Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) disaran agar tidak lagi menoleh ke belakang, sebaliknya meneruskan formula kerjasama yang berjaya membawa kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerjasama antara kedua-dua gabungan itu wajar diperkukuhkan dan dijadikan asas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Menurut beliau, jika formula tersebut diteruskan ke medan PRU, PN dan BN berpotensi menawan semua negeri di Semenanjung Malaysia, termasuk Pulau Pinang.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah di hujung tanduk. Hanya menunggu masa untuk jatuh sahaja.
Apabila Parlimen dibubarkan, barisan PH boleh siap sedia ambil alih kerusi pembangkang,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Sehubungan itu, beliau menggesa pimpinan PN dan BN supaya terus memberikan perkhidmatan secara profesional dalam kerajaan baharu sehingga Parlimen dibubarkan, selain tidak terpengaruh dengan sebarang pelawaan perdamaian politik.
“Jangan peduli ajakan ‘bermaafan hari raya’ oleh Perdana Menteri. Berkhidmatlah dengan kerajaan sekarang sebaiknya secara profesional dan menunggu sehingga Parlimen dibubarkan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut mengajak penyokong PH menilai semula sokongan mereka menjelang PRU akan datang.
“Tiada guna menyokong pasukan yang hampir pasti tewas. Lagipun Ahli Parlimen PH jika ada yang menang tentu sekali tidak akan mohon peruntukan dari kerajaan sebagaimana mereka juga tidak beri peruntukan kepada pembangkang dalam penggal ini. Jadi lebih baik sokong pasukan yang menang dari awal lagi,” katanya.
Beliau juga menegaskan penolakan rakyat terhadap PH tidak seharusnya disandarkan kepada sentimen perkauman, sebaliknya menggesa gabungan itu melakukan muhasabah terhadap punca sebenar kehilangan sokongan.
“Rakan-rakan dari PH bermuhasabahlah, ada sebab kenapa rakyat menolak anda hari ini. Jangan persalahkan kami dengan memomokkan seolah-olah rakyat terpedaya dengan sentimen perkauman.
“Adakah anda rasa rakyat tidak cerdik?” soal beliau.
Tambah beliau lagi, kemenangan kerjasama PN-BN dalam PRN Negeri Sembilan membuktikan formula persefahaman antara kedua-dua gabungan itu diterima rakyat dan mampu menjadi asas untuk menghadapi PRU akan datang.
Keputusan PRN Negeri Sembilan menyaksikan gabungan PN-BN berjaya membentuk Kerajaan Negeri dengan memperoleh majoriti mudah apabila memenangi 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memenangi 11 kerusi.
BN menguasai 18 kerusi sementara PN memperoleh tujuh kerusi.
Keputusan itu menyaksikan berlakunya perubahan kerajaan selepas PH kehilangan beberapa kerusi penting kepada BN dan PN.

0 Comments