Oleh: Anas bin Mohamad Jasri
Yang Dipertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah sesi 2025/2026
Kami, sebagai persatuan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah, menyatakan sokongan terhadap usaha dan pendirian Kerajaan Negeri Kedah dalam membanteras serta menyekat kegiatan perjudian di negeri ini.
Kami menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah dibuat. Namun, keputusan tersebut tidak seharusnya memadamkan semangat untuk terus berusaha membendung kemudaratan perjudian dalam masyarakat.
Islam sendiri dengan tegas mengingatkan umatnya tentang bahaya perjudian. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah kotor daripada perbuatan syaitan. Maka jauhilah ia agar kamu berjaya."
(Surah al-Ma'idah: 90)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa perjudian bukan sekadar isu ekonomi atau hiburan, bahkan merupakan perkara yang ditegah oleh syarak kerana membawa kemudaratan kepada manusia dan masyarakat.
Kami melihat usaha Kerajaan Negeri Kedah untuk tidak meneruskan pembaharuan lesen premis perjudian sebagai satu langkah yang berani dan wajar dihargai. Ia memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam menjaga kesejahteraan rakyat serta membina sebuah masyarakat yang lebih baik dan bermaruah.
Sebagai mahasiswa anak Kedah yang berada jauh di perantauan, kami tetap mengambil berat terhadap perkembangan dan masa depan negeri kelahiran kami. Kami percaya bahawa usaha membanteras perkara yang membawa kerosakan kepada individu, keluarga dan masyarakat perlu mendapat sokongan seluruh rakyat.
Kami juga menyeru agar usaha membanteras perjudian tidak terhenti di peringkat negeri semata-mata. Kerajaan Persekutuan perlu memainkan peranan dengan menggunakan ruang kuasa dan perundangan yang ada bagi memperketat kawalan terhadap kegiatan perjudian.
Kami berdiri bersama Kerajaan Negeri Kedah dalam usaha membina Kedah yang lebih sejahtera, bermaruah dan bebas daripada kemudaratan perjudian.
Perjuangan membanteras judi tidak akan terhenti.

0 Comments