MENTERI KEWANGAN JANGAN SABOTAJ KERAJAAN SENDIRI

 

Oleh: Fadhli Shaari 

Ketua Penerangan PAS 

1. Pendedahan YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri bahawa banyak bayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek di bawah kendalian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tertunggak adalah satu perkara yang agak mengejutkan. Sudah tentu isu ini sudah sampai ke peringkat yang sangat serius sehingga Timbalan Perdana Menteri sendiri selaku Menteri yang berkaitan terpaksa menyebutnya secara terbuka.

2. Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri wajib memberikan penjelasan terbuka. Inilah kali pertama rakyat menyaksikan bagaimana seorang Timbalan Perdana Menteri menyebut isu berkaitan urus tadbir khusus di bawah Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri tanpa berselindung lagi. 

3. Rakyat sedang menyaksikan drama ini dengan penuh bimbang. Adakah kerajaan sebenarnya sedang berkonflik sesama sendiri? Kenapa Menteri Kewangan memilih untuk menangguhkan bayaran yang sepatutnya diselesaikan segera ini khususnya apabila ia melibatkan kementerian yang paling dekat dengan rakyat luar bandar?

4. Hanya ada dua kemungkinan yang kedua-duanya membimbangkan. Pertama, kerajaan sedang berdepan dengan masalah kewangan yang serius sehingga mengganggu aliran tunai (cash flow). Atau yang kedua, kerajaan sengaja menangguhkan bayaran sebagai satu bentuk gangguan terhadap kementerian yang diketuai oleh Presiden UMNO atas alasan yang semua pihak boleh membacanya khususnya selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan.

5. Saya menggesa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, jangan sabotaj kerajaan sendiri. Sekalipun kerajaan madani sudah berada di hujung tanduk, tetapi selagi mandat masih berbaki, pentadbiran negara perlu berjalan dengan sempurna demi kebaikan rakyat tanpa mengira warna bendera politik.

6. Kecuali jikalau kerajaan Madani sudah tiada minat lagi untuk mentadbir negara, serahkan kembali mandat kepada rakyat. Sebagaimana kata Perdana Menteri sendiri ketika berucap sebelum PRN Johor, kita serahkan kembali mandat kepada rakyat! Tetapi selepas beberapa bulan berlalu, nampaknya kehebatan ucapan itu hanya terhenti setakat mikrofon di atas pentas itu sahaja. 

7. Apa yang penting, selagi mandat masih ada, bekerjalah dengan penuh amanah. Semoga di tahun hadapan, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih diberikan rezeki menyaksikan perarakan kemerdekaan, walau dari sudut mana sekalipun.

Post a Comment

0 Comments