah institusi yang panjang dengan mengekalkan tradisi keilmuan Islam dan pengajian turath, namun pada masa yang sama berkembang sebagai sebuah universiti yang mempunyai fakulti, sistem pengkhususan, penyelidikan dan pelbagai disiplin ilmu moden.
Sheikh Ali Jum‘ah (yang membicarakan tentang turath Islami) merupakan salah satu contoh yang menarik. Pembentukan akademik formal beliau berlangsung dalam bidang perniagaan(Kulliyyah al-Tijarah) sebelum menduduki sistem Universiti al-Azhar sehingga memperoleh ijazah, Sarjana dan PhD dalam bidang Usul Fiqh, sebelum menjadi Profesor Usul Fiqh dan seterusnya Mufti Mesir. Hal ini sekurang-kurangnya menunjukkan bahawa kedalaman tradisi keilmuan Islam tidak semestinya bergantung kepada satu bentuk institusi pendidikan sahaja.
Justeru, kita tidak perlu terperangkap dalam dikotomi antara “orang pondok” dengan “orang universiti”. Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada mata rantai pendidikan Islam yang boleh dan sepatutnya saling memperkukuh.
Pada akhirnya, masa depan pendidikan Islam bukan terletak pada usaha memperbanyakkan pemisahan institusi, tetapi pada kemampuan kita membina sinergi antara kekuatan pondok dengan kekuatan universiti.
Pondok memperkukuh asas. Universiti membina kepakaran. Turath memberikan akar. Realiti semasa menentukan persoalan yang perlu dijawab.
Matlamat akhirnya bukan untuk melahirkan “orang pondok” atau “orang universiti”, tetapi untuk melahirkan ulama dan sarjana yang kukuh penguasaan warisan ilmunya, memahami realiti zamannya serta berkeupayaan menawarkan penyelesaian kepada masyarakat.

0 Comments