TAHNIAH KERAJAAN KELANTAN, BUKTIKAN KERAJAAN NEGERI KONSISTEN DAN SERIUS MEMARTABATKAN SYARIAT ISLAM

 

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

Oleh: Muhammad Hanif bin Jamaluddin

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia 

Pemuda PAS Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas pembentangan Rang Undang-Undang Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 di Dewan Negeri Kelantan pada hari ini. Langkah ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan terus konsisten dan serius memperkukuh kedudukan perundangan Syariah melalui sistem perundangan negara. 

 RUU ini sangat signifikan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024 yang memutuskan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 sebagai tidak sah atas isu kompetensi Dewan Negeri untuk menggubal kesalahan berkenaan.  Kerajaan Kelantan tidak memilih untuk berundur, sebaliknya mengambil pendekatan bertanggungjawab dengan meneliti semula punca kuasa, kompetensi DUN serta ruang yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Keseriusan Kerajaan Kelantan terbukti melalui proses yang panjang dan tersusun sejak April 2024 melibatkan Jawatankuasa Khas dan Jawatankuasa Teknikal, penelitian Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, rujukan kepada MAIK dan Jamaah Ulama’, semakan bersama JAHEAIK serta pemurnian draf sebelum mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.  Ini menunjukkan kesungguhan Kelantan memastikan perjuangan memartabatkan Syariah bergerak dengan cermat, berautoriti dan berpandukan kerangka undang-undang negara.

Pemuda PAS Malaysia berpandangan tindakan Kelantan ini wajar menjadi contoh kepada negeri lain termasuk peringkat Persekutuan bahawa keputusan mahkamah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membiarkan undang-undang Syariah terus mengecil ruangnya. Sebaliknya, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab mencari jalan perundangan yang sah bagi mempertahankan kedudukan Islam sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan. Yang diperlukan ialah keberanian politik, kesungguhan institusi dan kemahuan untuk bertindak.

Justeru, Pemuda PAS Malaysia menuntut Kerajaan Persekutuan membentangkan kepada rakyat laporan penuh serta status terkini Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam. Kerajaan sendiri memaklumkan pada Mac 2025 bahawa laporan kajian tersebut telah disediakan untuk dibentangkan kepada MKI dan Majlis Raja-Raja. Maka rakyat berhak mengetahui apakah syor yang telah dikemukakan, status perkenannya dan apakah tindakan susulan Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh bidang kuasa perundangan dan kehakiman Syariah.

Pemuda PAS Malaysia turut menuntut Kerajaan Persekutuan menjelaskan secara terbuka hala tuju dan tindakan susulan berhubung isu penggunaan kalimah-kalimah suci Islam seperti Allah, solat, Kaabah dan Baitullah. Isu ini telah melalui pelbagai proses perbincangan dan penelitian di peringkat kerajaan serta institusi berkaitan, namun sehingga kini rakyat masih menunggu apakah keputusan dan langkah nyata yang akan dilaksanakan.

Jika Kerajaan Kelantan mampu bertindak secara serius dengan meneliti semula kerangka undang-undang Syariah dan membawa penggubalan baharu selepas keputusan mahkamah, Kerajaan Persekutuan juga perlu menunjukkan kesungguhan yang sama dalam mempertahankan kepentingan Islam. Komitmen terhadap Islam mesti diterjemahkan melalui keputusan, dasar dan tindakan yang jelas, bukan sekadar pengumuman, mesyuarat atau penubuhan jawatankuasa tanpa noktah yang pasti.


#PemudaPAS #TerusMemimpin

Post a Comment

0 Comments